09 December 2009

Aku Manusia Di Sana


"Reborn!"


Entah mengapa, jika saya sebut mengenai POLIMAS di sini, pasti saya merujuknya sebagai “bumi bertuah, POLIMAS”. Seolah-olah POLIMAS masih merupakan tempat pengajian saya walhal sudah hampir 2 tahun saya meninggalkannya. Ketika ditanya mengenai nombor matriks, saya akan berhenti sejenak untuk berfikir, sama ada 03 DKM 05F 072 atau yang lain? Benar, ini adalah apa yang saya alami.


Jika fasa kegelapan Eropah mengalami proses “Enlightenment” dek tempias kemajuan dunia Islam, maka POLIMAS merupakan proses “Enlightenment” bagi diri saya selepas mengalami zaman gelap di sekolah menengah. Cumanya Eropah bergerak meninggalkan agama di belakang, saya bertindak meletakkan agama di depan.


Di sana, sistem pengajiannya adalah seperti biasa. Sama seperti PUO, PKB, PSMZA dan banyak politeknik lain di Malaysia. Yang unik di POLIMAS berbanding politeknik yang lain adalah sistem usrah. Sistem usrahnya adalah markah di dalam Pengajian Islam. Kehadiran adalah wajib dan usrah diwajibkan ke atas SEMUA siswa, siswi semester 1 yang beragama Islam. Kegiatan ini dipantau dan diselia oleh Jabatan Pengajian Am dan Bahasa Inggeris POLIMAS. Pada pandangan saya, usrah mengasuh saya berfikir dengan bertanya. Bertanya bukan kepada orang lain tetapi diri kita sendiri. Tepuk dada tanya iman!


Suasana pengajiannya lain. Pensyarah yang paling saya ingati adalah WI Saidon bin Saim. WI bermaksud Welding Inspector, semacam title “Ir.” buat pelajar kejuruteraan. Beliau merupakan seorang berdedikasi dan komited dengan tugasnya. Pegawai disiplin yang paling lama berkhidmat di sana. Beliau juga merupakan (bagi saya!) antara punca kenapa gejala sosial masih terkawal di POLIMAS. Ketahuilah, beliau meronda di sekitar rumah sewa siswa,siswi pada sekitar jam 3,4 pagi. Tanpa bayaran!


Pertembungan budaya politeknik jelas saya rasai dan perhatikan ketika saya menjadi sukarelawan Sukan Politeknik ketika semester 4. Masya-Allah! Di hadapan mata kepala saya, rambut berwarna, lelaki dan perempuan memakai seluar pendek, lelaki bersubang, pergaulan bebas. Perkara-perkara yang diharamkan di POLIMAS, dibawa masuk ke dalam oleh anasir-anasir ini. Di saat itu, barulah saya ketahui, POLIMAS merupakan ‘kebahagiaan sementara’ yang saya perlu hargai!


“Lagi-lagi POLIMAS, booo!,” antara kata-kata yang masih berbekas di dalam ingatan saya ketika baru menjejakkan kaki di bumi Johor . Saya hanya tersenyum dan memaafkan kerana orang yang bercakap itu tidak pernah merasai suasana hidup di POLIMAS. Segar lagi jiwa saya dengan POLIMAS dan tidak mungkin saya akan melupakan apa yang POLIMAS lakukan pada saya, selagi nyawa dikandung badan, kerana Aku Manusia Di Sana..

09 November 2009

Ibunya ibu kucing..


“Ibunya ibu kucing..”



“INI IBU KUCING ADIK-ADIK!!!!” ‘sergahan’ Ustaz Abdullah Khairi. Seluruh dewan diam. Tenang.

Beliau mengulas dan menayangkan video yang menunjukkan ibu meerkat sedang mempertahankan sarangnya daripada diserang oleh mongoose (jebon!). Akhirnya, ibu meerkat tersebut mati.

“ADIK-ADIK, INI IBU KUCING, BUKAN IBU KITA ADIK-ADIK,” ‘jerkah’ beliau yang sememangnya mempunyai suara yang besar dan dalam. Bergegar dewan besar pada ketika itu!

