18 March 2011

Aku? Melayu?


"Children. They know nothing about racial boundaries!"


You look like Chinese," kata Ahmad Aliyu, "abang"ku diUTHM.

"I see you walked just now but I can’t recognise you because of your hair,” tambahnya yang berasal dari negara yang pasukan bola sepaknya dikenali dengan nama Super Eagle, Nigeria.

Baru-baru ini saya telah memotong rambut saya menjadi pendek. Nombor 2. Pantas terkeluar dari mulut sang penggunting rambut di Pekan Parit Raja “Kau gile ke ape? Rambut kau dah macam ni nak potong nombor due?”. Dengan sinis, saya memandangnya. Saya ulang. Keputusan saya memotong rambut pendek merupakan satu bentuk manifestasi bantahan ke atas sistem yang gagal diurus dengan adil. Sistem apa? Biarlah ianya menjadi rahsia umum buat khalayak sekalian.

Pokok artikel ini bukan mengenai rambut nombor 2 saya. Bukan sistem yang menjadi rahsia umum. Jauh sekali siapa tukang gunting rambut di Parit Raja. Pokok artikel ini ditulis adalah untuk menimbulkan persoalan dan meminta khalayak memikirkan buah fikiran saya. Tentang Melayu.


Saya? Melayu? Entah. Saya pun kurang jelas tentang Melayu dan identiti Melayu. Lagi banyak membaca, lagi banyak persoalan yang timbul. Lagi banyak berfikir, lagi banyak cabang masalah yang dijumpai. Jika perkara ini mahu didiamkan, itu bukan Farhan Razi. Jika perkara ini mahu dihuraikan, dengan serta-merta dilabel pembangkang!

Kelas Hubungan Etnik di UTHM banyak membuka mata saya mengenai etnik dan kaum di Malaysia. Secara umumnya Melayu ditakrifkan melalui Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 160.



Secara mudahnya Melayu ditakrifkan kerana ibunya Melayu dan bapanya Melayu, maka anaknya juga Melayu. Ini pengecaman status Melayu melalui ras dan keturunan.

Kita mulakan dengan diri saya dahulu. Saya berketurunan Cina di sebelah ibu dan berketurunan Pakistan di sebelah bapa. Nenek di sebelah ibu, Salmiah adalah seorang Cina yang berkahwin dengan seorang Melayu. Nenek di sebelah bapa, Zainab adalah seorang berketurunan Pakistan juga berkahwin dengan seorang Melayu.

So, I’m half Malay, quarter Chinese and Pakistani!

Status saya? Melayu dan Bumiputera!


Bekas majikan saya ketika masih bekerja di Perunding Iza’d, berpejabat di Alor Setar ialah Encik Abu. Beliau adalah seorang Indian Muslim dan berkahwin dengan seorang Melayu. Saya pernah berkunjung ke rumahnya di Jitra. Ketika itu, beliau memakai baju pagoda serta berkain pelikat.

Status beliau? India dan bukan Bumiputera!


Saya punya seorang sahabat di UTHM. Beliau berketurunan Arab, Yaman secara spesifik. Datuknya datang ketika negara baru mencapai kemerdekaan, sekitar 1950-an. Ibu dan bapanya adalah Pure Yemeni kerana kedua-dua datuk dan neneknya dari negara Yaman. Maksudnya, sahabat saya ini adalah generasi kedua keturunan Yaman di Malaysia dan darahnya tiada darah Melayu.

Status beliau? Melayu dan Bumiputera!


Nah, kes yang rumit untuk ditakrifkan siapa yang selayaknya berstatus Bumiputera. Seorang memang ayah dan datuknya menghuni semenjak zaman tanah ini dikenali dengan nama Tanah Melayu lagi. Seorang lagi datuknya datang ketika tanah ini sudah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu. Persoalan ini berbelit-belit dan sukar untuk difahami dengan jelas. Siapa yang lebih setia kepada “Tanah Tumpahnya Darahku Ini”?

Kita tinggalkan persoalan dari sudut ras dan keturunan. Kita buka pula Perlembagaan Malaysia, Perkara 160. Orang Melayu ditakrifkan sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu”. Di sini timbul beberapa persoalan…

Sudut Agama

  • Bagaimana jika seseorang berketurunan Melayu itu murtad? Adakah gugur status Melayunya?

Sudut Bahasa

  • Bagaimana jika seseorang berketurunan Melayu itu tidak tahu bercakap Bahasa Melayu kerana keluarganya English-oriented?

    Adakah gugur status Melayunya?

Sudut Adat Melayu

  • Bagaimana jika seseorang berketurunan Melayu itu hidup di luar negara dan tidak tahu mengikat kain batik atau kain pelikat?

    Adakah gugur status Melayunya?

  • Bagaimana jika seseorang berketurunan Melayu itu tidak dapat membezakan Baju Melayu Cekak Musang dan Baju Melayu Teluk Belanga?

    Adakah gugur status Melayunya?


Saya cuba berkongsi sedikit hasil pembacaan saya. Kita kembali ke zaman era kolonial British pada tahun 1948. Gabungan pertubuhan Melayu pada ketika itu iaitu Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan gerakan bukan Melayu, All-Malaysian Council Joint Action (AMCJA) telah bergabung dan membentuk pakatan PUTERA-AMCJA. Pakatan ini telah menulis satu perlembagaan dan dinamakan Perlembagaan Rakyat atau People’s Constitution Of Malaya. Di dalam perlembagaan ini dituliskan bahawa..

“Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu”

Perkara dari Perlembagaan Rakyat ini saya petik dari buku “Dr. Burhanuddin Al-Helmi: Pejuang Melayu Sejati” karangan Ismail Said. Perkara ini sedikit sebanyak menggambarkan bahawa Perlembagaan Rakyat ini mengiktiraf semua rakyat Tanah Melayu pada waktu itu akan dikenali dengan nama Melayu. Bukankah perkara ini akan menyelesaikan persoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas? Ulasan lebih lanjut mengenai Perlembagaan Rakyat ini sukar untuk diperolehi memandangkan sumber yang sedikit dan Sejarah Malaysia Moden seolah-olah mahu memadamkannya.


Akhir kata, saya merasakan isu Melayu dan bukan Melayu tidak akan berkesudahan. Cukuplah isu perkauman ini diapi-apikan. Sistem pecah-dan-perintah warisan British sudah ketinggalan zaman. It should be scrapped out and thrown into waste bin of history. Segregasi antara kaum hanya akan menyemarakkan api dalam sekam. Mari sama-sama kita wujudkan solidariti antara rakyat Malaysia dan membentuk satu kesatuan yang erat atas nama negara bangsa. Saya akhiri artikel ini dengan kata-kata tokoh kulit hitam Amerika, Martin Luther King..

"I have a dream that my four little children will one day live a nation where they will not be judged by the colour of their skin but the content of their character"