22 October 2011

Kebaikan, Keburukan Komunikasi Gen Y


“Sesungguhnya Facebook adalah seperti makanan rapu. Walaupun ianya sedap dan ringan tapi kalau guna dengan banyak, natijahnya merosakkan kesihatan!”


Seperti yang pernah saya katakan, Generasi Y adalah generasi screenagers. Mereka gian dengan segala macam peralatan berskrin. Dari Samsung Galaxy Tab hingga ke skrin Sony Bravia dilengkapi Astro Beyond.

Kalau dihitung peralatan yang menggunakan skrin kegilaan (ramai) anak-anak muda hari ini memang banyak. Zaman bermula dengan short messaging system (SMS) , beralih pula ke medan komunikasi MIRC dan kini Facebook, memulakan zaman komunikasi berskrin. Komunikasi pada era ini, sudah mengalami evolusi dari “mulut ke mulut” kepada “jari ke jari”. Sudah pastinya, perkembangan teknologi ini mempunyai selaut kebaikan dan tidak kurang juga selaut keburukan.


SISI CERAH TEKNOLOGI

Saya mulakan pandangan saya mengenai teknologi ini dengan kelebihannya. Kelebihan yang paling utama adalah pertukaran maklumat berlaku dengan amat pantas. Dengan Twitter, sekali anda men-tweet, maka beribu-ribu orang akan tahu akan apa kandungan tweet anda. Walaupun dalam kekangan bilangan abjad yang terhad, itu bukan jadi satu halangan kerana persefahaman bersama (mutual understanding) menjadi teras utama dalam komunikasi dalam Twitter. Sebagai contoh..

WTF= Wa Tak Faham, IDK=I Dah Kata, BTW=Baru Tahu Weii


Kelebihan nombor 1, KOMUNIKASI MENJADI LEBIH MUDAH!


Di peringkat kampus, publisiti program anjuran kelab dan persatuan menjadi lebih mudah dengan adanya Facebook. Kemampuan Tag dan Share yang dibekalkan di dalam Facebook mampu memaksimumkan keupayaan had tenaga manusia. Sekali di-share, beribu-ribu orang boleh tahu tentang program tersebut. Walaupun amalan mengiklankan program di papan kenyataan masih diamalkan, impak ketika dipromosikan melalui medan maya mempunyai auranya tersendiri.

Kenduri kahwin juga menjadi lebih mudah dengan aplikasi Event. Satu dunia boleh tahu yang anda akan berkahwin pada tarikh tersebut. Mengingati hari lahir yang tersayang bukan menjadi satu masalah lagi dengan aplikasi Event juga. Pasangan kawan sekolah lama terpisah dapat menyambung tali persahabatan dengan carian melalui sekolah lama.

Kelebihan nombor 2, DUNIA MENJADI LEBIH KECIL DARI SAIZ ASALNYA!

Merbah Jambul (Red Whiskered Bulbul)

Segalanya mudah di alam maya. Anda hanya perlu mewujudkan satu profile dan letakkan sebarang nama. Misalnya “Merbah Jambul”. Pastikan semua particulars di dalamnya adalah particulars anda. Dengan mudahnya, Facebook akan mencadangkan Orang Yang Mungkin Dikenali (People You May Know). Mudah, Mudah, Mudah!

Kelebihan nombor 3, MUDAHNYA MEMPUNYAI KAWAN DI ALAM MAYA!


SISI GELAP TEKNOLOGI


Selepas puas mengampu teknologi hari ini di dalam bait rangkap di atas, maka tibalah kita ke sesi memhentam pula. Walaupun teknologi ini mampu meringkaskan teks untuk menyampaikan maksud si pengirim, itu belum cukup untuk membuatkan teknologi hari ini “dekat di hati”. Inilah kekurangannya yang paling besar. Komunikasi mazhab ini menjadi komunikasi robot!


