12 September 2012

CGPA: Corot Gred Punca Apokalips?



Honda Integra, Volkswagen Polo, Nissan Murano 

Jika perlu memilih salah satu kereta di atas untuk pelumbaan drag sejauh 1 kilometer, yang mana satukah pilihan hati? 

Kriteria utama yang perlu dinilai ialah saiz cc enjin kereta tersebut. Sudah semestinya bukan Volkswagen Polo berkapasiti 1.4 liter. Walaupun Nissan Murano mempunyai kapasiti 2.5 liter manakala Honda Integra pula sekadar 2.0 liter, pilihannya tetap kepada Honda Integra kerana ciri-ciri yang ada padanya. Nissan Murano adalah sebuah kereta Sport Utility Vehicle (SUV) manakala Honda Integra ialah sebuah kereta Sports. Enjin Nissan Murano dicipta untuk kuasa torque manakala enjin Honda Integra dicipta untuk kelajuan (speed). Secara umumnya, diketahui hubungan Torque dan Speed adalah berkadar songsang. Jika tinggi Torque maka Speed adalah kurang dan sebaliknya. Inilah hukum alam yang perlu diimani oleh setiap jurutera automotif. 

Volkswagen Polo adalah sebuah kereta Compact. Jika kereta jenis compact bersaing dengan SUV dan Sports dalam kategori drag, sudah semestinya jauh ditinggalkan. Adakah ini bermakna kereta jenis ini tidak berguna?  Kalau tidak berguna, kenapa kereta jenis ini dicipta? 

Setiap yang dicipta itu PASTI ada gunanya. Percayalah. 


SISTEM CGPA 


Sistem CGPA (Cumulative Grade Point Average) yang sedia ada menggunakan nombor sebagai kayu ukurnya. Siapa bijak maka dia mendapat nombor yang baik dan siapa yang kurang bijak mendapat nombor kurang baik. Ini aturan yang telah ditetapkan oleh sistem yang kita amalkan. Adakah ini satu sistem yang baik? 

Jawapan saya mudah. YA dan TIDAK. 

YA kerana kita memerlukan satu kaedah untuk menentukan keupayaan intelek seseorang pelajar. Kaedah ini boleh menjadi penentu ukur kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sama ada efektif ataupun tidak. Tanpa kayu ukur yang jelas seperti CGPA, pernilaian method pengajaran dan pembelajaran menjadi hampir mustahil. 

TIDAK kerana manusia tidak boleh dinilai dengan nombor. Manusia ciptaan Tuhan adalah makhluk yang amat unik. Manusia bukannya robot ciptaan makhluk baharu. Jika kuasa torque sesuatu enjin boleh diukur dengan dynamometer, menyukat kebolehan manusia ternyata sukar. Kalau terlalu berharap kepada sesuatu alatan untuk menilai kemampuan manusia, kita akan gagal melihat manusia sebagai manusia. Kita akan cuma melihatnya sebagai makhluk yang mempunyai kebolehan memproses maklumat, tinggi sedikit berbanding binatang ternak (al-an’am). 


CEBISAN SIRAH SEBAGAI PEDOMAN



Umum mengetahui Nabi Muhammad S.A.W adalah seorang yang tidak boleh membaca dan tidak boleh menulis. Mukjizat yang Allah kurniakan buat baginda adalah mukjizat yang sempurna yang tiada tolok banding. Mukjizat berupa “syair dari langit” yang menyampaikan ayat-ayat Tuhan, sebelum dibukukan menjadi Al-Quran yang dibaca dan dilagukan sehingga ke hari ini. 

Sedarkah khalayak orang yang tidak boleh membaca dan menulis seperti ini boleh diangkat menjadi pemimpin? Sedangkan jazirah Arab ketika itu mengagungkan sastera dan menyanjung tinggi nilai bahasa. Diukur dari piawaian masa kini, baginda gagal dalam dua dari komponen 3 M (membaca, menulis, mengira). Walaubagaimanapun, baginda tetap diangkat sebagai pemimpin Madinah dan dipilih sebagai orang yang paling berpengaruh di dalam sejarah oleh Michael H. Hart di dalam buku “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History”. 


FIND YOUR GREATNESS 

Tamadun Barat telah lama mengkaji manusia dan perlakuannya. Ketamadunan Barat hari ini dibina di atas pasak keilmuan yang jitu dan sejarah turun naik yang panjang. Dengan membebaskan pemikiran dari kongkongan gereja, barulah akal manusia bersama ilmu di sana diletakkan di tempat sepatutnya. 

Setiap manusia yang dilahirkan adalah unik. Dengan menggunakan teori Myers-Briggs Personality Indicator dan 8 Intelligence untuk mengenal manusia, kita mampu mengkelaskan manusia mengikut kemampuan dan kecenderungan jiwanya. Secara peribadi, jika diposisikan menjadi seorang pengurus sumber manusia di masa depan, saya tidak mahu sekumpulan jurutera yang saya gajikan mempunyai kebolehan yang sama. Perlu ada ENFJ, perlu ada ISTP, perlu ada INFP, perlu ada ESFP. 

Find Your Greatness. Cari kekuatan peribadi diri kita. Selepas tahu kekuatan dan kelemahan diri, lahirkan keinginan di dalam hati untuk mencapai yang terbaik. Tingkatan kemampuan diri bukanlah sesuatu yang berbentuk impian semata-mata tapi kemampuan maksima diri adalah untuk dicabar dan digapai. 


PEMIMPIN MAHASISWA PERLU CGPA YANG BAIK? 

Saya memandang sinis perkara ini. Memiliki CGPA yang tinggi bukanlah satu kriteria yang paling utama. Apalah guna jika memiliki CGPA kelas pertama tetapi tidak mampu memimpin, malah lemah dalam komunikasi dan tiada nilai-nilai moral yang boleh dijadikan contoh dan diteladani oleh mahasiswa lain. Paling utama dalam pernilaian seseorang pemimpin mahasiswa ialah kebolehan dan bakat pemimpin yang ada padanya. CGPA penting tetapi ada beberapa kriteria yang lebih utama sebagai calon pimpinan mahasiswa. 

Kalau ilmu pengurusan yang ingin diraih, majlis perwakilan mahasiswa bukan ruang atau tempat yang sesuai. Berkhidmat dalam kelab dan persatuan yang bernaung di bawah majlis perwakilan mahasiswa lebih sesuai untuk mencari pengalaman beorganisasi. Kasihan pada semua mahasiswa jika yang dilantik pada kedudukan pimpinan kampus adalah seorang yang naif dalam kerja-kerja organisasi, tidak mampu menjelmakan idea kepada tindakan. Pimpinan kampus jenis ini tidak lebih dari sekadar “pak turut” atau “kaki angguk” kepada pihak pentadbiran. 

Itu dalam konteks kampus. Dalam konteks nasional, jika set logik yang sama iaitu taraf akademik dipilih sebagai penanda aras untuk memilih pemimpin, berani saya katakan Professor Dato’ Dr. Mohd Noh bin Dalimin lebih layak bertingkat-tingkat menjadi Perdana Menteri Malaysia berbanding Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak! 


CGPA cuma salah satu dari beribu-ribu kaedah mengukur kehebatan diri. Banyak lagi kaedah untuk mengukur kehebatan diri. Amat malang bagi seseorang untuk berasa dunia ini menjadi gelap dan masa depannya suram hanya kerana mendapat CGPA yang rendah. Sayugia diingatkan, Steve Jobs dan Bill Gates adalah school dropouts

Kesimpulannya, setiap manusia mempunyai tempat  masing-masing di dalam struktur masyarakat. Sama seperti kereta, kita tak boleh menyamakan keupayaan Nissan Murano, Honda Integra dan Volkswagen Golf kerana kesemua dicipta untuk tujuan yang berlainan. Jika kita menyukat kehebatan diri hanya menggunakan satu jenis penunjuk (indicator), we are comparing apples with oranges!

03 January 2012

Politik Untuk Semua adalah Politik Yang Perlukan Semua





“Jurutera yang baik tiada masa untuk politik”

Mengeluh sesekali apabila terbaca komen sebegini muncul di tengah-tengah “perbincangan ilmiah” yang panjang. Sayang sekali, orang yang mengeluarkan komen adalah orang yang bijak pandai dan seorang mahasiswa. Saya tidak tahu di mana silapnya kefahaman sebegini. Benarlah kata satu pepatah..

“Manusia akan memusuhi apa yang tidak difahaminya”


Politik.

Satu perkataan, berbagai tafsiran.

Satu perkataan, sering dikecilkan .

Ada khalayak ini memahami politik sebagai cara komunikasi. Dengan komunikasi yang baik dan jelas, itu dianggap politik. Ada khalayak yang menganggap politik adalah satu bentuk aktiviti yang berkaitan dengan pentadbiran sesuatu kawasan. Ada juga yang menyatakan politik adalah satu bentuk kehidupan dari bangun pagi hinggalah ke tidur di malamnya. Bagi saya, semuanya betul dan tiada yang salah. Perlu difahami, pegangan “saya tidak berminat dengan politik” juga adalah satu pendirian politik!

Berbalik kepada persoalan “jurutera yang baik”. “Baik” itu besar dan subjektif maknanya. Mungkin sesuatu tindakan itu “baik” bagi kita tetapi tidak bagi yang lain. Adakah “jurutera yang baik” adalah seorang jurutera yang tidak mengambil pusing langsung dengan apa yang berlaku di segala peringkat?

Suka untuk saya pecahkan kepada tiga jenis politik yang dialami oleh seseorang jurutera sebelum dan semasa bergelar seorang jurutera. Bermula dari politik kampus, politik pejabat (office politics) dan politik nasional.


POLITIK KAMPUS

Politik kampus ialah politik yang melibatkan penuntut di sesebuah pusat pengajian tinggi. Politik kampus ialah istilah yang sering diertikan bersama tindakan sesuatu kumpulan atau pakatan mahasiswa (pelajar?) sama ada bertujuan untuk meraih populariti atau meraih sokongan. Jarang amat satu tindakan dilakukan oleh satu individu dan tindakan itu dilabel “politik kampus”. Selalunya satu tindakan bersama sebagai satu pasukan atau organisasi, barulah tindakan itu digelar “politik kampus”.

