20 April 2011

Surat Luahan Rasa Untuk Abang


"ADIK BERADIK!"


Surat dibawah telah dihantar ke emel saya. Saya berharap tindakan saya mendedahkan surat ini akan mendatangkan kebaikan kepada kita bersama. Surat ini agak panjang dan saya merasakan wajar untuk saya kongsikan dengan semua pembaca blog saya. Kandungannya agak menyentuh perasaan. Sila kuatkan semangat anda untuk membaca hingga ke huruf yang terakhir.... ;)


Assalamualaikum.

Salam sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Ke hadapan abang Farhan yang saya kasihi. Saya mengharapkan abang kekal sihat walafiat. Saya di sini sihat-sihat saja. Cuma kadang-kadang pening sikit dengan tekanan belajar. Tidur pun kadang-kadang kurang. Biasalah, bukan senang nak senang, bukan susah nak susah!

Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk meluahkan isi hati saya kepada abang. Saya berharap segala isi surat ini hanyalah di antara kita dan tiada yang ketiga. Sesungguhnya saya menuntut keikhlasan abang dalam menyimpan isi hati saya ini. Saya percaya dengan abang sebab itu lah saya berani meluahkan isi hati saya kepada abang. Terpulang kepada abang nak merasakan ini satu roman picisan dari saya tapi isi hati saya merasakan ini sebuah cerita yang wajar dikongsi.


Abang, sudahkah abang baca surat tulisan Pro-Mahasiswa UTHM kepada Malaysiakini tentang penamaan calon Majlis Perwakilan Pelajar UTHM sesi 2011? (baca sini!) Saya yakin dan percaya abang telah khatam dua,tiga kali kerana abang merupakan seorang pembaca tegar Malaysiakini. Abang selalu merungut dengan mengatakan kononnya laman web Malaysiakini di”block” oleh pihak pentadbiran. Memang kadangkala susah hendak masuk ke web Malaysiakini kerana pembacanya yang ramai tapi saya tahu di hati kecil abang bukan itu yang abang maksudkan.


Abang,

Sayalah orang yang dibuang dari penamaan calon yang pertama. Terkejut?! Saya harap jangan. Walaupun saya dipanggil “adek” tetapi jiwa saya bukanlah jiwa adik. Di sini, saya akan menghuraikan kejadian serta kronologi kejadian ketika penamaan calon tempoh hari. Kenapa saya tak menulis dengan lebih awal? Kerana saya tak mahu pertimbangan yang saya lakukan pre-mature ataupun setengah masak.

Saya bahagikan kepada 5 fasa penceritaan saya. Fasa Pengenalan, Pengembangan, Konflik, Klimaks dan Peleraian supaya bersesuaian dengan sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk Komponen Sastera (KOMSAS) yang diajar di semua sekolah menengah 1Malaysia. Saya harap abang membacanya dengan hati yang tenang dan minda yang terbuka.

PENGENALAN

“Wei, hang nak masuk penamaan calon dak?Hang layak bertanding la!”, saya terima SMS dari kawan saya. Gelarannya Fadhul Asrar. Enam belas kali saya ulang bacanya. Berpeluh tangan saya. Bergetar hati saya. Saya ke notis yang dinaikkan oleh pentadbiran. Untuk pengetahuan abang, notis itu dinaikkan di waktu malam. Entah kenapa notis itu dinaikkan di waktu malam. Hanya Allah mengetahuinya!

Klausa “Walaubagaimanapun, pelajar yang mendapat 2.70 kebawah, tidak digalakkan untuk bertanding” membenarkan saya bertanding pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi ini. Syukur sangat saya rasakan abang tau tak.

PENGEMBANGAN

“Hmm..CGPA kamu bawah 2.70. Jadi, macam mana kamu nak buat nak naikkan CGPA kamu?” Tanya Dekan Fakulti kepada saya. Apa lagi, maka saya pun terangkan kepada Dekan dengan lidah yang jelas lagi fasih tentang teori-teori saya gunakan untuk meningkatkan CGPA. Selepas beberapa kali anggukan dan sepatah dua kata, Dekan bersetuju untuk menandatangani borang permohonan saya untuk membolehkan saya menyertai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.