Logo Terbaru Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, UTHM

Kita ambil keadaan semasa yang berlaku di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) di UTHM. Isunya, dua blok penghuni lelaki di KKTDI akan bertukar dengan dua blok penghuni perempuan di Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF). Sebagai contoh, satu kenyataan yang dikeluarkan berbunyi...

“Penghuni perempuan KKTDI berasa lebih kurang selamat dengan perpindahan penghuni lelaki KKTDI ke KKTF walaupun KKTF hanya berada bertentangan dengan KKTDI”

Apakah yang ingin disampaikan dalam kenyataan di atas? “Penghuni perempuan berasa lebih kurang SELAMAT dengan...” atau “Penghuni perempuan berasa lebih KURANG selamat dengan...”?

Walaupun secara harfiahnya, kedua-dua ayat adalah sama dari sudut bilangan perkataan yang terkandung di dalamnya, tetapi penekanan (stress) ayat itu yang akan membezakan maksud yang ingin disampaikan oleh si penyampai.

“Lebih kurang SELAMAT” lebih mendekati maksud “selamat juga dari tak selamat” manakala “lebih KURANG selamat” lebih mendekati maksud “kami rasa tak selamat”. Jadinya, apa yang cuba disampaikan oleh ayat tadi? Hanya penghuni perempuan KKTDI boleh menjawabnya..

Kekurangan nombor 1, NADA (INTONASI) TIDAK DAPAT DIALIRKAN MELALUI TEKNOLOGI INI!


Sesiapa sahaja boleh menjadi sesiapa di dalam teknologi ini. Cuma perlu sedikit masa untuk sesuaikan dan mahirkan diri dan anda sudah bersedia untuk menjadi “Merbah Jambul” yang nakal. “Merbah Jambul” boleh menjadi “profil hantu” (fake account) yang digunakan untuk mengganggu ketenteraman orang lain di dunia maya. Profil ini digunakan untuk menyebarkan berita fitnah yang mencela, menjatuhkan maruah orang lain dan pelbagai jenis jenayah lagi.

Tetapi tuan punya profil “Merbah Jambul” juga mempunyai profil yang lain, yakni profil sebenarnya. Dalam profil sebenarnya, semua yang ditunjuknya adalah baik-baik belaka. Hadis Nabawiyah sentiasa di wallnya, ayat-ayat Quran sentiasa menjadi tatapan pengunjung wallnya. Hebat dan indah belaka persis seorang ustaz!

Bagaimana kita hendak menilai orang sebegini? Tak perlu kita sebagai penilai, cukuplah Allah S.W.T sebagai penilainya. Allah adalah Pencipta segala makhluk dan Allah jugalah Pencipta Syurga dan Neraka. Allah tidak mencipta Neraka dengan sia-sia tanpa orang sebegini sebagai penggalak dalam memarakkan lagi bahang api Neraka!

Kekurangan nombor 2, SEMPADAN SYURGA DAN NERAKA MENJADI SETEBAL IMAN PENGGUNANYA!


Cukuplah tiga sisi cerah dan dua sisi gelap teknologi. Perlu diingat semua teknologi perhubungan ini dicipta untuk memudahkan komunikasi. Namun, amat malang sekali apabila kita sering terlupa satu perkara. Komunikasi yang berkesan memerlukan HATI!

Jika kita mempunyai akhlah terpuji di alam realiti dengan sikap sebagai Muslim yang Mukmin, maka pandangan masyarakat kepada kita BUKAN lagi tertumpu di alam maya. Masyarakat lebih percaya kepada apa yang dilihat di alam realiti berbanding apa yang dilihat di alam maya. Banyakkan bermasyarakat dengan orang di alam realiti adalah lebih sejahtera dan harmonis berbanding berdebat tanpa penghujung di alam maya dengan “Merbah Jambul”!

