29 August 2011

Siapa 'Aideen? Siapa Faaizeen?



Hari ini kita di penghujung Ramadhan. Esok Hari Raya Aidilfitri. Masih kenyalkah iman kita tatkala Ramadhan episod 1432 usai melabuhkan tirainya? Atau jiwa nurani kita meronta-ronta untuk dilepaskan dari “azab” Ramadhan yang Allah “paksa”kan kepada umat Muhammad?

Bagaimana kita memandang Ramadhan, maka itulah hasil yang kita dapat untuk Ramadhan kali ini. Jika “paksaan” ini kita pandang baik, maka baiklah hasilnya. Jika “paksaan” ini kita pandang sebagai beban dan hukuman, maka itulah hasilnya. Caca merba dan serba serbi tak kena!


Kanak-kanak menjadi riang apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana mereka beroleh “durian runtuh”, duit raya. Ketika inilah meriam buluh, meriam tin menjadi bermakna. Kalau meriam buluh, meriam tin dibunyikan ketika bulan-bulan lain, mungkin ada rakyat yang beranggapan Jepun sedang menyerang Malaya atau Indonesia sedang mengganyang Malaysia. Tetapi tidak berlaku di Bulan Ramadhan. “Alah, budak-budak. Biasa la tu..”

Bapa kanak-kanak menjadi kurang riang apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana mereka akan memberi “durian runtuh” kepada peniaga barangan Hari Raya. Daging untuk rending, ketupat dan lemang, kuih semprit, kuih rempit semuanya memerlukan mahar. Dan desakan ini akan membiuskan poket-poket si bapa dari menyedari hakikat dirinya. Jika tidak dirancang dengan baik, maka bulan berikutnya ditambah berpuasa lagi sebulan!


Hari Raya Aidilfitri bukanlah sekadar adat yang wajib setahun sekali kita lalui. Ianya lebih dari adat. Ianya adalah ibadat dan syariat. Sebagai muslim sejati, kita melihat Hari Raya Aidilfitri sebagai simbol kemenangan kita menentang nafsu serakah sendiri di Bulan Ramadhan. Tidak ada makhluk lain yang tahu akan kualiti puasa kita melainkan kita dan Khaliq. Dengan itu, Allah telah “paksa”kan kita untuk tidak berpuasa pada 1 Syawal bagi meraikan kemenangan kita.

Pernah terlintas istilah “Minal Aidin wal Faizin” ketika menyambut Hari Lebaran? Selalu kita terdengar istilah ini tapi kita kurang mendengar penjelasan di sebalik istilah ini melainkan acap kali disebutkan oleh penyanyi dan pelakon Muslim di rancangan televisyen. Secara sedar atau tidak “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” membawa makna yang besar mencakupi urusan dunia dan akhirat.

SIAPAKAH GOLONGAN ‘AIDEEN?

Ramadhan mengajar kita agar menundukkan nafsu ketika bepuasa. Universiti Tarbiyah Hati Manusia (UTHM) yang Allah kurniakan kepada kita supaya kita menjadi orang bertaqwa selepasnya. Bertaqwa dengan meninggikan keimanan kita, meremehkan keinginan nafsu dan meletakkan akal di tempat selayaknya. Dengan ini, darjat kita lebih tinggi setingkat dan lebih menghampiri Muslim yang Mukmin seperti pengkhabaran Al-Quran. Erti ‘Aideen ialah orang yang kembali. Ya,kita kembali ke jalan Allah untuk menuntut Jannah.

SIAPAKAH GOLONGAN FAAIZEEN?

Ramadhan melatih para graduannya satu golongan Muslim yang berjaya keluar dari kepompong penghambaan kepada nafsu dan terus penghambaan kepada Allah. Selama ini mereka terkurung di dalam cerminan nafsu, akhirnya mereka bergraduasi dengan sebutir pingat ketaqwaan dengan sebenar-benar taqwa. Mereka inilah Faaizeen. Faaizeen adalah orang yang berjaya.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu”
(Asy-Syams: 9)


Kita semak kembali istilah tadi. Adakah kita akan menjadi “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” selepas keluar dari pentarbiyah Ramadhan? Adakah kita dari golongan yang sibuk untuk berhari raya dari sibuk menuntut pembebasan api neraka?

Adakah kita melambai senja Ramadhan 1432 dengan masih lekat sekelumit kebatilan bertenggek di hati? Adakah kita tidak sabar-sabar lagi untuk menggamit Ramadhan 1433 yang entah kita sempat ataupun tidak? Semuanya ada pada iman kita. Tepuk dada, tanya iman!

KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL,
JANGAN LAUTAN HENDAK DIDUGA,
KALAU NAFSU MENDAHULUI AKAL,
JANGAN PERNAH MIMPIKAN SYURGA!


