27 January 2010

Nasihat Seorang Hamba...



"Muhammad Aliff Irsyad bin Muhammad Syaiful Riza”


“Alif, first time Ayah Su jumpa Alif, Alif dah buat Ayah Su tidoq lambat. Dah menangis pagi-pagi sampai satu rumah risau dekat Alif. Ayah Su kesian dekat Abah(?) Alif. Ayah Su baru sampai KL tak sampai sejam, terus bawa kereta, temankan Abah Alif bawa Alif pi hospital..”


Mungkin ini ayat yang saya akan cakapkan ketika baby ini sudah mengerti baik dan buruk hidup di dunia. Ketika lahirnya kita meminta. Tetapi lahirnya seorang hamba bukan untuk meminta tetapi untuk memberi. Memberi khidmat dengan mentadbir alam ini sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Sudah menjadi tugas ibu bapa untuk membentuk anaknya menjadi seorang khalifah yang berguna..


Ambillah iktibar dari alam sekeliling kita.

Memerang. Akan mengajar selok-belok membuat empangan/benteng sebagai tempat tinggal mereka kepada generasi mudanya agar boleh menjadi ikutan dan pedoman terus menerus kepada khalifah mereka.

Burung layang-layang. Akan mengajar generasi pelapisnya untuk menghasilkan sarang-sarang bermutu agar menjadi makanan yang berkhasiat pada umat manusia. Jangan dilupa haiwan yang kecil.

Lebah. Akan terus mengembangkan koloninya supaya dapat memerikan manfaat kepada golongan manusia sesuai dengan aturan ALLAH S.W.T sama ada berbentuk madu sebagai penawar atau bergerak sebagai satu organisasi terancang.


Sudah menjadi satu aturan alam ini. Keupayaan haiwan untuk melatih generasi selepasnya untuk menjadi dia yang kedua. Sudah termaktub oleh Rabb bahawasanya aturan alam ini akan silih berganti hinggalah sampai ke Hari Yang Kekal Abadi.


Itu haiwan. Bukan manusia. Boleh sahaja terjadi bapanya seorang jurutera, anaknya jurutera motorsikal sendiri. Bapanya seorang doktor, anaknya doktor merawat diri sendiri. Dunia di depan bukan semakin cerah tetapi semakin gelap dan suram...


“Abah Alif orang baik, mak Alif pun orang baik. Alif nak jadi baik?”


p/s: Muhammad Aliff Irsyad bin Muhammad Syaiful Riza adalah anak saudara saya yang pertama.. =)

16 January 2010

Berorganisasi dengan Berukhuwah


“Berorganisasi & Berukhuwah”



Kata ‘guru organisasi ‘ saya di bumi bertuah...

“Apek, dalam berorganisasi ni, ada tahap-tahap dia. Hari ni, aku nk beritahu dekat hang tahap yang paling rendah dengan tahap yang paling tinggi. Yang paling rendah, nama dia LAWAN ATAU LARI. Situasinya, hang tak suka dengan bos hang. Sama ada hang lawan dia atau hang lari dari dia (berhenti kerja). Tahap yang paling tinggi pulak, nama KETERUJAAN KREATIVITI. Tahap ni di mana, hang dok pikiaq benda yang tak dak kaitan pun dengan kerja hang. Pendek kata, kerja hang dah siap tapi kerja orang pun hang pi pikiaq bagi...”

...katanya dengan loghat Kedah berbau budu!


Kata naqib saya juga di bumi bertuah...

“Syaiful, ukhuwah ni ada tahap dia. Serendah-rendah ukhuwah adalah berlapang dada. Setinggi-tinggi ukhuwah adalah mendahulukan sahabat...”

...katanya dengan loghat Kedah tidak sepekat saya!


Berorganisasi -- mempunyai organisasi, ter­susun dgn baik dan rapi

Berukhuwah -- persaudaraan: mereka bekerja seolah-olah dlm satu keluarga besar, sentiasa bertolak ansur dan menjalin tali ukhuwah antara satu dgn yg lain; Ukhuwah Islamiah persaudaraan dlm Islam.

(kredit kepada Dewan Bahasa dan Pustaka,www.dbp.gov.my)


Berorganisasi sahaja tanpa berukhuwah akan menimbulkan rasa unsecure sesama ahli yang terlibat. Sentiasa berorganisasi dalam keadaan syak wasangka dek perasaan rasa akan dicantas oleh orang lain. Oleh itu, masing-masing akan menanam rasa benci pada lawannya di dalam hatinya dan hati anak-anak buahnya. Recipe for disaster!


Berukhwah sahaja tanpa berorganisasi pula akan menghasilkan kelompok yang syok sendiri. Berkawan tanpa tujuan dan matlamat. Mereka ini tidak menyumbang kepada masyarakat. Takut juga mereka ini terjangkit dengan penyakit assobiyah.