Dengan penuh yakin, pada tanggal 17 Februari 2011, saya melangkah masuk ke dewan bersejarah, Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Sebelum saya duduk, habis semua calon yang saya kenal saya tegur dan bersalaman. Tidak lupa kata-kata peransang semangat supaya mereka buat yang terbaik. Letih otot pipi saya kerana terlalu banyak senyum. Tibalah sesi bantahan. Abang tahu, nama saya dibantah. Saya boleh agak apa kesalahan saya. Tidak mengisi boring dengan sempurna. Aduhh, memang saya terlepas pandang betul pasal tu. Semua calon yang dibantah atau membantah, dipanggil keluar dewan.

Semasa di luar dewan, saya sempat beramah mesra dengan beberapa orang calon lagi. Orang berpersonaliti ENFJ seperti saya memang rasa tenang kalau cakap dengan orang. Itu yang diberitahu oleh Myers-Briggs Type Indicator. Selepas menunggu agak lama, keluar seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar. Ayatnya bebunyi begini, “Kepada sesiapa yang tak dipanggil masuk ke dalam tadi, tak dak masalah. Awak semua boleh masuk ke dalam dewan balik”. Selepas itu, naiklah seorang pegawai HEP di atas pentas untuk mengumumkan nama-nama calon yang tidak dibenarkan untuk bertanding. Nama saya diumumkan antara calon yang tidak dapat bertanding, yang saya sendiri pun tak tahu kenapa saya tidak dapat bertanding. Then, all hell broke loose...

KONFLIK

“Macam mana boleh buat pengadilan tanpa hujah-hujah pembelaan? Mana ada mahkamah di dunia ni macam tu..” separuh meninggi suara saya. Geram.

Menurut seorang pegawai HEP, Jawatankuasa Induk memang mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak kelayakan seseorang calon untuk betanding. Berkuasa mutlak. Cadangannya, saya mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan untuk membolehkan saya menyertai penamaan calon semula. Perlu diingatkan, Jawatankuasa Rayuan dan Jawatankuasa Induk adalah 2 badan yang berbeza. Kalau Kalaivanan (sekadar contoh!) salah seorang panel di dalam Jawatankuasa Rayuan, maka Kalaivanan tidak boleh menjadi panel di dalam Jawatankuasa Induk. Juga perlu diingatkan, untuk mengemukakan rayuan, bayarannya RM100. Bukan sikit tau..

Selepas berbincang dengan pencadang dan penyokong pencadang saya, mereka menyarankan saya terus lawan untuk hak saya. Keduanya mengeluarkan sekeping RM50 bagi membolehkan saya membuat rayuan. Dengan serta-merta, timbul satu semangat dalam diri saya. Raso mace ado bendo dok dale bade ni hok tolok suroh lawe. Lawe sapa tok leh lawe! Maaf,abang. Saya kalau teruja memang terkeluar Bahasa Kelantan saya. Kebetulan, kedua-dua penyokong dan pencadang penyokong saya adalah orang Kelantan.

“Sebab tu kami panggil awak masuk sini. Sebab nak bagitahu kenapa awak tak boleh bertanding,”. Ini adalah peluru pertama yang ditujukan kepada saya. Saya, yang hanya berpangkat prebet cabuk di satu penjuru, melawan 3 “komander” di hujung penjuru yang lain. “Awak nak drop subject? You’re not a leader, you’re trying to run away from your problems” ini adalah peluru paling saya ingat. Puas ditepis, puas mengelak, puas bersilat. Setelah lebih sejam bertaichi dan berkungtau, akhirnya keluarlah ayat “Ok,kami dah puas hati dengan penjelasan awak. Awak boleh masuk ke dalam dewan dan tunggu keputusan dari kami”.