26 August 2011

Murtad: Antara Jelas dan Tidak




Isu murtad yang berlegar di sekitar Geraja Damansara Utama Methodist (DUMC) banyak diperkatakan semenjak kebelakangan ini. Puas puak yang bersolat dan geng yang tak bersolat berhempas pulas hendak memenangkan kumpulan masing-masing dalam isu ini. Saya di pihak mana bukanlah perkara pokok penulisan kali ini. Penulisan kali ini berkisar mengenai isu Aqidah dan kefahaman umat. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengungkap isu ini tapi bukanlah untuk saya mendiamkan diri sahaja. Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua!

Suka saya mulakan persoalan murtad dengan pengenalan kepada Aqidah dan maksudnya kerana tanpa Aqidah kepada Allah S.W.T, mana mungkin wujudnya gejala murtad. Aqidah secara literal bahasa Arabnya bermaksud “ikatan”. Aqidah beerti ketetapan yang tidak ada keraguan kepada orang yang mengambil keputusan. Dengan perkataan yang lebih mudah, jika asas pemikiran seseorang ialah sekular, walaupun mulutnya mengatakan dia Islam, dia tetap sekular pada aqidahnya.

Aqidah Islamiyyah pula ditakrifkan sebagai “Keimanan yang teguh dengan Rububiyyah Allah Ta'ala, Uluhiyyah-Nya, para Rasul-Nya, hari Kiamat, takdir baik maupun buruk, semua yang terdapat dalam masalah yang ghaib, pokok-pokok agama dan dengan ketundukkan yang bulat kepada Allah Ta'ala baik dalam perintah-Nya, hukum-Nya maupun ketaatan kepada-Nya serta meneladani Rasulullah S.A.W.”

Untuk summing up, saya menyimpulkan bahawa “Aqidah adalah satu ikatan yang seseorang hamba punyai dengan sembahannya. Keterikatan ini melangkaui segala bentuk amalan zahir atau pun batin seseorang itu untuk memenuhi segala perintah sembahannya.”

Murtad secara literalnya bermaksud “kembali”. Menurut istilah syarak, Murtad bermaksud “Meninggal atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng sama ada melalui perkataan atau melalui perbuatan atau iktiqad, kepercayaan dan keyakinan diri”

Untuk summing up, saya menyimpulkan bahawa “Murtad adalah keadaan seseorang yang kembali kepada kekafiran setelah menerima Islam sebagai aqidahnya. Boleh terjadi kerana perbuatan, percakapan dan iktiqad”


Murtad merupakan satu bala yang besar kepada Muslim yang Mukmin yang memahami maksud kata murtad dengan sebenarnya. Firman Allah yang bermaksud…

“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah:217)

Disebabkan murtad boleh terjadi disebabkan 3 faktor iaitu perbuatan, percakapan dan iktikad, maka garisan yang membezakan antara murtad dan tidak amatlah nipis sekali. Hadir salah satu tanpa dua yang lain juga jatuh kepada murtad. Hadis Nabi S.A.W ada menyatakan…

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda, ”Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.” (Riwayat Imam Muslim)


MURTAD MELALUI PERBUATAN

Murtad melalui perbuatan ialah tindakan atau perbuatan seorang Muslim yang melanggari larangan syarak dengan sengaja. Sekadar perkongsian pengalaman ketika di politeknik. Saya pernah menginap di Kamsis dan kebetulan berhampiran dengan bilik seorang siswa dari Kuala Lumpur. Agak lama saya perhatikan dia. Dia memakai rantai Salib terbalik menghampiri gambar di bawah…


Saya cuba mendekatkan diri dengannya dan akhirnya saya mempunyai kekuatan untuk bertanya kepadanya…

“Hang pakai ni rantai apa? Awat lambang Salib ni terbalik?”

“Oh,ni lambang Anti-Christ..”

Terkebil-kebil saya pada masa itu. Dengan mukanya ada sedikit riak-riak bangga membuatkan lebih kuat pening saya pada ketika yang sama. Lambang Salib sudahlah haram dipakai kerana lambang agama lain, bukankah Anti Christ juga bermaksud Anti Tuhan kepada masyarakat Kristian?


MURTAD MELALUI PERCAKAPAN

Murtad melalui percakapan ialah seseorang itu mengaku dirinya kafir dan menafikan Allah sebagai Rabb dan Ilah. Memang mudah untuk mengawal perbuatan dan perilaku tetapi lebih sukar untuk mengawal lidah. Simpulan Bahasa Melayu ada menyebut “Lidah tidak bertulang” bererti mudah melafazkan janji dan mudah juga untuk mengubahnya.

Ingat lagu Spider “Relaku Pujuk” yang pernah menjadi johan Anugerah Juara Lagu 2004? Ingat lagi lirik pada korusnya?