Sesi Ustaz Abdullah Khairi adalah ketika saya masih menuntut di POLIMAS. Masih jelas cara pembentangan dan intonasi suara beliau kerana saya menjadi fasilitator kepada Minggu Suai Kenal sesi Januari 2007. Intonasi suaranya menjadi bahan jenaka dan gurauan kepada semua penuntut baru di POLIMAS ketika itu.

Ibu ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila ku berduka,
Engkau hiburkan selalu,

Ibu ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Tempat menyatakan kasih,
Wahai ibu..

Itulah antara bait-bait lagu Allahyarham P. Ramlee, Ibu. Itulah realitinya.

“Mak pak ni satu tu saja. Tak dak juai dekat supermarket dengan pasar malam,” masih terngiang-ngiang suara ibu dengan pesanannya. Ketika itu, saya berumur sekitar 16 tahun. Entah faham, entah tidak saya pada waktu itu. Masih muda untuk mengenal realiti kehidupan yang kasar dan kadang-kadang memeningkan!


IBU SAYA MUSALMAH MURAD


Inilah ibu saya selama saya berkelana lebih 22 tahun di atas muka bumi ini. Orangnya ringkas tetapi mempunyai pandangan yang membina dan logik yang tinggi. Ibu bapa merupakan elemen penting di dalam hidup kita. Merekalah orang yang bertanggungjawab mengadun dan membentuk peribadi kita pada hari ini. Bukan persoalan “siapa makan garam dulu” yang menjadi topik utama. Persoalan yang harus difikirkan dengan mendalam adalah “apa yang akan terjadi nanti?” dan jawapan ini memerlukan bimbingan dan sentuhan seorang ibu!

“Sesungguhnya syurga adalah di bawah tapak kaki ibu”


Pernah kedengaran ucapan dari mulu-mulut rakan saya,

“Mak aku tu susah la. Dia ingat aku budak-budak lagi kot. Suruh balik awal. Tak macam mak hampa semua. Haram betoi!”

Terkebil-kebil saya apabila mendengar ayat itu buat kali pertama. Memang saya akui, saya juga ada berbuat salah pada ibu. Tapi untuk mengeluarkan kata-kata sedemikian? Mungkin lahir dari jiwa remaja yang bergelora, tanpa bimbingan dan tauladan..

“Tengok, adik dah kata tak dapat punya. Mak nak suruh mintak jugak,” kata saya pada ibu. Masih basah lagi ingatan itu di minda saya. Kadang-kadang, ia berputar kembali, menggamit kenangan pemikiran “pasca-sekolah-menengah”.

Ketika itu, keputusan UPU baru diumumkan. Pada mulanya, saya ‘dipujuk’ ibu supaya memilih bidang senibina (architecture). Bebal tak sudah kerana gagal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni lukis seni reka, yang saya idam-idamkan semenjak dari sekolah menengah.

Untuk menilai di antara ‘cinta palsu’ dan ‘cinta sejati’, saya masih terlalu naif. ‘Cinta palsu nan plastik’ pada seni lukis seni reka, sebelum berkenalan dengan ‘cinta sejati lagi sempurna’ pada kejuruteraan mekanikal!

Untuk memohon masuk ke politeknik merupakan cadangan ibu saya. Pada mulanya, saya prejudis dan memandang sinis status politeknik..

Pernah saya cuba menyenaraikan apa peristiwa yang TIDAK AKAN berlaku, jika saya tidak memilih untuk ke politeknik. Masya-Allah! Menangis saya mengenangkan perbuatan saya pada ibu. Senarai itu terlalu panjang dan menyesakkan dada..


Hanya suluhan dan teduhan kasih sayang yang mampu untuk melayarkan bahtera yang bernama kehidupan. Hari ini merupakan hari lahir ibu saya, Musalmah bt Murad, yang ke-54. Hanya satu ayat sahaja yang saya ingat saat ketika ini...

“Happy birthday, Mak! Adek minta maaf atas semua kesalahan adek!”