20 September 2009

Sehari, Semalam Perantau Merantau..


-Mencari di Awan Biru! Berbaloi, baloi!-


Jam Swatch Red Sunday saya menunjukkan 9.40 malam ketika saya, Hadi serta abangnya, Abang Hanif menaiki bas Aerobus untuk ke LCCT dari KL Sentral. Kami dalam perjalanan ke LCCT untuk pulang berhari raya, dengan menaiki kapal terbang (yahoo!!).


Minda saya berputar mengingati suasana di suatu stesen LRT. Saya terlihat ramai anak muda yang saya beranggapan mereka berketurunan Melayu yang bertitlekan ‘Islam’ pada kad pengenalan yang berwarna biru. Rata-rata berumur bawah 18 tahun. Dengan pemandangan yang seperti itu, saya seolah-olah terlupa bahawa kita masih berada di dalam bulan Ramadan al-Mubarak!

Bukankah sepatutnya mereka ini duduk di rumah dan menghabiskan sisa-sisa Ramadan yang masih berbaki?

Jika tidak, bukankah mereka seharusnya membantu ibu bapa mereka mempersiapkan rumah untuk menyambut Hari Raya yang just around the corner?

“Hadi, tuu!” saya memuncungkan mulut kepada anak-anak muda tersebut.

“Tak dan nak tangkap gambar!” bentak Hadi. Perlahan.

“Orang macam ni yang patut kita kena kawan,” sambungnya sambil menutup kamera telefon bimbitnya. Saya senyum sambil mengiyakan jawapan beliau.

Semakin LRT mejauhi stesen tersebut, semakin saya meninggalkan persoalan-persoalan yang saya sendiri sukar untuk menjawab. Mengeluh dalam gelisah saya mengenang nasib pemangkin masa depan Malaysia...


“...Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. KEHIDUPAN DUNIA ITU TIDAK LAIN HANYALAH KESENANGAN YANG MEMPERDAYAKAN.”

(Surah Ali-Imran 3:185)


Kami tiba di LCCT sekitar jam 10.40 malam. Selepas bersembahnyang Isyak, Maghrib dan Asar, kami terus memulakan misi foodhunt. Tak perlu bimbang mengenai makanan, banyak pilihannya. Tetapi ada satu benda yang terutama. D.U.I.T.

Nasi Padang, Nasi Ayam, Noodles. Tak ketinggalan McDonald’s dan KFC. Saya memilih Nasi Padang. Kkchiingg! RM 7.00! RM 2.50! RM 2.90! RM 5.00!

“Baju kuda belang, seluar harimau bintang!” kata Abang Hanif. Sedikit provokatif kedengaran di hujung ayatnya.

“Krisis identiti!” pantas dan tuntas saya memberi respon.

Kami sedang merujuk kepada seorang pemuda yang berusia awal 20-an yang memakai jaket bercorak kuda belang dan berseluar ketat bercorak harimau bintang. WTH, which planet did you came from??! I would rather be looking in my sarung, than that outfit!


Selepas makan, kami mula mencari tempat untuk tidur. Surau tutup, itulah yang dimaklumkan oleh Hadi kepada kami. Keputusan dibuat oleh ketua “kontigen”, Abang Hanif untuk tidur di ruang legar sahaja. Jam meninjak kepada 12 tengah malam. Ramai yang menunggu flight mereka keesokkannya. Seperti kami. Kami menghamparkan surat khabar Kosmo! yang saya beli di Stesen Bas Batu Pahat, sebagai alas tidur. Hadi terlebih awal mendahului kami berdua dalam melayari bahtera mimpi. Saya tidur pada jam 4.00 pagi.

Tepat 5.30 pagi, saya dikejutkan oleh Abang Hanif. Ketika itu keadaannya seperti di stadium untuk perlawanan bola sepak. Barisan panjang. Kanak-kanak berlari-lari. Suara dan keriuhan mereka membantu untuk mengejutkan saya. Maklumlah, kami tidur di ruang legar. Setelah bersahur dengan meminum air, kami bergegas ke surau untuk bersembahyang Subuh.


Semenjak dari jam 7.00 pagi, kami menunggu untuk menaiki flight yang jangkaannya berlepasnya adalah 7.30 pagi. Selepas beg serta peralatan kami melalui mesin pengimbas, kami terus menunggu di ruang menunggu. Tampak kemas dan tersusun beberapa buah kapal terbang Air Asia.