“TIADA LAFAZ YANG LEBIH AGUNG
Kalimah cintamu yang ku tunggu-tunggu
Biar jasadku yang menanggung
Permainan darimu rela ku pujuk”

Bukankah lafaz yang teragung adalah tasbih memuji Allah? Mana mungkin ada lafaz yang lebih agung menuntut cinta insan dari menuntut redha Ilahi?

Ya, mungkin ringkas sahaja. Kita sudah mengetahui Murtad Melalui Percakapan ialah “menafikan Allah sebagai Rabb dan Ilah”. Apa itu Rabb? Apa itu Ilah? Cuba selak kembali pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia. InsyaAllah, ketemu maksud Rabb dan Ilah.


MURTAD MELALUI IKTIKAD

Murtad melalui iktikad, keyakinan dan kepercayaan yang menyeleweng dari konsep Aqidah Islam yang sebenar. Murtad jenis ini lebih sukar untuk dikesan kerana penyakitnya di dalam hati dan bukan pada anggota fizikal.

Kita gunakan contoh yang mudah. Pernah guna ayat “Nasib baik aku lambat sikit. KALAU tak, aku yang mati kena langgar tadi..” dan seumpama dengannya? Penggunaan perkataan “KALAU” di dalam ayat itu adalah salah dan boleh jatuh murtad. Kerana apa? Kerana kita tidak meyakini hidup dan mati di dalam kekuasaan Allah. Jika maut datang menghampiri, awal sesaat pun tidak, lambat sesaat pun tidak.

Ini yang paling mudah saya kesan. Kenyataan berbunyi “Aku ni kalau Allah nak bagi aku solat, aku dah solat dah. Dah memang tulis di Lauh Mahfuz aku bukan orang yang solat.” Ini pun satu bentuk gejala murtad. Ayat ini bercanggah dengan Rukun Iman ke-6 yakni Beriman dengan Qadha dan Qadar. Huraian mudah dari Ustaz Hasrizal di sini.

Meyakini wujudnya sistem yang lebih harmoni kepada umat manusia berbanding sistem Islam adalah sama sekali bertentang dengan kefahaman Islam. Tak perlu kenyataan seperti ini dikeluarkan dari mulut seseorang, cukuplah sekadar tindakannya menolak dengan tidak mahu melaksanakan sistem Islam tersebut. Menolak secara halus!


Maka, cukuplah huraian saya asas bagaimana murtad boleh terjadi. Tidakkah kelihatan garisan pemisah antara iman dan kufur begitu halus sekali? Lebih halus dari sehelai rambut di belah tujuh!

Antara Islam dan Kafir, ianya bukan di lidah tetapi ianya di hati. Jika kita selak Sirah Sahabat Rasulullah S.A.W, maka kita akan berjumpa dengan satu susuk manusia yang bernama Yassir bin Amir, suami Sumayyah. Yassir r.a diseksa dengan azab yang amat perit setiap hari kerana memeluk Islam. Beliau dipaksa untuk menerima aqidah nenek moyangnya dan menolak aqidah Islam. Sehingga satu ketika, lidahnya berkata dia kembali kepada agama asalnya tetapi hatinya berkata Islam masih utuh sebagai agamanya!

Lembaran Al-Quran menceritakan kepada kita akan peristiwa “kekufuran” Yassir bin Amir setelah diseksa musyrikin Mekah dengan ayat…

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (An-Nahl:106)


Ubatnya ialah apa? Ubatnya bukan dengan banyak beribadat. Tetapi ubatnya ialah dengan banyak menuntut ilmu berkaitan aqidah. Kefahaman tentang agama dan kuat beragama adalah berbeza walaupun selalunya ia datang bersekali. Dari Abu Umamah r.a bahawa Nabi S.A.W:

“Barangsiapa yang berusaha mencari satu jalan untuk menuntu ilmu, nescaya Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga. Para malaikat akan mengembangkan sayapnya sebagai tanda redha kepada penuntut ilmu. Bagi mereka yang berilmu segala yang ada di langit dan di bumi memohon ampun untuknya termasuk ikan-ikan paus di tengah lautan. KELEBIHAN ORANG YANG BERILMU BERBANDING AHLI IBADAH SEUMPAMA KELEBIHAN BULAN MENGAMBANG BERBANDING SEMUA BINTANG. Ulamak adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan wang dinar dan dirham tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya pastilah mereka memperolehi keuntungan yang melimpah”. (HR At-Tirmizi)


Ingatlah sahabat. Keimananmu bukanlah pada lidahmu. Keimananmu bukanlah pada anggotamu. Keimananmu wujud di dalam hatimu. Kefahaman agamamu adalah benihnya, aqidahmu adalah akarnya, dan akhlakmu adalah buahnya!

(ulasan Dr. Asri Zainul Abidin di sini!)