09 December 2009

Aku Manusia Di Sana


"Reborn!"


Entah mengapa, jika saya sebut mengenai POLIMAS di sini, pasti saya merujuknya sebagai “bumi bertuah, POLIMAS”. Seolah-olah POLIMAS masih merupakan tempat pengajian saya walhal sudah hampir 2 tahun saya meninggalkannya. Ketika ditanya mengenai nombor matriks, saya akan berhenti sejenak untuk berfikir, sama ada 03 DKM 05F 072 atau yang lain? Benar, ini adalah apa yang saya alami.


Jika fasa kegelapan Eropah mengalami proses “Enlightenment” dek tempias kemajuan dunia Islam, maka POLIMAS merupakan proses “Enlightenment” bagi diri saya selepas mengalami zaman gelap di sekolah menengah. Cumanya Eropah bergerak meninggalkan agama di belakang, saya bertindak meletakkan agama di depan.


Di sana, sistem pengajiannya adalah seperti biasa. Sama seperti PUO, PKB, PSMZA dan banyak politeknik lain di Malaysia. Yang unik di POLIMAS berbanding politeknik yang lain adalah sistem usrah. Sistem usrahnya adalah markah di dalam Pengajian Islam. Kehadiran adalah wajib dan usrah diwajibkan ke atas SEMUA siswa, siswi semester 1 yang beragama Islam. Kegiatan ini dipantau dan diselia oleh Jabatan Pengajian Am dan Bahasa Inggeris POLIMAS. Pada pandangan saya, usrah mengasuh saya berfikir dengan bertanya. Bertanya bukan kepada orang lain tetapi diri kita sendiri. Tepuk dada tanya iman!


Suasana pengajiannya lain. Pensyarah yang paling saya ingati adalah WI Saidon bin Saim. WI bermaksud Welding Inspector, semacam title “Ir.” buat pelajar kejuruteraan. Beliau merupakan seorang berdedikasi dan komited dengan tugasnya. Pegawai disiplin yang paling lama berkhidmat di sana. Beliau juga merupakan (bagi saya!) antara punca kenapa gejala sosial masih terkawal di POLIMAS. Ketahuilah, beliau meronda di sekitar rumah sewa siswa,siswi pada sekitar jam 3,4 pagi. Tanpa bayaran!


Pertembungan budaya politeknik jelas saya rasai dan perhatikan ketika saya menjadi sukarelawan Sukan Politeknik ketika semester 4. Masya-Allah! Di hadapan mata kepala saya, rambut berwarna, lelaki dan perempuan memakai seluar pendek, lelaki bersubang, pergaulan bebas. Perkara-perkara yang diharamkan di POLIMAS, dibawa masuk ke dalam oleh anasir-anasir ini. Di saat itu, barulah saya ketahui, POLIMAS merupakan ‘kebahagiaan sementara’ yang saya perlu hargai!


“Lagi-lagi POLIMAS, booo!,” antara kata-kata yang masih berbekas di dalam ingatan saya ketika baru menjejakkan kaki di bumi Johor . Saya hanya tersenyum dan memaafkan kerana orang yang bercakap itu tidak pernah merasai suasana hidup di POLIMAS. Segar lagi jiwa saya dengan POLIMAS dan tidak mungkin saya akan melupakan apa yang POLIMAS lakukan pada saya, selagi nyawa dikandung badan, kerana Aku Manusia Di Sana..