09 June 2010

Penyuluh Jalan Sampai Ke Sana


“Pening? Takkan pening kalau ada penunjuk jalan. Pasti tak sesat!"


"There’s not much honest people around. Last time, there’s one Bangldeshi stole Malik’s money. That is the problem who do not solah. He don’t think about Akhirat. Yes, we can become crazy seeing money everyday, everytime. But when we think about Akhirat, we won’t do it..”

Kata-kata pembantu kedai makanan Arab kepada saya. Kamal namanya. Seorang Pakistan. 34 tahun. Tak merokok!


Entah di mana silapnya. Generasi muda pada hari ini makin jauh meninggalkan agama. Kepentingan beragama dilupakan kerana menganggap agama sebagai persoalan lekeh dan cukup untuk difikirkan oleh golongan serban, jubah, kurta dan bertudung labuh sahaja.

“Agama hanya mengongkong kehidupan,” terdengar suara di satu sudut khalayak.

“Agama membantutkan perkembangan sains dan teknologi,” sahut suara di satu hujung lagi.

Dan yang lebih teruk dan kasar bunyinya,” Agama itu kolot!”

Termenung panjang saya memikirkan hujah untuk menangkis persepsi-persepsi yang ditimbulkan. Hujah itu difikirkan sehingga menjadi terlalu berat. Susah hendak mencuci karat yang merosakkan pemikiran muda-mudi sekarang. Tapi itu tak bermakna saya akan diam dan membisu..


Semenjak dari lahirnya kita, otak kita telah mengenalpasti, menganalisis, membuat kesimpulan dan andaian kepada semua perkara yang berada di sekeliling kita. Semua yang dapat dirasa dan ditakrifkan oleh kelima-lima deria badan kita. Permukaan jalan berturap yang kasar. Ais kacang yang manis. Lagu alam yang menenangkan. Bau asap Evergreen yang “menyegarkan” minda. Lambaian padi di sawah yang menarik jiwa dan cantik di mata..

Semakin lama hidup kita di dunia, semakin logik dan masuk akal pertimbangan akal kita, yang sepenuhnya bergantung pada semua deria kita. Apabila sampai ke satu tahap pemikiran kita, kita akan terfikirkan sesuatu yang tidak logik untuk menghuraikan hakikat kehidupan yang singkat.

Kenapa kita di sini?

Apa yang perlu kita lakukan di sini?

Ke mana kita selepas mati?

Cukuplah sekadar tiga persoalan ini. Dengan akal logik kita, kita TIDAK akan mampu untuk mencari jawapannya. Di manakah jawapannya? Jawapannya ialah AGAMA. Dengan agama sahaja, kita akan menjumpai jawapan bagi persoalan-persoalan di atas.


Agama itu mengatur kehidupan. Bisa membezakan dosa dan pahala. Bisa mengagih sisi cahaya dan kegelapan. Barat meninggalkan agama dan mengamalkan cara pemikiran yang sekular dari zaman Enlightenment. Ini kerana dosa yang dilakukan oleh pihak gereja suatu ketika dahulu menyebabkan masyarakat sana mencemuh agama dan merendahkannya. Tetapi dengan meninggalkan agama, secara tidak sedar, mereka melangkah ke dunia tanpa sempadan. Semua perkara perlu besar dan luarbiasa. Itulah yang diistilahkannya dengan HEBAT!

Kebebasan yang mutlak. Itu yang diperjuangkan. Habis terlanggar semua sempadan tabi’i yang dicipta oleh Yang Maha Esa. Tatu sepenuh badan dikatakan cantik, perkahwinan sesama jenis dipandang halal, perlakuan sumbang antara manusia dan haiwan dirasakan biasa, melawakkan Tuhan seolah-seolah Tuhan itu kambing!


Agama itu mengatur kehidupan. Bisa membezakan dosa dan pahala. Bisa mengagih sisi cahaya dan kegelapan. Jika agama itu mengongkong kehidupan dan pemikiran, mana mungkin wujudnya Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Ghazali, Al-Khawarizmi dan ilmuwan yang lain. Ilmuwan-ilmuwan ini bukan sahaja menguasai satu bidang malahan beberapa bidang yang kritikal pada zaman itu. Zaman Keemasan Islam ketika Khalifah Bani Abbasiyyah yang dikatakan jika tiada zaman itu, maka dunia tidak akan maju seperti hari ini.

“Adakah sama orang yang mengetahui dan tidak mengetahui?”

Saya percaya dan yakin pada kebenaran Islam. Saya juga amat percaya bahawasanya semua agama menganjur kepada kebaikan. Tak kiralah Buddha, Hindu, atau Kristian kerana semuanya mempunyai versi yang tersendiri mengenai Hari Akhirat (Judgement Day). Hari Akhirat digambarkan sebagai satu hari pengadilan untuk membalas segala baik dan buruk yang dilakukan oleh seseorang individu di dunia. Tanpa kepercayaan mengenai Hari Akhirat, manusia mampu melakukan apa sahaja yang terlintas di hatinya!


Ini hanya perkongsian saya dan khalayak. Tidak mampu insan sekerdil saya, mahasiswa jurusan mekanikal berbahas mengenai agama. Janggal rasanya. Tetapi demi agama, janggal itu diketepikan untuk memahamkan makhluk berjenis manusia dengan agama. Menghilangkan rasa takut manusia pada agama!

Agama merupakan sesuatu yang asas bagi manusia kerana manusia itu tidak sempurna dan mengharapkan pada benda yang lain. Agama bisa membezakan dosa dan pahala. Bisa mengagih sisi cahaya dan kegelapan.Agama adalah Penyuluh Jalan Sampai Ke Sana!