Saya berjalan masuk semula ke dalam dewan dengan hati yang tenang dan puas. Tapi lebih puas diumumkan bahawa rayuan saya diterima dan saya layak bertanding di dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar! Tahu apa perasaan saya? Tengok gambar di bawah ni pun dah cukup...


KLIMAKS

“Naib Canselor atas nasihat daripada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011 telah menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan padanya untuk membatalkan sesi penamaan calon semalam”, umum Encik Radhi.

Semua yang berada di depan foyer pejabat HEP tergamam.diam.

Mula kedengaran suara-suara kecil, desas-desus, hilai tawa, hingar-bingar di kalangan hadirin. Yang hadir perjumpaan pada petang itu di depan foyer HEP cuma calon, pencadang dan penyokong pencadang sahaja. Itu pun dimaklumkan pada petang itu juga. Perjumpaan sekitar jam 6.00 petang, makluman hanya dalam pukul 5.00 petang. Abang tahu, semua calon hanya mendapat 1 panggilan telefon tapi saya mendapat 2 panggilan telefon untuk perjumpaan pada petang itu. 1 dari pejabat, 1 dari Encik Radhi. Kedua-duanya membawa berita yang sama.

PELERAIAN

“Semua hari ini jadi sebab kamu lah!”

Ayat yang saya akan ingat selagi nyawa dikandung badan, badan tak dikandung tanah. Ayat ini ayat pertama yang diucapkan oleh Dekan Faulti kepada saya pada pagi Sabtu,19 Februari 2011. Terkejut? Haha, tipulah kalau saya kata sikit pun tak. Setelah 10 minit bercakap dengan beliau, saya mula merasai nadanya sudah bertukar. Beliau menasihati saya berulang kali supaya “belajar rajin-rajin. MPP cuma kegiatan sampingan saja. Study is the main business here”. Jika ditanya hati saya, saya akan tegar dan tetap dengan pendirian saya untuk menyertai penamaan calon yang kedua. Setelah banyak berpusing-pusing, saya mengeluarkan ayat pemutus saya, “Prof, if you asked me, whether to go for MPP, I’ll say I’ll go. But that box down there is for you. You have your own judgement. Please make a wise decision,”. Keputusannya? TIDAK LAYAK dan TIDAK DISOKONG!


Nah. Abang, saya rasa abang dah boleh menulis novel dengan penulisan saya yang panjang lebar ni. Entahlah abang. Saya rasa yang saya merupakan seorang persona non grata di UTHM. Buat pengomen-pengomen yang rasa puas hati dengan hentam saya di blog atau FB, saya ucapkan terima kasih kerana tanpa mereka siapalah saya!

Boleh kiranya saya nak menjawab secara di blog atau FB secara terus tapi saya memilih untuk diam. Bukan apa. Media alternatif memang mudah, cepat tapi ingat ia juga ringan. Seperti makanan rapu. Orang Johor menggelarnya jajan. Makan pi lah banyak mana pun,takkan kenyang gedehak punya. Makan sebekas jajan dengan makan sebekas nasi, efeknya tak sama walaupun hakikatnya kedua-duanya sebekas. Saya lebih percaya kepada penerangan mulut ke mulut, hati ke hati. Lebih telus dan pendengar dapat melihat ke dalam mata saya sendiri apakah saya berbohong ataupun tidak. Speech is silver, silence is golden!

Puas sudah saya mengarang surat ini untuk abang. Saya gunakan sepenuh tenaga, keringat dan air mata dalam meluahkan perasaan di sini. Keikhlasan abang dalam mendalami dan memahami isi hati saya amatlah saya pohon. Cuma ini saja yang saya harapkan dari abang. Sehingga berjumpa lagi di masa lain abangku....

PECAH KACA, PECAH GELAS,

LEPAS BACA, HARAP BALAS!


Adikmu,

MURAD FARIHAN BIN SULAIMAN


**Nama-nama yang digunapakai tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia**