29 October 2009

Kematian: Hadiah dari Ilahi


-Arwah abah dan cucu saudara-


Ayah Khairol Azhar.

Anak Ustaz Ramadhan Fitri.

Ayah Mustaqim.

Ayah kak Ismahanes.

Apa ucapan yang sesuai untuk mereka yang saya sebutkan di atas?

“Innalillahiwainnalillahirajiun”

adalah kata yang paling tepat. Ya, mereka dijemput ALLAH S.W.T pada minggu yang sama. Perit bagi saya sendiri yang menerima berita demi berita. Satu per satu. Hati saya menangis sendirian memikirkan apa yang ditanggung oleh mereka, ahli keluarga Allayarham/ah di atas pemergian ini.

Benar, berat sekali memikirkan tentang ujian kehidupan yang bernama kematian. Saya juga pernah melalui ujian yang sama ketika abah meninggal pada tanggal 10 Julai 2008. 2,3 hari saya dilanda kemurungan. Rasa seperti abah ke kursus di luar daerah dan tidak akan pulang kembali. Bukannya saya merintih tentang permergiannya tetapi saya mengenangkan saat-saat terakhir kami sekeluarga bercuti ke Langkawi. Antara kata-kata abah yang masih saya ingati...


"Kalau tak mai sini, tak tau bila boleh mai pulak"


Tujuan saya menukilkan tulisan pada kali ini adalah untuk berkongsi pandangan saya melihat subjek kematian ini. Kematian ini apa?

“Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas."

(Al Baqarah:212)

Kematian merupakan suatu evolusi dalam perjalanan kita menuju syurga Ilahi. Peralihan dunia. Sama seperti bayi yang baru dilahirkan. Suatu evolusi setelah melalui 9 bulan 10 hari di alam rahim.

Kematian merupakan ‘hadiah’ dari Ilahi kepada kita yang masih hidup ini. Dengan bertambahnya umur kita, semakin dekat kita dengan Allah S.W.T. Dengan bertambah umur, semakin dekat dengan kematian. Pedoman buat yang terlupa, ingatan buat yang terlalai.

“Yang menjadikan mati dan hidup, SUPAYA DIA MENGUJI KAMU, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,”

(Al Mulk:2)

HadiahNYA tidak meliputi ahli keluarga si mati tetapi komuniti masyarakat di sekeliling. Persoalannya,pernahkah kita mengambil iktibar dan pengajaran di atas kematian yang berlaku saban hari? Adakah kita masih menjadi orang Islam yang sama sebelum dan selepas kita mendengar mengenai kematian? Adakah kita mahu memperkatakan kepada ALLAH, bahawasanya tidak datang satu petunjuk kepada kita untuk berubah menuju kematian?

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

(Ali-Imran:185)

Jangan pernah gusar dengan kematian. Kematian pasti akan datang. Ini janji ALLAH S.W.T bukan Muhammad Syaiful Farhan. Pernah saya terbaca artikel mengenai seorang yang meninggal dunia ketika bersembahyang jamaah di masjid. Pernah juga saya terbaca artikel mengenai seseorang yang meninggal dunia ketika sedang melayan hawa nafsu.

Saya tutup artikel ini dengan satu persoalan.

Anda mahu mati yang bagaimana?

Tepuk dada, tanya iman!

**Takziah saya ucapkan kepada semua ahi keluarga si mati. Doakan agar mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah..**

12 October 2009

Aku dan Seminggu Yang Panjang

-Kalut? Bukan nak ke laut!-


Minggu lalu merupakan minggu yang panjang bagi diri saya. Mungkin juga ramai mahasiswa UTHM yang lain. Masing-masing menjadi “pejuang” dan “penggerak”. Masing-masing berjuang dengan prinsip dan tujuan tersendiri. Masing-masing mengambil peranan sebagai penggerak agenda mahasiswa. Masing-masing bergelut dan bergomol dengan pencapaian akademik. Segala-galanya berubah dengan cepat bagi golongan ini. Terlewat bererti gagal dan kalah!