Jika isu sekitar perkara yang berlaku di semester 1 2011/2012 dibedah pun sudah cukup banyak. Masalah pengangkutan, masalah kolej kediaman dan masalah penjadualan kuliah. Semua ini adalah menjurus kepada politik (pentadbiran) dan inilah politik kampus. Sejenis politik yang melibatkan mahasiswa (pelajar?) dan yang berkaitan kelompok mereka.

Makanya, bakal jurutera yang tidak berminat dengan politik kampus adalah jurutera di masa depan yang bakal hidup dalam dunia sendiri. Hanyut, mamai dengan khayalan dalam fantasi sendiri. Kaku, beku dan mengeras dengan ideologi yang tak mampu membantu diri sendiri apatah lagi orang lain!



Culture shock terkena tempias Politik Pejabat!


POLITIK PEJABAT


Siapa yang belum pernah menjawat jawatan di posisi yang kritikal, mungkin kurang merasai politik pejabat. Politik pejabat tetap ada, tidak kira setinggi atau serendah mana jawatan yang kita sandang. Politik jenis ini mudah didapati pada si pengampu, sering mengelirukan si buta kayu dan kerap dimanipulasikan ke atas si budak baru.

Politik pejabat bukanlah salah secara total tapi selalunya salah pada pelaksanaan. Si pengampu, dengan kedudukan yang rapat dengan bos, akan bertindak mengawal keadaan di dalam pejabat semacam “bos kecil” sama ada dengan kehadiran bos atau tidak. Kata-kata bos adalah kata-katanya. Orang bersifat ini diistilahkan juga dengan “Yes Man”.

Tiada sekelumit kesalahan untuk menjadi aset syarikat dan orang kesayangan bos. Salahnya ialah untuk memenangi perhatian bos, orang lain ditekannya sampai terkapai-kapai kelemasan. Akibatnya, habis orang bawahan terkena putaran ganas politik pejabat.

Sering kali dilihat, jurutera yang selalu membiuskan dirinya dari politik kampus dahulu, adalah orang yang terkorban dalam politik pejabat. Bukannya tiada jalan keluar dari putaran ganas ini tapi si “jurutera baru yang baik” tidak dapat melihat kaedah untuk keluar akibat kamus di mindanya tiada maksud untuk perkataan “tentang” (resist).


POLITIK NASIONAL

Politik jenis inilah yang selalu dirumuskan khalayak sebagai “politik”. Apa sahaja yang berkaitan politik nasional adalah digelar dengan “politik”. Kenyataan ini tidak salah cumanya kurang betul. Apabila semua sekali maksud politik dibakulkan sebegitu, minda anak muda akan tersekat dari perkembangan. Politik adalah jiwa. Politik adalah kehidupan itu sendiri dan segala yang berputar sekelilingnya.

Sekurang-kurangnya satu posisi di dalam jemaah menteri di Malaysia adalah untuk jurutera. Posisi itu ialah Menteri Kerja Raya. Anggapkan posisi itu disandang oleh seorang guru sekolah menengah. Tentu sekali sukar untuknya menghadam apa peranan dan tanggungjawab Board of Engineers Malaysia (BEM), Institute of Engineers Malaysia (IEM), Association of Consulting Engineers Malaysia (ACEM) dan badan-badan lain yang berkaitan. Dan paling penting, corak pemikiran jurutera tidak difahami dan dijiwai kerana corak pemikiran dan jiwanya adalah sebagai orang guru sekolah menengah!


POLITIK UNTUK SEMUA

“Ask not what your country can do for you. Ask what you can do for your country.”

Kata-kata Mendiang John F. Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat selalu dipetik. Selalunya rangkap kata ini digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyalahkan rakyatnya. Unsur berbaur “rakyat salah,ubah cara hidup” kerap kali disuntik di dalam memetik kata-kata ini. Malang sekali kata-kata mendiang seperti rangkap di bawah tidak dibacakan bersekali dengan rangkap kata di atas.

“Without debate, without criticism, no administration and no country can succeed”

Tanpa debat, tanpa kritikan, tiada pentadbiran dan tiada negara boleh berjaya. Kritikan dan debat haruslah dibuat secara berhikmah. Tiada provokasi, tiada serangan peribadi. Untuk mengkritik sesuatu tindakan, kita seharusnya mempunyai asas yang kukuh. Sebagai contoh, dasar PPSMI. Saya belum pernah berjumpa guru Sains, Matematik hatta Bahasa Inggeris sekalipun yang bersetuju dengan dasar ini. Yang ada cuma bapa-bapa menteri, orang-orang yang berkepentingan yang menyokong dasar ini. Orang yang merangka dasar, duduk di kerusi empuk dan bersorak gembira tapi orang yang melaksanakannya, terseksa jiwa raga.

Jadi, apa jalan keluar dari masalah ini? Ya, tidak lain tidak bukan. Pintu politik. Dengan lunas-lunas demokrasi yang dibenarkan oleh perlembagaan, guru juga seharusnya diberikan tempat untuk terlibat di dalam merangka dasar-dasar sesuatu kerajaan. Begitu juga profesyen lain. Jurutera, doktor, peguam harus diberi ruang yang sama untuk bersama menggembleng tenaga untuk memajukan negara tanah tumpah darah. Jika tidak, ubahlah siapa yang memegang tampuk kuasa kerana mereka tidak layak.

