30 March 2010

Hilangnya API, Munculnya Bara...


"Api yang akan meninggalkan Bara.."


Baru-baru ini, saya membuat kajian akademik mengenai Islam dan Pemikirannya : Sejarah Dalam Perkembangan Politik Di Malaysia. Agak banyak bahan atau buku yang saya gunakan untuk mengkaji dalam menyiapkan kajian ini. Ada bahagian merah dan ada bahagian hijau. Ada juga yang hitam dan juga putih.


Nama-nama yang agak asing dari pembacaan sehari-hari mula terlintas dalam kotak pemikiran saya. Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

“Sejarah ditulis oleh orang-orang yang menang”

Entah bila saya mendengar kata-kata ini. Kebenarannya ada dan semakin jelas apabila saya mengkaji nama-nama ini. Ya, mereka ini berhaluan kiri. Bukan menentang sultan-sultan dan raja. Mereka berhaluan kiri dalam menentang penjajahan Barat mahupun Jepun. Bagi mereka, Tanah Melayu untuk rakyat-rakyatnya. Tiada seinci pun Tanah Melayu yang direstui oleh mereka untuk didiami penjajah.


Dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka banyak membuka mata saya serta merubah pandangan saya mengenai perjuangan mereka untuk memerdekakan Malaya. Dokumentari ini menemubual tokoh-tokoh Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM), Malayan Democratic Union (MDU) dan Pan-Malaya Federation Trade Union (PMFTU). Kewujudan pertubuhan-pertubuhan ini adalah sebelum merdeka dan mereka bukan kerana hendak memenangkan satu kaum atas kaum yang lain tetapi dengan slogan “Merdeka ” cukup jelas menyampaikan mesej kepada rakyat Malaya ketika itu.


Suka saya hendak kongsikan dengan khalayak, satu kemungkinan yang bakal terjadi ANDAI kata impian PKMM menjadi realiti. Indonesia dan Malaysia bergabung dan menjadi Melayu Raya???

Kita akan menguasai lombong minyak petroleum yang luas. Sumber manusia yang amat banyak. Tanah subur yang luas. Yang paling penting sekali, Selat Melaka adalah bawah kawalan kita. Saya percaya jika Selat Melaka di bawah kawalan kita, People Republic of China dan Amerika Syarikat akan menjaga negara yang bernama Melayu Raya sebaik-baiknya kerana ekonomi dunia dikawal oleh kita!


“They eat like Malay, They think like Malay, but with English in taste”

Inilah aspirasi pihak Inggeris ketika menyerahkan kemerdekaan pada Tanah Melayu. Hasilnya, kita masih menganggap British adalah terbaik. Keagungan British masih beraja di hati ramai di kalangan kita. Bukti? Perlembagaan Malaysia yang ditulis oleh Lord Reid, nama-nama orang putih jalan sekitar Malaysia, PPSMI dan banyak lagi. Ordinan Darurat 1948 juga kekal sehingga hari ini tapi wajahnya saja yang berubah. Accentnya masih British!


Hilangnya API, munculnya bara. Hakikat sunnatullah yang diatur oleh Tuhan Sekelian Alam. Bara mempunyai suhu lebih tinggi berbanding api. Bisa menghasilkan kehancuran yang lebih besar. Jangan dikatakan apabila terpadamnya api, maka sisa-sisa api juga turut hilang bersamanya. Bara itu masih ada dan membara. Menunggu masa dan angin yang sesuai untuk menghidupkannya semula...

08 March 2010

Hati Itu Akarnya Tiada


"Apa khabar hati anda?"


Hati itu akarnya tiada. Hati tidak mempunyai akar. Hati itu sesuatu yang tidak teguh dan selalu berbolak balik. Penimbangan hati berubah dengan umur dan masa. Kadang-kala dengan perasaan. Jika kita bercakap mengenai hati, kita tak terlepas dengan persoalan nafsu. Kerana di hatilah terletaknya pusat nafsu.


Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut tentang hati dan perasaan, eloklah kiranya jika kita menyingkap lembaran Al-Quran, yang sudah tentunya mempunyai jawapan untuk topik kita pada kali ini. Mafhumnya..

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

(Al-Baqarah: 30)

Manusia, malaikat dan haiwan diciptakan sebagai makhluk yang berlainan dengan kehebatan dan keagungan Allah S.W.T. Haiwan adalah makhluk yang hanya mempunyai nafsu, malaikat adalah makhluk yang hanya mempunyai akal manakala manusia adalah makhluk yang mempunyai keduanya, akal dan nafsu. Nafsu inilah yang dipertikai oleh malaikat dalam penciptaan manusia, dalam ayat di atas.

Nafsu seharusnya digunakan untuk manusia beribadat kepada Allah. Nafsu wajibnya dipandu dan dipacu menggunakan akal yang waras supaya tidak tergelincir ke lembah kehinaan yang busuk dan hanyir.


Berbalik kepada persoalan Hati itu akarnya tiada ,ditanya pada saya oleh seorang rakan...

“Pizza”

Jawab rakan saya setelah saya tanyakan apa yang dia suka makan. Selanjutnya saya bertanya, jika tiap-tiap hari apa yang disantap hanyalah piza,piza dan piza. Dia menjawab, tidak mungkin boleh. Walaupun berlainan topping, tetapi kebosanan akan tetap dirasa. Asyik-asyik pizza saja. Kadang-kadang teringin juga makan soto dan bakso, bagi yang berlidah Jawa.

Inilah yang saya maksudkan dengan Hati itu akarnya tiada. Apa yang kita suka, belum tentu kita akan suka padanya setiap hari. Jemu akan datang bertandang.


Tetapi saya hairan dan serabut dengan satu hakikat. Di laman MukaBuku rakan saya, TIADA satu pun kelihatan gambar keluarganya. Jika bukan kesemua keluarganya, ibunya pun sudah mencukupi. Gambar-gambar yang dimuatnaik olehnya hanyalah gambar dia dan rakan-rakannya, yang lebih teruk gambarnya dengan teman wanitanya dengan aksi-aksi panasss. Adakah teman wanitanya lebih tinggi kedudukan berbanding ibunya? Tanggang moden mungkin?

Apa yang pasti, ini juga contoh Hati itu akarnya tiada. Ketika kecil, ibunya yang bersengkang mata mententeramkannya di kala malam dan mengisi perutnya ketika lapar dan dahaga. Bukan nama teman wanitanya yang disebutkan ketika itu tapi nama ibunya yang tabah. Tetapi ketika dewasa, ibunya yang mempunyai kasih yang kekal abadi padanya, ditinggalkan demi mengejar kasih fatamorgana dunia pada teman wanitanya.


Kita dapat melihat dengan 2 contoh yang saya beri, hati itu tidak tetap dan sering berubah. Seperti juga awan yang dimanipulasi angin. Ketika ditanya pada Luqman Al-Hakim tentang dua ketul daging yang paling buruk, beliau bawakan lidah dan hati. Ketika ditanya dua ketul daging yang paling baik, juga beliau bawakan lidah dan hati. Lidah adalah external component manakala hati adalah internal component dalam menunjukkan akhlak yang baik.


Akhir kata, janganlah kita menjadi contoh yang mengiyakan apa yang dikatakan oleh malaikat tatkala Adam hendak diciptakan. Kitakah pemusnah kepada keseimbangan? Yang gilakan darah? Yang suka membuat kerosakan? Jawapannya ada pada dalam diri kita sendiri. Pada hati yang akarnya tiada..