18 July 2010

Tanpa Tiang, Rumah Bukanlah Rumah!


"Tiang Ilusi?!"


Di mana kekuatan sesebuah rumah? Adakah di seni binaan rumahnya? Adakah pada keluarga yang hidup di dalamnya? Tentu sekali tidak. Kekuatan sesuatu binaan manusia terletak pada penyokongnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, tiang merupakan komponen asas untuk mengukuhkan sesuatu binaan.


“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya.”

(Riwayat Baihaqi)

Kata-kata peringatan hamba Allah S.W.T yang dipilih menjadi pesuruhNya lebih 1400 tahun dahulu. Penekanan aspek solat oleh baginda menunjukkan seolah-olah solat adalah tiang bagi agama seseorang. Adakah solat satu perkara yang logik? Bagi saya, tidak logik. Bagaimana titik yang tertinggi pada seseorang manusia iaitu dahi, yang ketika solat, dahinya diletakkan separas tapak kaki? Kenapa titik yang tertinggi diletakkan pada titik yang paling rendah? Bukankah ini seperti melakukan kezaliman dengan meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya?

Ini bukanlah kezaliman!

Inilah hakikat manusia dan penciptaannya!

Inilah pengabdian sebenar seorang hamba. Hamba kepada Yang Esa, Yang Pengasih lagi Mengasihani. Bukan hamba kepada perkataan “Allah”. Hamba ini berbangga dengan meletakkan dahinya separas dengan tapak kaki, dengan membesarkan Yang Maha Besar.


Anggaplah Islam itu seperti sebuah rumah. Lantainya lafaz syahadah (rukun islam pertama), tingkat satu adalah puasa (rukun islam ketiga), tingkat kedua adalah zakat (rukun islam keempat) dan tingkat ketiga dan terakhir adalah ibadat haji (rukun islam kelima). Rumah ini pula ditiangi dengan solat sebagai rukun islam yang kedua.

Tanpa tiang (baca:solat), mana mungkin kita mendapat tingkat satu (baca:puasa) dan seterusnya. Tanpa tiang, kita cuma akan mendapat lantai (foundation) sahaja. Dengan lantai sahaja, kita boleh sahaja jadikannya gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Bukannya rumah!

Solat adalah tunjang kepada semua amal ibadat di dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud...


“Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.”

(Riwayat Thabrani)


Tanpa solat, tak berguna berpuasa di bulan Ramadhan. Tanpa solat, habuklah yang kita dapat apabila mengeluarkan zakat. Tanpa solat, ibadat haji kita akan menjadi pelancongan yang lagha!

Bukannya Islam kita sahaja yang akan menyenget bila tak disokong dengan betul. Sudah menjadi hukum alam, semua yang kurang seimbang akan senget dan berkemungkinan roboh! Seperti Minggu Haluan Siswa (MHS) baru-baru ini.

Bermula dari pemilihan pembantu MHS pada semester sebelumnya menampakkan ketempangan yang jelas. Mereka memerlukan orang yang menghafal nama dengan baik, mengenal segala jalan-jalan sekitar kampus dengan jelas dan mengenepikan asas yang paling utama sebagai pembantu MHS iaitu pengalaman berorganisasi dan kemahiran berkomunikasi.


“Kalau setakat nama, bagi aku 10 nama satu malam saja boleh hafal. Pengalaman nak kawal orang bukan boleh dapat dalam masa semalam saja!”

“Tengok nanti. Mesti kelam kabut punya. Buat kerja tak ikut prosedur betul. Nak tambah orang yang diorang suka, buang orang yang layak jadi (pembantu).”

Kedengaran suara lantang mengkritik pihak pengurusan MHS. Kecewa mungkin.

Hasilnya?! Tanyalah pada sesiapa yang anda kenali. Semua yang bergelar pembantu MHS sesi 2010/2011.

Akhir kata, tiang adalah penyokong yang ampuh kepada sesebuah rumah untuk dibuat tempat berteduh. Jika kita berjaya menyiapkan pintu, tingkap, dinding dan bumbung dan terlupa akan tiang, maka hasilnya adalah gelanggang badminton, sepak takraw ataupun petanque. Kerana Tanpa Tiang, Rumah Bukanlah Rumah!