“Anda sekarang berada kira-kira 22,000 kaki dari aras laut dan kelajuan kira-kira 830km/j,” suara siapa entah mematikan lamunan saya yang masih belum tamat keterujaan memerhatikan awan-awan yang terbentang luas di luar sana. Kelihatannya sama seperti gula-gula kapas. Tidak henti-henti hati saya membisikkan pujian tanda kebesaran Yang Maha Mencipta. Yang meninggikan langit dan menetapkan kedudukannya. Yang mengampungkan awan tanpa bertiang.

Jam 9.00 pagi saya selamat sampai di lapangan terbang Pulau Pinang. Boleh dibilang dengan jari berapa kali saya mengedipkan mata ketika di atas sana.


“Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (Al-Mulk 67:3)


Teringat akan ayat surah Al-Mulk ini. Taajub saya ketika di atas sana! Usah dipeduli si Kafir di sebelah saya, yang sememangnya tidur sebelum kapal terbang berepas lagi...

Tiba di sana, “delegasi” kami dijemput oleh ayah Hadi. Hadi orang Sungai Petani. Saya orang Alor Setar. Ini bermaksud saya harus (wajib!) untuk balik sendirian menggunakan bas. Bas Mara Liner menjadi pilihan saya. Segala menjadi hitam selepas saya membayar tambang. Akibat daripada tidur pada jam 4.00 pagi dan bersengkang mata di atas kapal terbang!


Saya tiba di Shahab Perdana sekitar jam 1.00 petang. Kepala masih pening-pening lalat ketika turun dari bas Mara Liner. Setelah itu, perantau diambil oleh bondanya terus menuju ke rumah.

Rupa-rupanya saya menerima satu lagi kejutan ketika berada di rumah. Ulang tayang perlawanan Liga Juara-Juara di antara Internazionale de Milano dan Barcelona! =)

05 September 2009

Puas Puasa??

-Nyam, nyam!-


Alhamdullillah, separuh masa pertama Ramadhan baru sahaja berlalu. Apa yang anda rasakan? Semakin sihat? Semakin bertaqwa? Semakin terseksa? Semakin lesu dan tak bermaya?
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Ramai orang yang berpuasa, tetapi ia tidak perolehi apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Riwayat oleh Nasa’i dan Ibnu Majah)

Daripada hadis di atas, apakah kriteria-kriteria yang perlu dipenuhkan untuk menjadi ‘orang berpuasa yang mendapat lapar dan dahaga sahaja’? Saya ingin berkongsi tips-tipsnya bersama pembaca sekalian.

Tidak susah,pilihannya banyak, malahan senang diikut dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda, mahasiswa atau pelajar tadika. Saya cuma menukilkan sekelumit sahaja daripada beribu-ribu kriterianya. Berikut adalah contohnya:
  • MELAKUKAN MAKSIAT (Mandatori!Wajib!)
  • Melayan nafsu semaksimum mungkin (Marah orang di sekeliling!)
  • Melakukan pemandangan liar (Jangan menjaga mata)
  • Jangan menutup aurat. (Memakai baju “adik” anda merupakan contoh terbaik!)
  • Buang masa seoptimum yang mungkin. (Main game dari 6pg hingga 7mlm!)
  • Tidur banyak-banyak (kerana tidur akan mengurangkan rasa lapar anda!)
Dan lain-lain lagi.....

Senarai panjang ini TERLALU panjang. Formula yang mudah untuk mencapai kegemilangan untuk menjadi ‘orang berpuasa yang mendapat lapar dan dahaga sahaja’ hanya satu (1).

IKUT HATI, IKUT PERASAAN!

Pedulikan pepatah Melayu “Ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Ini semua propaganda orang tua Melayu dulu-dulu. Zaman mereka mana terdapatnya Pro Evolution Soccer, Warcraft DotA mahupun Counter Strike.

Saya berharap pembaca semua istiqamah dalam melakukan ‘amalan’ dan ‘petua’ yang saya senaraikan di atas dalam jalan menuju ‘orang berpuasa yang mendapat lapar dan dahaga sahaja’! Selamat beramal! =)

Akhir kata, mampukah kita berhujah dengan Yang Maha Berkuasa dan Maha Mencipta di hadapan-NYA nanti di Hari Pembalasan?

