17 April 2010

Pantun Pokok Asam


"Pokok Asam Jawa@ Tamarind"



Asam jawa penambah selera,

Menambah masakan menjadi masam,

Assalamualaaikum pembuka bicara,

Inilah pengajaran pokok asam..


Pokok asam tingginya menjulang,

Akarnya kemas mencengkam bumi,

Biarlah cinta dunia kian menghilang,

Asalkan Cinta Hakiki terpahat di hati..


Buah hati pergi membawa diri,

Hanya buah asam penawar hati,

Jangan dikenang orang yang pergi,

Kelak hidup ternanti-nanti..


Pokok asam pokoknya tinggi,

Peneduh pada semua yang melata,

Keluar merantau katanya mengaji,

Sampai di sini, bermain sahaja..


Buah asam warnanya hitam,

Di luar kelat, di dalam masam,

Ilmu dan hikmah penyuluh alam,

Jahil dan bodoh perosak alam..


Jauh sungguh sang monyet melompat,

Dari pokok asam ke pokok langsat,

Biarlah hidup berilmu dan merempat,

Dari bodoh, jahil, zalim dan sesat..


Perdu pokok asam amatlah besar,

Menjadi tempat semalu menjalar,

Janganlah gunakan suara yang kasar,

Kalau tak ingin terbuang dan terbiar..


Buah asam hebat tidak disangga,

Penawar gastrik dan masalah hadam,

Apalah keturunan yang nak dibangga,

Asalnya kita dari seorang Adam..


Buah asam diambil sebiji,

Dibungkus cantik, dibuat bekal,

Ke mana lagi selepas ini,

Kalau bukan ke Alam Yang Kekal..


Merdu sungguh suara sang kedidi,

Sambil menyanyi sambil menari,

Buah asam selalu dipandang sepi,

Diganti dengan epal dan strawberi..


Pokok asam indah lagi berseni,

Hasil ciptaan Yang Maha Pengampun,

Saya berpantun sampai di sini,

Terkurang, terlebih mohon diampun..