Komunikasi di alam realiti lebih utama kerana khalayak dapat melihat tutur kata dan bahasa tubuh yang kita pamerkan. Bahasa tubuh dan tutur kata kita adalah manifestasi apa yang terkandung di dalam hati kecil kita. Nabi Muhammad juga berkomunikasi dengan bahasa tubuh. He lead by example and became the message himself!

Namun, untuk meninggalkan sama sekali teknologi terkini bukanlah sesuatu yang bijak. Diumpamakan dengan teknologi persenjataan hari ini sudah menggunakan M-16 dan Kalashnikov tapi kita masih terlekat dengan keris dan tombak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sesungguhnya Sultan Muhammad Al-Fateh dapat menawan Kota Constantinople dengan teknologi terkini dan strategi yang segar.

Sebagai kesimpulannya, walaupun komunikasi hari ini menjadi mudah dengan teknologi tetapi harus diingati kita manusia dijadikan secara inside-out oleh Yang Maha Esa. Jika diukur, hati manusia lebih dekat dengan lidahnya berbanding matanya. Ini bemaksud lidah yang berkata-kata di alam realiti lebih bermakna dari membaca perkataan-perkataan di alam maya. Mesej lidah tadi akan menjadi sempurna dengan bahasa tubuh yang dipamerkan di alam realiti!


09 October 2011

Radikal Adalah Aku!


“Dari robohan Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka”—Dr.Burhanuddin Al-Helmi

Terselit kata-kata Dr.Burhanuddin dalam bait-bait penulisan dalam buku Memoir Abdul Majid Salleh: Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh. Buku ini saya beli bersama buku Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api. Kedua buku ini terbitan Penerbit UKM, cetakan pertama 2004. Buku-buku ini dibeli di Karnival Buku UTHM anjuran Pejabat Penerbit.


Setelah kenyataan Timbalan Presiden PAS mengenai Mat Indera, saya berasa terpanggil sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk merenung kembali sejarah Malaysia terutama sekali sejarah sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Tambahan pula, saya memang pernah menulis sedikit berkenaan dengan hal ini di sini.

Fasa 1940-an hingga 1950-an merupakan tempoh cabaran yang getir. Banyak pergolakan politik yang berlaku. Ideologi berlaga dengan hebat. Zaman ini zaman menghalau penjajah. Antara tikus atau musang, antara gajah atau harimau, kita boleh lihat di sini. British yang baru masuk ke Tanah Melayu adalah bermuka baik, senyumnya tersimpul tapi di dadanya tetap mahu menjajah. Tangannya memegang sampul berisi Malayan Union!


Titiknya di sini. Malayan Union. Maka bermulanya orang-orang Melayu bangkit menentang penjajah. Dari sekecil-kecil Melayu sehingga ke sebesar-besar Melayu. Rapat umum berskala raksasa mula digerakkan di seluruh semenanjung. Penyatuan orang Melayu ini mengakibatkan British sudah mula sedar Melayu ini bukan Melayu dulu lagi. Melayu ini pantang dicabar dan bukan Melayu yang hidup segan mati tak mahu.

Bukan tujuan saya mahu mengulas mengenai sejarah puak kanan. Sejarah puak kanan ditulis seolah-olah mimpi di dalam mimpi. Banyak dibuai angin sendu, kata-katanya indah merdu, syair-syairnya mendayu-dayu. Sejarah mereka seolah-olah ahlinya turun dari langit. Sempurna tanpa cela!

Berbanding dengan sejarah puak kiri. Riwayatnya sentiasa bermandi keringat, tuturnya jerih perit rakyat, darah adalah mainan di mana nyawa jadi taruhan. Dekatnya mereka kepada manusia bukan diukur dengan neraca kesempurnaan tetapi dengan jiwa insan.


Diteliti karekter-karekter Ahmad Boestamam, Abdul Majid Salleh dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi membuatkan saya terserap ke dalam dunia pancaroba mereka. Zaman menuntut hak dengan menentang British dan bukan mencium kaki-kaki mereka. Zaman merampas Tanah Melayu dengan “merompaknya” dari British dan bukan dengan “tawar menawar” dengan British.



Watak Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang berjiwa sufi, watak selantang Abdul Majid Salleh dan watak seberani Ahmad Boestamam melalui liku-liku perjuangan bukan hanya bermodalkan air liur sahaja. Perjuangan yang didokong mereka dibasahi dengan keringat, air mata dan darah.

Dipetik dari buku Dr.Burhanuddin Al-Helmi: Pejuang Melayu Sejati karangan Ismail Said, Farish A. Noor menyebut..

“Dr. Burhanuddin sangat terbuka, toleran dan pragmatic watak dan mindanya. Oleh kerana itu dia diterima oleh semua pihak, termasuk parti-parti sekular haluan kiri seperti Parti Rakyat dan Front Sosialis pada masa itu. Dr.Burhanuddin dihormati oleh tokoh-tokoh lain seperti Ahmad Boestamam, pemimpin Parti Rakyat pada ketika itu.”

“…bagi Dr.Burhanuddin, konsep ‘race’ itu suatu idea kolonial yg diimport oleh British untuk memecahbelahkan masyarakat Asia, agar lebih senang dijajah. Sebagai seorang muslim, dia terima konsep ini: Dari sudut pandangan teologi Islam, ‘race’ itu tidak relevan. Hanya ada satu ‘race’ iaitu manusia dan kita semua insan di alam ini”





Menyelak lembaran Memoir Abdul Majid Salleh, membuatkan saya kembali ke zaman Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mula ditubuhkan. Cogan kata “Merdeka”, “Organisasi Parti” sehinggalah ke lagu peniup semangat perjuangan berjudul “Darah Rakyat”.

Garis-garis perjuangan PKMM jelas di dalam simbol mengangkat tangan sambil menggenggam lima jari. Lima jari itu membawa erti dan kiasan yg besar iaitu:

1. Merdeka berpolitik: Apabila kita merdeka maka apa saja yang kita mahu ialah politik negara bebas mengikut acuan yang kita suka.
2. Merdeka ekonomi: Kita mahu ekonomi negara kita merdeka dari tekanan pihak luar negeri atau penjajah kapitalis.
3. Merdeka beragama: Kita mahu negara kita bebas melaksanakan hukum dan undang-undang Islam sepenuhnya tanpa dikongkong penjajah.
4. Merdeka sosial: Pergaulan hidup tidak terbatas kepada satu-satu kaum sahaja atau kasta yang sangat berbahaya.
5. Merdeka kebudayaan: Tiap-tiap bangsa di dalam dunia ini ada kebudayaan masing-masing. Kita mahu bebas memilih kebudayaan yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan agama serta bebas pula membuang kebudayaan yang menyesatkan orang Islam.



“Pemuda-pemuda Melayu, insaflah. MERDEKA dengan DARAH”

Jujur saya katakan, saya tertarik hati membeli buku Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api kerana selingan Testament Politik API. Dipetik dari permulaan testament ini, menurut Ahmad Boestamam, pemuda itu terbahagi kepada dua; pemuda yang insaf dan pemuda yang lupakan diri.

“Pemuda itu adalah bunga tiap-tiap bangsa. Tapi ingatlah bahawa kembang dan kembang itu ada dua. Ada kembang yang berseri-seri dan wangi dan ada kembang yang lalu dan gugur ke tanah. Kembangan yang berseri-seri menjadi suntingan puteri, tetapi kembang yang layu jangankan menjadi suntingan puteri, kumbang dan lalat-lalat pun tidak mahu mendekatinya.”



