07 November 2010

Titik-Tiada-Patah-Balik!

"Asal usul Tarzan?!"


Sedih. Marah. Geram. Tersentuh. Membara.


Lakaran perasaan yang saya alami semasa tak mengemaskini blog ini. Bukan tak mahu mengemas sawang-sawang yang terjuntai ini tapi bahan perkongsian harus dikumpul bagi memastikan blog ini sentiasa punya benda dan agenda untuk dikongsi dengan khalayak.


Pasca Minggu Haluan Siswa semester 2010/2011 membuka lembaran baru dalam kehidupan saya sebagai mahasiswa apabila lengkap pusingan satu tahun di bumi UTHM. Apa yang dijumpai, diterokai sepanjang setahun di sini sesuatu yang indah dan bermakna dalam mendefinasikan kehidupan saya sebagai seorang manusia amnya, sebagai mahasiswa khususnya. Ruang dan peluang terbentang untuk mentransformasi dan mematangkan fikiran saya.


Islamic Fashion Festival merupakan turning point dan point of no return. Dari penghinaan kepada tahap tapak kaki. Perasaan umat Islam lumat melihat kalimah Muhammad dipermain sedemikian rupa. Hampir terlupa bahawa penaung dan pereka fesyen kedua-duanya ialah Muslim. Hancur luluh rasa hati saya apabila memikirkan niat mereka memartabatkan dan mengangkat nama Islam sebaliknya memberikan persepsi buruk kembali pada Islam itu sendiri.


“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman. Mereka menjawab: PATUTKAH KAMI INI BERIMAN SEBAGAIMANA BERIMANNYA ORANG-ORANG BODOH ITU? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) ". (Al-Baqarah: 10-13)

Menganggap undang-undang Islam (baca:hudud) itu kejam. Menganggap kod etika pemakaian Islam (baca:aurat) itu mengongkong potensi diri. Siapa yang mengeluarkan pemikiran seperti ini jika bukan orang Islam sendiri…


“Isu aurat Datin Rosmah dipolitikkan, Isu nasional lebih penting!”

Jawab seorang penceramah bertaraf Prof. Dr. yang memberi pengisian tentang 1Malaysia baru-baru ini apabila ditanya berkenaan isu IFF. Maaf, saya merasakan jawapan ini tak layak diucap oleh orang sepertinya.


Sahabat-sahabat, Nabi Muhammad S.A.W TIDAK mengajar umat Arab pada ketika itu pecutan graviti bersamaan 9.81m/s2. Baginda juga TIDAK mengajar daya geseran (friction) adalah berlawanan dengan pergerakan sesuatu zarah. Apa yang baginda bawa dan ajarkan ialah AQIDAH ISLAMIYYAH dan AKHLAK ISLAMIYYAH. Akhirnya, selepas sekian lama kewafatan baginda, Islam telah berjaya menjadi pusat keilmuan dunia dengan tertubuhnya Darul Hikmah di bawah Khalifah Harun al-Rasyid. Islam telah menakluk Kota Constantinople di bawah Sultan Muhammad al-Fatih.


Tutup cerita peringkat nasional. Peringkat domestik di UTHM sendiri apa kurangnya. Born4Nature. Nilai-nilai sebagai seorang Muslim yang manakah digunapakai dalam meluluskan konsert ini? Hujah untuk menghalalkan yang haram seperti “apa salahnya berhibur”, “berhibur juga ada dalam Islam”, "nak nama universiti dikenali" kedengaran seolah-olah dipaksa-paksa. Memanipulasikan Pusat Islam UTHM untuk memberikan “cop mohor halal” pada sebuah konsert rock yang tak tahu punca amatlah memalukan. Sudah terang lagi bersuluh, konsertnya haram, mesejnya lalai!


Apa yang terjadi, telah terjadi. Tiada siapa mampu mengubah putaran alam fana ini melainkan Tuan Empunya. Ingat, kita masih berkudrat dan bertenaga atas kebenaran dan kekuasaanNya. Gunakan akal dan kesempatan yang ada. Jangan sampai dilambung tsunami baru nak terngadah!

“Dan sekali-kali tiada datang kepada mereka suatu tanda dari tanda tanda kekuasaan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.” (Surah Yassin 36:46)