Pendapat yang salah ialah orang politik buat kerja orang politik, orang bukan politik buat kerja lain. Pendapat saya, politik untuk semua adalah politik yang perlukan semua. Untuk membuat dasar tertentu yang aplikasinya pada satu golongan tertentu, keterlibatan golongan tersebut dalam merangka dasar itu amatlah perlu.

Berbalik kita kepada soal “jurutera yang baik”. Adakah “baik” yang ditafsirkan oleh minda kita adalah “baik” yang mendengar sahaja arahan yang dikeluarkan? Adakah “baik” itu menghampiri sifat “naif” yang lurus bendul dan kaku dengan apa yang berlaku di sekelilingnya?


Kewujudan pihak yang menamakan diri mereka “Pro Mahasiswa” atau “Pro Aspirasi” tidak seharusnya dipandang secara sinis dan ayat berbaur “kamu mahasiswa.kamu patut belajar. jika tidak,kami ludah kamu” dikeluarkan. Sudut kematangan mereka yang harus dinilai kerana akhirnya kelompok inilah yang akan terjun ke tengah kancah masyarakat dan berpencak dengan ilmiah. Dan bukan hanya mampu menggertak untuk menampar atau meludah sahaja!

Partisipasi semua pihak (baca: rakyat) adalah perlu dalam menjalankan agenda nasional kerana dasar penentuan akan dirasai dan diharung oleh semua yang terlibat.

Politik Untuk Semua adalah Politik Yang Perlukan Semua!



Takkan nak jerkah macam ni baru nak faham?! ;)

13 November 2011

Pantun 101: Apa Saya Tahu



"Melayu dan Pantun ibarat irama dan lagu!"


Pantun indah lagi berseni,

Warisan Melayu turun temurun,

Kita bertemu mula di sini,
Semoga kekal berkurun-kurun!

Sering kali saya melihat dan membaca pantun-pantun yang kurang enak. Sama ada ritmanya lari atau keseimbangan yang tidak sekata. Biasa lah, bukan ada Ijazah Sarjana Muda Pantun dengan Kepujian yang ditawarkan di IPT awam mahupun swasta.

Mengarang pantun nampaknya mudah. Anggapan yang mudah ialah cuma perlukan pengakhiran ni-run,ni-run (seperti pantun pembukaan) makanya pantun sudah tersedia. Ini adalah SALAH SAMA SEKALI. Seperti mana sesuatu mesin memerlukan keseimbangan, begitu juga pantun memerlukan keseimbangan dalam bait-baitnya.


Dalam perkongsian pada kali ini, saya cuba berkongsi beberapa langkah yang saya ambil untuk mengarang pantun yang tak seberapa. Langkah yang saya cuba kongsikan cuma untuk pantun 4 kerat. Pantun 2 kerat dan pantun 6 kerat tentunya memerlukan langkah yang lain.

Kita mulakan dengan sejarah pantun. Pantun dipercayai bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke -15. Pantun juga dikatakan terkait dengan salah satu sastera China yang bentuknya juga seperti pantun.

Orang zaman dahulu tidak punya Apple iPad, iPhone ataupun Sony Vaio. Makanya, pantun menjadi salah satu medium hiburan kegilaan mereka. Sumber-sumber pantun diilhamkan dari alam sekeliling mereka menggambarkan rapatnya hubungan mereka dengan alam. Pembacaan mengenai pantun boleh diteruskan di sini.


FASA PERTAMA

Kita mulakan dengan pengenalan sedikit sebanyak untuk mengarang satu-satu pantun. Ciri-ciri utama pada sesuatu pantun ialah:

• Mengandungi 4 kerat/baris

• Jumlah perkataan dalam sebaris antara 4 hingga 5 patah perkataan

• Jumlah suku kata sebaris antara 8 hingga 12 suku kata

• Ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)

• Bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama; a-b-a-b

• Maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup

• Sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

Ini merupakan ciri-ciri yang disenaraikan di dalam pautan yang saya berikan di atas tadi. Yang pastinya, I beg to differ! Semua ciri hampir tiada masalah bagi saya, cumanya ciri keempat dan ciri kelima. Ini yang saya minta untuk saya selisih pendapat dengan penulis kertas kerja tadi. Lagipun, kita hidup dalam negara merdeka yang demokratik, bukan?

Saya mulakan dulu dengan ciri keempat iaitu “Ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)”. Saya berikan pantun Melayu terkenal yang bertentangan dengan ciri ini.

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Apa kaitan Pulau Pandan yang jauh ke tengah dan Gunung Daik bercabang tiga dengan budi yang baik? Adakah Pulau Pandan jauh ke tengah itu ditolak oleh seseorang dan itu dianggap sebagai budi yang baik? Adakah Gunung Daik bercabang tiga itu dipandang sebagai budi yang baik kepada satu-satu masyarakat?

Pada saya, pembayang pantun di atas tidak lebih dari sekadar untuk melahirkan ritma pada maksud pantun ini. Jadi, ciri yang keempat kurang dipersetujui oleh saya!