Kembali ke masa 2011. Hari ini, Tanah Melayu sudah pun merdeka. Namanya pun sudah bertukar. Malaysia namanya sejak 16 September 1963. Jejak tokoh-tokoh yang jiwa mereka merdeka mendahului zaman asalnya hampir terkubur begitu sahaja. Namun wujud usaha-usaha untuk mengorek kembali khazanah ini dari terkambus terus. Sehubungan dengan itu, ada suara-suara yang mencadangkan label pengganas, komunis, lefties harus diberikan penakrifan baru.

Keadaan keterujaan yang teramat hinggakan timbulnya teori baru iaitu “Tanah Melayu (Malaysia) tak pernah dijajah”. Kalau itu benar, maka seluruh sistem mata pelajaran sejarah harus di-overhaul dan semua rakyat Malaysia harus menduduki semula mata pelajaran sejarah untuk melahirkan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia. Kalau bodoh pun, silalah betempat!

Akhir kata, jika jiwa Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah radikal, jika perjuangan Majid Salleh adalah radikal, jika pemikiran Ahmad Boestamam adalah radikal maka Radikal Adalah Aku!


06 October 2011

Jadikan Menulis Satu Ketagihan




Bayangkan dunia yang kita kenali hari ini tanpa BUKU…
Dunia takkan mengenali Ibnu Sina tanpa buku Al-Qanun Fil Tibb..
Dunia takkan mengetahui Algebra tanpa buku Al-Jabar karangan Al-Khawarizmi..
Dunia takkan mengenali Ibnu Haytham tanpa buku Al-Manazir..


Dunia yang kita ketahui hari ini takkan menjadi dunia yang sama tanpa BUKU. Buku yang dicetak, disebar dapat menyampaikan penemuan, teori dan buah fikiran yang cuba disampaikan oleh sang penulis. Jika sang penulis sudah wafat berpuluh tahun malahan beratus tahun sekalipun, ilmunya yang ditinggalkan dapat menjadi rujukan dan panduan buat cucu cicitnya.

Zaman sekarang, buku sudah dipindahkan ke internet. Dengan format PDF, buku dapat dikongsi dan dibaca oleh seluruh dunia dengan perkongsian langit terbuka. Dengan internet, seseorang dari benua Afrika dapat membaca buku dalam Bahasa Zulu walaupun dia berada di Rusia pada ketika itu. Dengan internet, seseorang itu boleh kelihatan amat bijak menguasai bahasa asing dengan Google Translate. Mungkin juga kelihatan superbly bodoh dengan perkara seperti ini.


Menulis adalah medium yang paling mudah dalam menyampaikan maklumat selepas bercakap. Dalam sesuatu ucapan mungkin dihadiri oleh ribuan orang. Tapi dengan penulisan, angka itu mungkin melonjak ke ratusan ribu orang, bergantung kepada tahap kemasyhuran seseorang itu. Idea dan buah fikirannya dapat menjalar dan mempengaruhi khalayaknya secara sedar mahupun tidak sedar.


Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'an bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Sahal bin Mu’az bin Anas, daripada bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang mengajarkan satu ilmu maka baginya pahala orang yang mengamalkannya sedangkan tidak mengurangkan pahala orang yang mengamalkannya.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)


Dakwah adalah perkara yang mudah. (Apabila saya katakan mudah, saya TIDAK maksudkan sudut perlaksanaan. Mudah difahami keperluannya.) Modalnya cuma SEDIKIT ILMU dan SEDIKIT KEBERANIAN. Kenapa saya tidak menyenaraikan masa sebagai modal untuk berdakwah? Kerana orang yang hidupnya bulat untuk Islam, maka hidupnya akan diresapi dengan roh Islamiyyah tanpa perlu paksaan dari mana-mana sumber. Aqidahnya mengikat dan menghalangnya dari apa-apa bentuk perhambaan kepada taghut. Hidupnya Islam hatta 25 jam sekalipun!


SEKELUMIT ILMU


Berbalik kepada persoalan dakwah. Hanya SEDIKIT ILMU yang diperlukan kerana jika seseorang itu mempunyai ilmu yang luas tapi manfaatnya cuma untuk dirinya sendiri, maka saya ibaratkan dia seperti motorsikal berkuasa tinggi, tangkinya penuh minyak tapi TAK ditunggangi oleh pemiliknya. Dia cuma dipuji setiap hari oleh tuannya. Maksudnya, he doesn’t serve the purpose he was built in the first place!

Ilmu yang sedikit jika dikongsi akan mencambahkan cabang-cabang ilmu tersebut. Keluasan ilmu Allah akan mula dirasai oleh si pemunya ilmu tadi. Maka, jika dibiarkan ilmu itu terus mengalir pada orang ramai, kemungkinan dia akan ketemu dengan seorang yang mempunyai ilmu yang lebih tinggi darinya. Seterusnya pertemuan, perbincangan dan diskusi akan berlaku dan ilmunya yang sedikit tadi akan terus berkembang. Jadi biarkan ia mengalir dan terus mengalir.


SESUDU BERANI


Seperti juga ilmu, hanya SEDIKIT KEBERANIAN diperlukan. Berani untuk mengeluarkan pendapat peribadi pada masa dan ketika yang sesuai. Keberanian seseorang mengutarakan idea-idea gila sepatutnya diberikan sedikit kredit. Dalam berdakwah juga memerlukan idea gila. Fusion antara konsert rock dengan mesej Islami, fusion antara profesionalisme dengan gerak kerja Islami dan fusion antara fesyen kontemporari dengan fesyen Islami. Yang penting, ASAS-ASAS PEMIKIRAN ISLAM PERLU JELAS!



"Verily, this vichyssoise of verbiage veers most verbose, so let me simply add that it's my very good honor to meet you and you may call me V."


“Beneath this mask there is more than just flesh. Beneath this mask there is an idea and ideas are bulletproof”—V, V for Vendetta

Ideas are bulletproof. Idea adalah kalis peluru. Kalau kita mengkaji perkembangan sosial setiap generasi, kita akan memahami Generasi Y adalah pemula kepada generasi screenagers. Hidupnya banyak menumpu kepada internet. Letusan ilmu yang berbagai berlaku di alam maya. Emel, blog, twitter dan facebook adalah merupakan elemen yang wajib ke atas Generasi Y supaya mereka boleh hidup dengan sempurna. Setelah kita memahami corak sosial Generasi Y, maka lebih mudah kita untuk menyebarkan ayat-ayat Tuhan (Words of God) pada generasi ini.


Seperti yang saya sebutkan tadi, idea adalah kalis peluru. Internet juga adalah kalis peluru. Menulis di dalam buku masih relevan hingga ke hari ini. Tapi sempadan maya harus kita tempuhi dalam menyuntik pemikiran Islam pada generasi berkenaan. Bertepatan dengan ayat saudara V di atas, idea-idea baru perlu dilontarkan oleh generasi pendakwah Gen-Y kerana medium ini merupakan medium kalis peluru.

Penerbitan buku mungkin mengambil masa yang agak lama dengan beberapa kali saringan, pembetulan dan masa untuk pencetakan buku. Tapi dengan adanya Internet, amat mudah sekali untuk mengalirkan idea-idea. Ruang dan peluang luas terbentang dengan blogspot, wordpress, tumblr dan lain-lain. Cuma tinggal SEDIKIT KEBERANIAN dalam melemparkan idea dan pandangan.


Mahukah kita menjadi seperti Saidina Abu Bakar r.a yang sahamnya masih dideposit sampai ke hari ini dari hari “akaun”nya dibuka dengan kalimah syahadah? Walaupun tubuhnya hancur dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. Mahukah kita menjadi sepertinya? Tahu atau tidak itu adalah persoalan akal. Mahu atau tidak itulah persoalan hati. Kalau mahu, ayuh Jadikanlah Menulis Sebagai Ketagihan!