Mampukah kita, yang berasal dari air yang hina, berhujah dengan Yang Maha Sempurna?

Mampukah kita, makhluk yang lahir dari dua lubang, berhujah dengan Yang Maha Memberi Hidup?

Ingatlah, sahabatku. Masa Ramadhan masih ada dalam kita melakukan amal soleh dan beribadat kepadanya. Masa bertaubat masih ada selagi roh belum ditarik mencecah kerongkong. Jadikan Ramadhan ini titik tolak bagi perubahan diri kita.

MANUSIA STATIK= MAKHLUK DUNGU YANG PALING HINA
MANUSIA DINAMIK=MAKHLUK BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT!

03 September 2009

TITAS, TITUS!

-Inikah yang dimaksudkan dengan jalan yang lurus?-


"Kira sama dengan konsep Islam.Dalam surah Al-Fatihah, kita ada membaca 'Ihdinassira'talmusataqim' yang membawa maksud 'Tunjukkan kepada kami jalan yang lurus'," lantang dan terang suara Azizi Bakir. Beliau sedang membentang mengenai Tamadun China di dalam kelas Tamadun Islam dan Tamadun Asia.


Saya menghela nafas kebosanan di dalam bilik kuliah tersebut. Rata-rata pembentang (baca:pembaca) tidak mampu untuk membentang dengan baik di dalam kelas ini. Tidak mengapa, mungkin ini merupakan satu cara untuk mereka menjadi pembentang yang baik kelak, iaitu dengan latihan. Practice makes perfect”


Pembentang yang baik seharusnya mampu untuk mengadakan komunikasi dua hala yang bekesan. Bila ditanya, mampu menjawab. Bila menanya, mampu dijawab. Antara elemen yang penting dalam pembentangan adalah “eye contact” pembentang dan pendengar. Ini akan mewujudkan “kepercayaan dan keyakinan” pendengar tentang apa yang dibentang oleh pembentang. Tidak lupa juga, elemen “body language” dan voice intonation” yang tidak perlu diterangkan secara panjang lebar di sini.


Setelah selesai sesi pembentangan, ketua kumpulan telah membuka sesi soal jawab dengan pendengar. Bagi saya, selalunya sesi ini akan dipenuhi soalan-soalan pra-matang.


“Tadi saudara ada membentang mengenai kemajuan tamadun ini dengan mencipta kolam air yang luas dan besar. Bagaimanakah air dipam masuk dan dikeluarkan dari kolam air ini?”

“Kita ketahui bahawa Islam berasal dari perkataan ‘Salam’ yang bermaksud ‘Sejahtera’. Bagaimanakah Negara India mendapat nama?”

“Dari mana wujudnya simbol naga yang sinonim dengan kaum Cina? Kita ketahui bahawa naga ini tidak wujud, tetapi dari mana asal bentuknya?”


Ini cuma secangkir soalan dari apa yang saya ingat ketika artikel ini ditulis. Saya menyatakan kerana soalan-soalan ini bukan membina pengetahuan mengenai apa yang dibentangkan sebentar tadi. Malahan, sesi ini dilihat lebih kepada “mengancing mulut” pembentang dan mentertawakan mereka. Ianya jelas terpesong. Bukan untuk membuka minda dan menjurus kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai pembentangan.


Tiba-tiba,

“Saya berdiri bukan untuk bertanyakan soalan tetapi ingin meminta dibuat pembetulan. Tadi, ada pembentang yang menyebut Islam ini sama dengan ajaran yang lain. Ingin saya tegaskan bahawa ajaran Al -Quran tidak sama dengan mana-mana ajaran yang disebutkan tadi,” tegas Abang Yus, sesuai dengan statusnya sebagai pemimpin seksyen 7.


“Sebenarnya apa yang saya cakapkan tadi, sama dengan ajaran Islam bukan bermaksud ia sama dan diletakkan sama taraf dengan ajaran lain. Apa yang diajak dan diajar oleh Islam kebetulan sama dengan apa yang disuruh oleh ajaran Tao/Dao,” balas Azizi, yang kebetulan mikrofon ada di tangannya selepas menjawab beberapa soalan pra-matang.


“Tidak,saya ingin tegaskan ajaran Al-Quran adalah tidak sama dengan mana-mana ajaran yang dicipta oleh manusia!” balas Abang Yus, pantas dan mencantas hujah yang disampaikan oleh Azizi.