Ciri yang kelima pula iaitu “Bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama; a-b-a-b”. Juga saya cuba kongsikan pantun Melayu terkenal yang tidak mengikut peraturan ini.

Dua tiga kucing berlari,

Mana akan sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana akan sama cik adik seorang.

Perhatikan ritma akhirnya. “ri-lang-ri-rang”. Secara literalnya, ini sudah menjadi “a-b-a-c”. Satu lagi pantun Melayu popular di Hari Guru setiap tahun. Pantunnya berbunyi..

Berburu ke Padang Datar,
Mendapat rusa berbelang kaki,

Berguru kepalang ajar,

Ibarat bunga kembang tak jadi.


Ini lagi melawan arus. “tar-ki-jar-di”. “a-b-c-d”!

Di sinilah letaknya keindahan pantun. Pantun BUKAN dibaca dengan mata tetapi diungkap dengan lidah! Pantun BUKAN untuk disimpan, ditatap tapi lebih kepada untuk menjadi siulan!

Jadi, ciri yang kelima kurang dipersetujui oleh saya.




"Ilham Pantun Melayu--Alam Sekeliling!"


FASA KEDUA


Seterusnya, saya berkongsi tips-tips berguna yang saya gunakan untuk menghasilkan pantun yang baik (bagi saya!). Harapan saya agar tips-tips ini tidak dibaca dan ditinggal begitu sahaja. Saya hanya mampu memberikan ilmu sudut teori pantun, praktikalnya hanya dapat dijalankan oleh khalayak sendiri.

• Pastikan setiap baris mempunyai cuma 9 hingga 11 suku kata.
Walaupun ciri pautan di atas mengatakan 8 hingga 12, saya merasakan 8 terlalu pendek dan 12 terlampau panjang. Bilangan perkataan masih sama iaitu 4 hingga 5.

• Pasangkan suku kata dengan suku kata yang sesuai.
Katakan, baris pertama mempunyai 11 suku kata. Baris ketiga HARUS mempunyai 10 atau 12 suku kata. Jika diletakkan 9 suku kata pada baris ketiga, pantun akan menjadi sedikit cacat. Jika 9 suku kata pada baris kedua, makanya baris keempat HARUS mempunyai 10 suku kata. (rujuk peraturan nombor 1)

• Jangan terlalu berhati-hati dengan suku kata.
Ini agak fleksibel. Perhatikan perkataan “dunia”. Memang kita lihat “dunia” mempunyai dua suku kata. Perkataan ini juga boleh diungkap dengan tiga suku kata iaitu “duni(y)a”. Jadinya, jika “dunia” menjadi perkataan di hujung baris pertama, perkataan di baris ketiga boleh menjadi “rahsia” atau “rahsi(y)a”.
Juga perkataan “dua”. Sekali imbas, cuma kelihatan satu suku kata. Kita juga boleh menyebutnya sebagai “du(w)a” untuk menjadikan dua suku kata. Jadinya, jika “dua” menjadi perkataan di hujung baris kedua, perkataan di baris keempat boleh menjadi “jawa” atau “lawa”.

Ini yang saya maksudkan dengan imbangan dalam pantun. Teras utamanya ialah BILANGAN SUKU KATA. Teras ini akan melahirkan ritma. Teras ini akan melahirkan keindahan pantun yang tersisip dalam kepadatan baitnya.

Untuk memudahkan idea untuk mencipta pantun, sering saya gunakan peribahasa Melayu dan berikan pembayang padanya atau jadikannya maksud pantun terus. Saya kongsikan dua pantun yang saya cipta menggunakan konsep ini untuk perkongsian..

Termenung jauh di hujung petang,

Mengenang nasib di rantau orang,
Ibarat melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang..

Kalau kail panjang sejengkal,
Jangan lautan hendak diduga,

Kalau nafsu mendahului akal,

Jangan pernah mimpikan Syurga..
*Yang baris yang ditebalkan itu adalah peribahasa.

Sekadar ini sahaja perkongsian saya pada kali ini. Moganya kita dapat memelihara keindahan warisan Melayu ini hingga ke hujung masa. Bukanya kita dengan pantun, maka tutuplah kita dengan pantun..

Berikan aku sekeping hati,

Tinggalkan aku sekuntum kasih,
Sudah sampai masa berhenti,
Sekarang masanya untuk berlatih! ;)


22 October 2011

Kebaikan, Keburukan Komunikasi Gen Y


“Sesungguhnya Facebook adalah seperti makanan rapu. Walaupun ianya sedap dan ringan tapi kalau guna dengan banyak, natijahnya merosakkan kesihatan!”


Seperti yang pernah saya katakan, Generasi Y adalah generasi screenagers. Mereka gian dengan segala macam peralatan berskrin. Dari Samsung Galaxy Tab hingga ke skrin Sony Bravia dilengkapi Astro Beyond.

Kalau dihitung peralatan yang menggunakan skrin kegilaan (ramai) anak-anak muda hari ini memang banyak. Zaman bermula dengan short messaging system (SMS) , beralih pula ke medan komunikasi MIRC dan kini Facebook, memulakan zaman komunikasi berskrin. Komunikasi pada era ini, sudah mengalami evolusi dari “mulut ke mulut” kepada “jari ke jari”. Sudah pastinya, perkembangan teknologi ini mempunyai selaut kebaikan dan tidak kurang juga selaut keburukan.


