27 June 2011

BERSIH ka?!


Assalamualaikum..
Ni adik Murad hantar surat lagi. Walaupun ada beberapa ayat pedas yang dia tujukan pada saya, namun surat ini perlu dipanjangkan kepada semua pembaca blog ini. Beberapa hujahnya boleh digunapakai. Apa-apa pun, enjoy the letter.. ;)


Assalamualaikum,

Salam sejahtera dan Salam Satu Malaysia..

Ke hadapan Abang Farhan yang saya kasihi. Saya berasa terpanggil untuk menulis sekali lagi kepada abang apabila saya selalu menjenguk ke blog abang dan saya terlihat surat saya yang abang dedahkan. Walaupun hati ini terluka pendedahan surat saya oleh abang, namun saat kepayahan itu telah saya lalui. Sedarlah abang, saya sekarang semakin tabah dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam kehidupan.

Saya berasa agak hairan dengan blog abang yang dipenuhi dengan sawang. Adakah abang mengalami writer’s block? Ataupun abang tak membuat apa-apa aktiviti menarik untuk dikongsikan dengan pembaca blog abang? Saya tak merasakan begitu kerana abang seorang yang aktif, produktif dan juga reaktif. Telahan saya, abang banyak meluangkan masa dengan keluarga abang di kampung. Abang sudah merangka apa yang ingin ditulis cumanya abang tak punya masa untuk mengemaskini blog abang yang bersawang ini.


Saya memahami isi hati abang dan saya menulis sekali lagi bertujuan supaya abang menyiarkan penulisan saya ini, jika abang merasakannya sesuai untuk disiarkan. Dalam masa yang sama, mengemas kini blog abang yang bersawang ini. Abang, apakah isu yang terhangat sekarang? Saya pasti abang sudah dapat mengetahui perkaranya melalui tajuk warkah saya ini.

Perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. Kesatuan NGO-NGO dan parti politik membuat perhimpunan aman demi menuntut pilihan raya yang bersih dan perhimpunan ini dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan dan dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH). Mereka mengadakan perhimpunan ini untuk menuntut 8 perkara. Saya merasakan abang sudah cukup jelas dengan tuntutan-tuntutan mereka ini kerana abang membaca Malaysiakini hampir setiap hari.


Abang, pihak Barisan Nasional, UMNO khususnya, melabel perhimpunan ini sebagai haram dan hanya akan menjejaskan ekonomi negara. Pihak Pakatan Rakyat melihat perhimpunan ini sebagai batu loncatan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 selepas menang di 5 negeri semasa PRU 12 yang lalu. Lalu, bertukar-tukar faktalah kedua-dua pihak. Ada yang logik, ada yang tak logik. Ada yang bersurah macam mangkuk, ada yang mengeluarkan riwayat Dato Onn Jaafar menggerakan demonstrasi aman bagi membantah Malayan Union. Jangan dilupa fakta bahawa Dato Onn Jaafar merupakan datuk kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Keselamatan Dalam Negeri sekarang.

Ada pihak mempersoal latar belakang Datuk Ambiga. Ya, benar dia dikatakan pernah membangkang perlaksanaan hukum syariah dalam artikel 121 (1A) bersangkutan dengan kes Lina Joy. Ini fakta dan tak boleh ditolak. Saya juga tidak bersetuju dengan Ambiga di dalam kes ini. Tetapi ini bukan kes Lina Joy, malahan tidak berkaitan langsung. Sebagai analoginya, saya kongsikan satu fakta. Watak utama filem “Edward Scissors Hand”, watak utama “Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street” dan watak utama “Pirates of the Carribean” dilakonkan oleh Johnny Depp, ketiga-tiga watak di dalam ketiga-tiga filem tersebut adalah tidak berkaitan langsung antara satu sama lain!

Ambiga menentang perlaksaan hukum syariah dan beliau mahukan pilihan raya yang bersih. PAS menyokong perlaksaan hukum syariah dan PAS mahukan pilihan raya yang bersih. Perlu diingat seperkara. Medan sekarang dalam merebut kuasa tidak sama seperti medan merebut kuasa zaman Rasulullah S.A.W. Medan sekarang bukan dengan mengangkat senjata tetapi permainan persepsi masyarakat. Saya memetik kata-kata Wan Saiful Wan Jan (di sini!) “Jika sebuah parti politik tidak menyedari peri pentingnya persepsi, maka parti itu berada di padang permainan yang salah. Politik ialah sebuah pertandingan persepsi. Kejujuran dan ketokohan seseorang itu hanya bernilai jika sifat-sifat ini berjaya mempengaruhi persepsi pengundi. Jika sifat-sifat itu tidak membawa persepsi positif, maka dalam bahasa kampungnya “tak payah pun tak apa”.


Abang, ingin saya nyatakan di sini, saya menyokong perhimpunan BERSIH ini, walaupun dilabel “haram”, “mengganggu ketenteraman” dan sebagainya. Natijahnya besar. Kedua-dua belah pihak mendapat keuntungan dari perhimpunan ini sama ada sedar ataupun tidak. Di sebelah Barisan Nasional, mereka boleh mengukur tahap kepuasan hati rakyat terhadap cara mereka mengurus tadbir negara. Jika kalah dalam PRU 13, be gentle and face it like a man. Di sebelah Pakatan Rakyat, tiada sebab untuk mereka melompat jika mereka masih gagal ke Putrajaya selepas PRU 13 nanti. They only have themselves to be blamed!

Dan yang terakhir, saya sebenarnya agak culas nak menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam menyokong hujah-hujah saya dalam hal semacam ini, walaupun ada lah sepotong dua yang saya tahu. Saya hanya perlu menggunakan logik akal sahaja. Saya biarkan ruang-ruang mencari sokongan dan dokongan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis pada yang pakar di dalam bidangnya. Saya menghormati pandangan Dr. Asri Zainul Abidin di sini. Pada saya, biarlah sesuatu tugasan itu dibereskan oleh ahlinya.


Setakat ini sahaja komen saya, abang. Harapnya abang mendapat sedikit pencerahan tentang di mana pendirian saya di atas isu BERSIH ini. Dan harapan terakhir dari saya, aktiflah menulis blog dan jadikannya suatu ketagihan. Inilah ayat yang abang “perturunkan” dulu kepada saya dan saya akan pegang selama saya waras. Wassalam..

Adikmu,

MURAD FARIHAN BIN SULAIMAN