”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assobiyyah, berperang kerana assobiyyah dan mati kerana assobiyyah (Hadis Riwayat Abu Dawud)


Mahu tidak mahu, berorganisasi dan berukhuwah harus wujud seiringan dalam kehidupan kita dalam menuju redha Ilahi. Timbul persoalan di sini. Bagaimana mahu mengatasi masalah-masalah yang terbit dari berorganisasi dengan tingkatan ukhwah???


Saya berikan 2 contoh...


LAWAN ATAU LARI

Syafri agak tidak selesa dengan Azhar kerana sering berselisih pendapat dengan Azhar dalam kerja-kerja berorganisasi. Sudut ideanya, sudut pengurusannya. Mudah saja bagi Syafri mencari alasan untuk membenihkan tunas-tunas perpecahan di dalam organisasi mereka. Jika Syafri mempunyai tingkatan ukhwah yang paling rendah sekalipun, dia dengan mudah dapat menangkis perasaan membuak-buaknya dengan BERLAPANG DADA terhadap Azhar!


KETERUJAAN KREATIVITI

Salbiah tertekan dengan tekanan yang diberikan oleh Syafirul yang sering mengomen kerja-kerjanya. “Kenapa tak buat macam ni? Kan lebih mudah kalau gabungkan sekali program tu?”. Bukan sebab Syafirul tiada kerja, kerjanya sudah selesai, tetapi dia dijangkiti virus keterujaan kreativiti. Mudah saja Salbiah menempelak Syafirul yang tidak sedar diri bahawa kedudukan itu bukan kedudukan Syafirul tetapi kedudukannya. Tetapi di dalam jiwa Salbiah sudah tertanam nilai ukhuwah yang tinggi iaitu MENDAHULUKAN SAHABAT, perpecahan dapat dielakkan dengan menggunakan buah fikiran si Syafirul!


Nampak? Contohnya ada di sekeliling kita. Keperluan kita untuk berorganisasi dengan berukhuwah adalah elemen-elemen yang penting dalam menjalankan gerak kerja. Di dalam kampus mahupun di dunia pekerjaan...

“Remember that sometimes it takes bending to avoid breaking”


** Nama-nama yang digunakan TIADA kena mengena antara yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. =)

05 January 2010

Antara Permata dan Ikan Kering..


“Permata dan Ikan Kering”



Apa perbezaan antara permata dan ikan kering?

Banyak bukan?


Ikan kering. Harganya murah. Dapatnya senang. Badan seekor ikan, dibelah menjadi berkeping-keping. Dibiarkan di bawah panahan sinar matahari selama berjam-jam. Dijamah oleh lalat-lalat yang berkeliaran tanpa sebarang mehnah. Baunya juga jauh dari istilah wangi.

Permata. Harganya mahal. Dapatnya susah. Ianya tidak boleh dikeluarkan dari perut bumi terus menjadi sebuah permata yang begemerlapan. Harus dipotong dengan baik dan sempurna, barulah menghasilkan permata yang flawless. Simpannya di tempat yang tertutup. Jauh dari pandangan awam.


Di UTHM, banyak ikan kering berbanding permata. Ini menyebabkan kualiti universiti yang kita cintai TIADA kedudukan dalam ranking dunia. Dari pemerhatian saya, boleh saya katakan nisbah permata kepada ikan kering adalah 1:90. Ini bukan satu angka yang kecil. Selagi golongan 90 mendominasi bumi UTHM, “kehadiran” kita tidak akan disedari.


“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya MEREKA LEBIH MUDAH UNTUK DIKENAL, KERANA ITU MEREKA TIDAK DIGANGGU. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Al-Ahzab 33:59)

Inilah pokok pangkal artikel saya pada kali ini. Ayat di atas tidak perlu ditakwilkan dengan panjang lebar (bagi saya!) dengan pendekatan pemikiran beraliran Salafi ataupun Khalafi. Jelas, terang lagi bersuluh.

Sifirnya mudah. Untuk membezakan permata dan ikan kering. Tutup aurat dengan sempurna, tidak diganggu. Tak tutup dengan sambil lewa, diganggu. Oleh siapa? Orang munafik, orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (kota!). (Al-Ahzab:60)

Saya bukan hendak menyalahkan orang-orang yang berkenaan. Saya cuma ingin khalayak memikirkan bahawa dunia kita semakin tua. Janji-janji Nabi S.A.W telah berlaku satu persatu di depan mata kita. Apa lagi yang kita tunggu untuk menganjurkan perubahan pada diri kita? Sebagai pelajar kejuruteraan, hanya satu ayat yang dipegang oleh saya.

“Perubahan mestilah berkadar terus dengan masa!”

Lupakah kita dengan sumpah setia Maha Penghasut untuk menghasut kita? Tak mengapa, saya paparkan semula. Buat ingatan yang terlupa, pedoman buat yang teringat..

Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?”. Dia (iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil".

(Al-Israa:61-62)

Antara permata dan ikan kering, di mana kita??