SISI CERAH TEKNOLOGI

Saya mulakan pandangan saya mengenai teknologi ini dengan kelebihannya. Kelebihan yang paling utama adalah pertukaran maklumat berlaku dengan amat pantas. Dengan Twitter, sekali anda men-tweet, maka beribu-ribu orang akan tahu akan apa kandungan tweet anda. Walaupun dalam kekangan bilangan abjad yang terhad, itu bukan jadi satu halangan kerana persefahaman bersama (mutual understanding) menjadi teras utama dalam komunikasi dalam Twitter. Sebagai contoh..

WTF= Wa Tak Faham, IDK=I Dah Kata, BTW=Baru Tahu Weii


Kelebihan nombor 1, KOMUNIKASI MENJADI LEBIH MUDAH!


Di peringkat kampus, publisiti program anjuran kelab dan persatuan menjadi lebih mudah dengan adanya Facebook. Kemampuan Tag dan Share yang dibekalkan di dalam Facebook mampu memaksimumkan keupayaan had tenaga manusia. Sekali di-share, beribu-ribu orang boleh tahu tentang program tersebut. Walaupun amalan mengiklankan program di papan kenyataan masih diamalkan, impak ketika dipromosikan melalui medan maya mempunyai auranya tersendiri.

Kenduri kahwin juga menjadi lebih mudah dengan aplikasi Event. Satu dunia boleh tahu yang anda akan berkahwin pada tarikh tersebut. Mengingati hari lahir yang tersayang bukan menjadi satu masalah lagi dengan aplikasi Event juga. Pasangan kawan sekolah lama terpisah dapat menyambung tali persahabatan dengan carian melalui sekolah lama.

Kelebihan nombor 2, DUNIA MENJADI LEBIH KECIL DARI SAIZ ASALNYA!

Merbah Jambul (Red Whiskered Bulbul)

Segalanya mudah di alam maya. Anda hanya perlu mewujudkan satu profile dan letakkan sebarang nama. Misalnya “Merbah Jambul”. Pastikan semua particulars di dalamnya adalah particulars anda. Dengan mudahnya, Facebook akan mencadangkan Orang Yang Mungkin Dikenali (People You May Know). Mudah, Mudah, Mudah!

Kelebihan nombor 3, MUDAHNYA MEMPUNYAI KAWAN DI ALAM MAYA!


SISI GELAP TEKNOLOGI


Selepas puas mengampu teknologi hari ini di dalam bait rangkap di atas, maka tibalah kita ke sesi memhentam pula. Walaupun teknologi ini mampu meringkaskan teks untuk menyampaikan maksud si pengirim, itu belum cukup untuk membuatkan teknologi hari ini “dekat di hati”. Inilah kekurangannya yang paling besar. Komunikasi mazhab ini menjadi komunikasi robot!


Logo Terbaru Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, UTHM

Kita ambil keadaan semasa yang berlaku di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) di UTHM. Isunya, dua blok penghuni lelaki di KKTDI akan bertukar dengan dua blok penghuni perempuan di Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF). Sebagai contoh, satu kenyataan yang dikeluarkan berbunyi...

“Penghuni perempuan KKTDI berasa lebih kurang selamat dengan perpindahan penghuni lelaki KKTDI ke KKTF walaupun KKTF hanya berada bertentangan dengan KKTDI”

Apakah yang ingin disampaikan dalam kenyataan di atas? “Penghuni perempuan berasa lebih kurang SELAMAT dengan...” atau “Penghuni perempuan berasa lebih KURANG selamat dengan...”?

Walaupun secara harfiahnya, kedua-dua ayat adalah sama dari sudut bilangan perkataan yang terkandung di dalamnya, tetapi penekanan (stress) ayat itu yang akan membezakan maksud yang ingin disampaikan oleh si penyampai.

“Lebih kurang SELAMAT” lebih mendekati maksud “selamat juga dari tak selamat” manakala “lebih KURANG selamat” lebih mendekati maksud “kami rasa tak selamat”. Jadinya, apa yang cuba disampaikan oleh ayat tadi? Hanya penghuni perempuan KKTDI boleh menjawabnya..

Kekurangan nombor 1, NADA (INTONASI) TIDAK DAPAT DIALIRKAN MELALUI TEKNOLOGI INI!


Sesiapa sahaja boleh menjadi sesiapa di dalam teknologi ini. Cuma perlu sedikit masa untuk sesuaikan dan mahirkan diri dan anda sudah bersedia untuk menjadi “Merbah Jambul” yang nakal. “Merbah Jambul” boleh menjadi “profil hantu” (fake account) yang digunakan untuk mengganggu ketenteraman orang lain di dunia maya. Profil ini digunakan untuk menyebarkan berita fitnah yang mencela, menjatuhkan maruah orang lain dan pelbagai jenis jenayah lagi.