Tapi satu golongan masih di situ. Hidupnya hari ini, semalam dan esok seperti tiada bezanya. Kaku dan membeku. Tak berpeluh dan asyik mengeluh. Inilah golongan yang tumpul dan mandul. Tumpul pada pemikiran. Mandul pada pembelajaran.


Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah aktiviti yang saya lakukan. Berikut merupakan beberapa ayat "pintar" saya ucapkan sepanjang minggu:


-Nasib baik aku tak kena macam ni!-

Pembentangan Trigger TITAS. (Rasuah: Kesan dan Penyelesaian)
“Saya minta maaf kepada semua. Saya tak dak sapa lagi yang nak disalahkan melainkan diri saya sendiri. Sekali lagi minta maaf,” kata-kata saya kepada semua ahli kumpulan gara-gara terlewat 15 minit untuk pembentangan.


Ujian Kedua Mekanik Bendalir.
“Padan muka hang, Apek. Dok kalut ke lain sangat!” monolog saya sendirian setelah gagal mencari nilai P2, yang sememangnya tidak perlu diketahui!


-Al-Fajr bersedia untuk berlepas!-

Roket Air untuk Minggu Bahasa.
“Ustaz Zikri tak boleh mai. Tak pa lah, janji Ustaz Azizul dah tengok roket kita naik tadi,kan?” saya cuba “menaikkan seri” di muka ahli kumpulan Bahasa Arab yang lain setelah saya merosakkan launcher roket tersebut!


Liqa Aidilfitri Kelab Iqra’ 2009.

“Usah ditangisi kesilapan lalu. Berjalan hendaklah sentiasa ke depan, bukan kebelakang. Pengalaman adalah guru yang terbaik!” kata-kata saya ketika cuba menaikkan semula semangat semua ahli jawatankuasa Liqa Aidilfitri Kelab Iqra’ 2009, yang kelihatan lesu dan kurang bermaya.


Tamat seminggu. Minggu ini juga merupakan minggu yang mencabar. Ujian Kedua Matematik Kejuruteraan 3. Tapi ini biasa bagi saya. Saya sudah terbiasa dengan rutin sebegini semenjak di bumi bertuah, POLIMAS lagi. Ketika ini, saya suka mendengar lagu Jiwa Kelajuan dari Hujan. Terasa dekat benar diri ini dengan bait-bait yang dilagukan.


Definasiku tetap sama dengan kelajuan,
Tidakku gentar kerana bagiku ini masa depan,
Tiada penghalang bagiku dan matlamatku hanya satu,
Sentiasa bersedia, kemenangan pasti milik kita!
-Hujan

Saya terkesan dengan blog Ustaz Hasrizal, saifulislam.com dan juga slogan blognya “Erti Hidup Pada Memberi”. Hidup ini mesti diutamakan memberi dari menerima. Inilah ertinya hidup sebagai seorang HAMBA!


MANUSIA STATIK=MAKHLUK DUNGU LAGI HINA
MANUSIA DINAMIK=MAKHLUK BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT


**Ketika di POLIMAS, kawan dan sahabat memanggil saya sebagai Apek. Ketika bercakap dengan diri sendiri, saya terbiasa merujuk diri sebagai Apek.**

02 October 2009

Bukan Manusia Sempurna!


-Farhan Takaful Planning?WTH!-




“I expect more from you. What you did just now, was reading,” kata Mr. Bhaskaran kepada saya, apabila saya bertanya mengenai pembentangan saya di awal kelas Komunikasi Berkesan (Effective Communication).

Pada malam itu, sebelum tidur, saya terfikir mengenainya. Agak lama.

“You don’t do enough preparation. That’s why you come and read,”

Mungkin bagi orang yang bersindrom “peduli-apa-aku”, ini adalah ungkapan biasa. Tapi bukan untuk orang bersemangat “aku-memang-peduli” seperti saya. Tambahan pula, saya ‘menghentam’ pembentang-pembentang yang merangkap pembaca di dalam TITAS, TITUS.