“Izinkan saya untuk bercakap?Bismillahirahmanirahim.Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,” saya bingkas bangun. Riuh rendah kedengaran dari belakang seolah-olah kumpulan penyorak yang saya bawakan khas.

Selepas keadaan kembali separa tenang, saya menyambung,

“Macam ni, saya ingin nyatakan bahawa saya bersetuju dengan saudara Azizi. Analogi dia senang sahaja. Adik kita, umuq dia 3 tahun, tak pi sekolah, dia kata “abang, 3=1+2”. Penyataannya betul, tapi adakah dengan keadaan dia yang tidak bersekolah, kita akan menafikan kebenaran yang dia zahirkan?” hujah saya menggunakan suara yang jelas, di antara tenang dan gementar. Loghat Kedah yang pekat, likat dan melekat saya gunakan.

Kemudian, “perdebatan” ini dipanjang-panjangkan hinggakan “terpaksa” Azizi mengakui kesalahannya tanpa mahu membuang banyak masa untuk berdebat (pada pandangan saya!). Ini bukan sikapnya yang saya kenali semenjak di bumi bertuah, POLIMAS.

Masa yang diperuntukkan adalah terlalu sedikit untuk saya memanjangkan perbincangan perkara ini. Tambahan pula, kami sedang berdebat persoalan ini di hadapan khalayak “kumpulan sorak saya”.

Isunya adalah mengenai iman dan amal. Tanpa iman atau amal, adalah MUSTAHIL seseorang itu untuk masuk ke syurga. Saya suka memberi analogi dan saya bersedia untuk berbahas. Jadi, saya ingin berkongsi 2 situasi:

PERTAMA:

Seorang kafir ini melakukan kerja amal yang banyak sepanjang hidupnya di atas muka bumi. Jika si kafir ini mati/meninggal, di manakah dia akan ditempatkan? Tentu sekali, Neraka!

KEDUA:

Seorang Islam ini beriman dengan Rukun Iman secara kaffah tetapi dia tidak melakukan apa yang diwajibkan oleh ALLAH kepadanya. Jika si Islam ini mati/meninggal, di manakah dia akan ditempatkan? Tentu sekali, Neraka!

Jika dilihat dan direnung kedua-dua situasi di atas, di dalam ketidaksamaan, ada kesamaannya. Mereka berdua menuju neraka ALLAH. Ini kerana mereka telah memisahkan iman dan amal. Iman adalah percaya dengan hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan perbuatan. Amal adalah segala macam bentuk perbuatan baik kita yang akan membuahkan pahala untuk kita menghadapi Hari Pembalasan.

Dengan bahasa yang lebih mudah,

Iman = Rukun Iman

Amal = Rukun Islam


Jika mana-mana agama itu mengajak kepada yang baik/makruf dari sudut perbuatan dan perlakuan, maka eloklah kita mengikutinya kerana sedarlah saudaraku, itulah ilmu Islam, selagi mana ia tidak bertentangan dengan aqidah Islam.


"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau hajatkan)" [Al-Inshirah 94:7-8]


** Dialog yang digunakan diolah untuk kesesuaian penulisan **

01 September 2009

Medan Baru! Azam Baru!

-suatu pagi yang biasa di 1447-



Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum..

Perasaan saya makin bergelora ketika artikel ini ditulis. Marah ada, suka ada. Imbangan hidup sebagai seorang manusia.


“Hidup terbina antara suka dan duka. Andai selalu suka, hati jadi bosan, terlalu berduka hati jadi rawan” -Hamka


Sebelum ini, saya menggunakan platform friendster.com untuk menyampaikan isi hati tetapi ianya lebih sesuai untuk persahabatan dan perkenalan. Tidak lebih dari itu.Jadi, saya beralih ke medium yang berlainan iaitu blog. Itulah yang dimaksudkan dengan Medan Baru!

Jika dulu, hanya berkaki ayam atau memakai kasut toyu untuk bermain bola, sekarang saya memakai kasut Adidas tuNIT F50 persis Messi. Lagak dan gaya harus sesuai dan bertepatan dengan kasut baru. =) Itulah yang saya maksudkan dengan Azam Baru!

InsyaALLAH, saya akan cuba mengemas kini blog saya agar tidak terlalai daripada melakukan tanggungjawab 'menyampaikan dari Nabi S.A.W walaupun satu ayat'.. =)