Tetapi tuan punya profil “Merbah Jambul” juga mempunyai profil yang lain, yakni profil sebenarnya. Dalam profil sebenarnya, semua yang ditunjuknya adalah baik-baik belaka. Hadis Nabawiyah sentiasa di wallnya, ayat-ayat Quran sentiasa menjadi tatapan pengunjung wallnya. Hebat dan indah belaka persis seorang ustaz!

Bagaimana kita hendak menilai orang sebegini? Tak perlu kita sebagai penilai, cukuplah Allah S.W.T sebagai penilainya. Allah adalah Pencipta segala makhluk dan Allah jugalah Pencipta Syurga dan Neraka. Allah tidak mencipta Neraka dengan sia-sia tanpa orang sebegini sebagai penggalak dalam memarakkan lagi bahang api Neraka!

Kekurangan nombor 2, SEMPADAN SYURGA DAN NERAKA MENJADI SETEBAL IMAN PENGGUNANYA!


Cukuplah tiga sisi cerah dan dua sisi gelap teknologi. Perlu diingat semua teknologi perhubungan ini dicipta untuk memudahkan komunikasi. Namun, amat malang sekali apabila kita sering terlupa satu perkara. Komunikasi yang berkesan memerlukan HATI!

Jika kita mempunyai akhlah terpuji di alam realiti dengan sikap sebagai Muslim yang Mukmin, maka pandangan masyarakat kepada kita BUKAN lagi tertumpu di alam maya. Masyarakat lebih percaya kepada apa yang dilihat di alam realiti berbanding apa yang dilihat di alam maya. Banyakkan bermasyarakat dengan orang di alam realiti adalah lebih sejahtera dan harmonis berbanding berdebat tanpa penghujung di alam maya dengan “Merbah Jambul”!

Komunikasi di alam realiti lebih utama kerana khalayak dapat melihat tutur kata dan bahasa tubuh yang kita pamerkan. Bahasa tubuh dan tutur kata kita adalah manifestasi apa yang terkandung di dalam hati kecil kita. Nabi Muhammad juga berkomunikasi dengan bahasa tubuh. He lead by example and became the message himself!

Namun, untuk meninggalkan sama sekali teknologi terkini bukanlah sesuatu yang bijak. Diumpamakan dengan teknologi persenjataan hari ini sudah menggunakan M-16 dan Kalashnikov tapi kita masih terlekat dengan keris dan tombak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sesungguhnya Sultan Muhammad Al-Fateh dapat menawan Kota Constantinople dengan teknologi terkini dan strategi yang segar.

Sebagai kesimpulannya, walaupun komunikasi hari ini menjadi mudah dengan teknologi tetapi harus diingati kita manusia dijadikan secara inside-out oleh Yang Maha Esa. Jika diukur, hati manusia lebih dekat dengan lidahnya berbanding matanya. Ini bemaksud lidah yang berkata-kata di alam realiti lebih bermakna dari membaca perkataan-perkataan di alam maya. Mesej lidah tadi akan menjadi sempurna dengan bahasa tubuh yang dipamerkan di alam realiti!


09 October 2011

Radikal Adalah Aku!


“Dari robohan Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka”—Dr.Burhanuddin Al-Helmi

Terselit kata-kata Dr.Burhanuddin dalam bait-bait penulisan dalam buku Memoir Abdul Majid Salleh: Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh. Buku ini saya beli bersama buku Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api. Kedua buku ini terbitan Penerbit UKM, cetakan pertama 2004. Buku-buku ini dibeli di Karnival Buku UTHM anjuran Pejabat Penerbit.


Setelah kenyataan Timbalan Presiden PAS mengenai Mat Indera, saya berasa terpanggil sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk merenung kembali sejarah Malaysia terutama sekali sejarah sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Tambahan pula, saya memang pernah menulis sedikit berkenaan dengan hal ini di sini.

Fasa 1940-an hingga 1950-an merupakan tempoh cabaran yang getir. Banyak pergolakan politik yang berlaku. Ideologi berlaga dengan hebat. Zaman ini zaman menghalau penjajah. Antara tikus atau musang, antara gajah atau harimau, kita boleh lihat di sini. British yang baru masuk ke Tanah Melayu adalah bermuka baik, senyumnya tersimpul tapi di dadanya tetap mahu menjajah. Tangannya memegang sampul berisi Malayan Union!


Titiknya di sini. Malayan Union. Maka bermulanya orang-orang Melayu bangkit menentang penjajah. Dari sekecil-kecil Melayu sehingga ke sebesar-besar Melayu. Rapat umum berskala raksasa mula digerakkan di seluruh semenanjung. Penyatuan orang Melayu ini mengakibatkan British sudah mula sedar Melayu ini bukan Melayu dulu lagi. Melayu ini pantang dicabar dan bukan Melayu yang hidup segan mati tak mahu.

Bukan tujuan saya mahu mengulas mengenai sejarah puak kanan. Sejarah puak kanan ditulis seolah-olah mimpi di dalam mimpi. Banyak dibuai angin sendu, kata-katanya indah merdu, syair-syairnya mendayu-dayu. Sejarah mereka seolah-olah ahlinya turun dari langit. Sempurna tanpa cela!