“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

(Surah As-Saff 61:2-3)


Apa yang khalayak perlu ingat dan ambil perhatian adalah saya juga seorang manusia biasa. Mungkin apa yang dicanang dan dipotretkan oleh saya di dalam nukilan blog ini menggambarkan bahawa saya seorang yang hebat, gah, megah, gagah. Pendek kata, juah! Bukan ini yang saya ingin khalayak lihat saya. Segala yang saya hasilkan adalah mengenai sudut pandang saya (my point of view). Melalui mata saya. Kaca mata saya. Tafsiran saya.

Berbalik kepada persoalan pokok artikel ini. Manusia Sempurna. Bagi saya, tidak (baca:mana mungkin!) wujud seseorang yang boleh digelar manusia sempurna. Jika ada sekalipun, tidak lain tidak bukan hanyalah gelaran untuk Muhammad bin Abdullah Saallah’alaiwassalam. Banyak bukti yang menunjukkan baginda seorang insan kamil atau manusia yang sempurna. Tetapi saya ingin membawakan satu sirah baginda.


Pada suatu ketika, terdapat seorang perempuan Yahudi tua yang buta, hidup sezaman dengan Nabi Muhammad. Perempuan tua ini kerap kali memaki Nabi Muhammad dan berkata kepada sesiapa sahaja yang melintasi rumahnya supaya menyumpah Nabi. Perempuan tua ini MUNGKIN akan berkata...

“Hampa semua jangan ikut agama yang Muhammad bawa. Dia tu dah la pembohong piang. Sapa ikut dia, memang bodoh piang macam dia jugak!”

...kalau dia boleh cakap loghat Utara. Tetapi takdir ALLAH menguasai segala-galanya.

Pada suatu hari, ketika ingin berjalan balik dari pasar, perempuan tua ini telah meminta tolong kepada seorang pemuda supaya memimpinnya balik ke rumah. Pemuda yang diminta oleh perempuan tersebut adalah Nabi Muhammad. Sepanjang jalan balik ke rumahnya, perempuan ini terus ‘berkempen’ dan ‘menyeru’ supaya pemuda yang memimpinnya, agar jangan menganut bahkan mendekati orang yang bernama Muhammad bin Abdullah. Perempuan tua ini MUNGKIN akan berkata...

“Hang jangan dok kawan dengan Muhammad tau. Dia tu dah la pembohong pait. Hang tau dak, orang yang dok ikut dia tu, semua kena main jin dengan dia. Tapi mak cik tau, hang ni jenis budak baik. Hang tarak kawan orang yang ada magic magic ni. Suara hang pun lembut. Sejuk hati mak cik dengaq suara hang”

...kalau dia boleh cakap loghat Utara. Namun, apa yang beliau lakukan cuma mengiyakan tanpa membantah sekalipun perempuan Yahudi tua yang buta tersebut memakinya!

Ketika sampai di rumahnya, perempuan tadi bertanya siapakah gerangan nama pemuda yang baik hati dan bersuara lembut ini.

“Sayalah Muhammad bin Abdullah,”

Ringkas. Tepat. Padat.

Tahu apa yang perempuan Yahudi itu terus katakan?

“Ashaduallailahailallah, Ashaduannamuhammadarasulullah!”


Hebat bukan cerita ini? Jika saya, mungkin sudah melekat batu cincin saya di dahi perempuan tua itu. Pompuan tak pompuan, mulut kalau tak tau jaga, alamat makan buah tangan! =)


Suka saya ingin tegaskan sekali lagi, saya bukan manusia sempurna. Saya hanya insan biasa yang menumpang bumi ciptaan ALLAH S.W.T., seperti juga anda. Bisa terkhilaf dan punya kelemahan yang banyak.


Jika saya terlena, kejutkan saya..

Jika saya tersilap, betulkan saya..

Jika saya terjatuh, tolonglah saya!