Berbanding dengan sejarah puak kiri. Riwayatnya sentiasa bermandi keringat, tuturnya jerih perit rakyat, darah adalah mainan di mana nyawa jadi taruhan. Dekatnya mereka kepada manusia bukan diukur dengan neraca kesempurnaan tetapi dengan jiwa insan.


Diteliti karekter-karekter Ahmad Boestamam, Abdul Majid Salleh dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi membuatkan saya terserap ke dalam dunia pancaroba mereka. Zaman menuntut hak dengan menentang British dan bukan mencium kaki-kaki mereka. Zaman merampas Tanah Melayu dengan “merompaknya” dari British dan bukan dengan “tawar menawar” dengan British.



Watak Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang berjiwa sufi, watak selantang Abdul Majid Salleh dan watak seberani Ahmad Boestamam melalui liku-liku perjuangan bukan hanya bermodalkan air liur sahaja. Perjuangan yang didokong mereka dibasahi dengan keringat, air mata dan darah.

Dipetik dari buku Dr.Burhanuddin Al-Helmi: Pejuang Melayu Sejati karangan Ismail Said, Farish A. Noor menyebut..

“Dr. Burhanuddin sangat terbuka, toleran dan pragmatic watak dan mindanya. Oleh kerana itu dia diterima oleh semua pihak, termasuk parti-parti sekular haluan kiri seperti Parti Rakyat dan Front Sosialis pada masa itu. Dr.Burhanuddin dihormati oleh tokoh-tokoh lain seperti Ahmad Boestamam, pemimpin Parti Rakyat pada ketika itu.”

“…bagi Dr.Burhanuddin, konsep ‘race’ itu suatu idea kolonial yg diimport oleh British untuk memecahbelahkan masyarakat Asia, agar lebih senang dijajah. Sebagai seorang muslim, dia terima konsep ini: Dari sudut pandangan teologi Islam, ‘race’ itu tidak relevan. Hanya ada satu ‘race’ iaitu manusia dan kita semua insan di alam ini”





Menyelak lembaran Memoir Abdul Majid Salleh, membuatkan saya kembali ke zaman Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mula ditubuhkan. Cogan kata “Merdeka”, “Organisasi Parti” sehinggalah ke lagu peniup semangat perjuangan berjudul “Darah Rakyat”.

Garis-garis perjuangan PKMM jelas di dalam simbol mengangkat tangan sambil menggenggam lima jari. Lima jari itu membawa erti dan kiasan yg besar iaitu:

1. Merdeka berpolitik: Apabila kita merdeka maka apa saja yang kita mahu ialah politik negara bebas mengikut acuan yang kita suka.
2. Merdeka ekonomi: Kita mahu ekonomi negara kita merdeka dari tekanan pihak luar negeri atau penjajah kapitalis.
3. Merdeka beragama: Kita mahu negara kita bebas melaksanakan hukum dan undang-undang Islam sepenuhnya tanpa dikongkong penjajah.
4. Merdeka sosial: Pergaulan hidup tidak terbatas kepada satu-satu kaum sahaja atau kasta yang sangat berbahaya.
5. Merdeka kebudayaan: Tiap-tiap bangsa di dalam dunia ini ada kebudayaan masing-masing. Kita mahu bebas memilih kebudayaan yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan agama serta bebas pula membuang kebudayaan yang menyesatkan orang Islam.



“Pemuda-pemuda Melayu, insaflah. MERDEKA dengan DARAH”

Jujur saya katakan, saya tertarik hati membeli buku Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api kerana selingan Testament Politik API. Dipetik dari permulaan testament ini, menurut Ahmad Boestamam, pemuda itu terbahagi kepada dua; pemuda yang insaf dan pemuda yang lupakan diri.

“Pemuda itu adalah bunga tiap-tiap bangsa. Tapi ingatlah bahawa kembang dan kembang itu ada dua. Ada kembang yang berseri-seri dan wangi dan ada kembang yang lalu dan gugur ke tanah. Kembangan yang berseri-seri menjadi suntingan puteri, tetapi kembang yang layu jangankan menjadi suntingan puteri, kumbang dan lalat-lalat pun tidak mahu mendekatinya.”



Kembali ke masa 2011. Hari ini, Tanah Melayu sudah pun merdeka. Namanya pun sudah bertukar. Malaysia namanya sejak 16 September 1963. Jejak tokoh-tokoh yang jiwa mereka merdeka mendahului zaman asalnya hampir terkubur begitu sahaja. Namun wujud usaha-usaha untuk mengorek kembali khazanah ini dari terkambus terus. Sehubungan dengan itu, ada suara-suara yang mencadangkan label pengganas, komunis, lefties harus diberikan penakrifan baru.

Keadaan keterujaan yang teramat hinggakan timbulnya teori baru iaitu “Tanah Melayu (Malaysia) tak pernah dijajah”. Kalau itu benar, maka seluruh sistem mata pelajaran sejarah harus di-overhaul dan semua rakyat Malaysia harus menduduki semula mata pelajaran sejarah untuk melahirkan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia. Kalau bodoh pun, silalah betempat!

Akhir kata, jika jiwa Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah radikal, jika perjuangan Majid Salleh adalah radikal, jika pemikiran Ahmad Boestamam adalah radikal maka Radikal Adalah Aku!