21 February 2010

Bahasa Mencetus Rasa


"Cintailah Bahasa Kita!"


Sensa.

Opysen.

Konklusi.

Perkataan apa ini? Nampaknya macam perkataan Melayu. Bacanya pula berbunyi Inggeris. Yang pasti, ianya bukan Bahasa Melayu tulen. Dicedok secara terus dari Kamus Oxford, diungkap dengan lidah Nusantara.

Saya menulis blog ini dengan menggunakan bahasa Melayu, baku rasanya. Tiada lain niat di hati kecuali ingin memaksimumkan penguasaan Bahasa Melayu diri sendiri dan mendidik khalayak agar terpupuk nilai cintakan bahasa ibunda. Sudah lama saya tinggalkan penulisan Bahasa Melayu ini, semenjak tingkatan 5 di KoleJ Sultan Abdul Hamid.


Saya akui, surat khabar utama yang dibaca oleh saya ialah The Star. Saya suka cara pengolahan dan gaya bahasa The Star terutama sekali bahagian Star Two. Menarik dan tertarik saya untuk terus membaca sesuatu artikel. Ada juga ruangan bersoal jawab mengenai grammar (tatabahasa). Tidak lain untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris si pembaca.


Tetapi saya agak terkilan bila membaca kata-kata di atas. Sensa, opysen, konklusi. Semua perkataan ini sudah tersedia dengan lengkap dalam bahasa kita. Penderia, pilihan, kesimpulan. Susah sangatkah nak menggunakan perkataan ini? Ataupun sesetengah orang Melayu alergik mendengar bahasa bangsa mereka sendiri? Kalau benar wujudnya alergik sejenis ini, maka tidak hairanlah PPSMI boleh dilaksanakan..


Tahukah khalayak bahawa terdapatnya perkataan Melayu yang menggantikan roadshow dan talkshow? Jerayawara dan bicarawara. Masih asingkah perkataan seperti laman sesawang, papan kekunci, muat turun, muat naik pada tanggapan kita? Orang di Dewan Bahasa dan Pustaka jenuh mahu memikirkan perkatan yang sesuai, kita? Masih dengan mentaliti lapuk bahawasanya Barat itu hebat, Timur itu jelek!


Saya kongsikan sedikit cerita mengenai bahasa ini. Bagaimana tindakan Khalifah Al-Ma’mun di zaman Bani Abbasiyyah dulu boleh menyediakan jawapan kepada masalah kita yang satu ini..

Zaman Khalifah Abbasiyyah merupakan puncak kegemilangan ilmuwan-ilmuwan Islam. Banyak ciptaan yang melangkau pemikiran pada zaman itu, berjaya dicipta oleh orang Islam. Antara ilmuwan pada ketika itu adalah Ibnu Haytham, Ibnu Sina, Al Battani dan Ibnu Rusyd. Ilmu terpacu dengan laju dan pantas sekali kerana zaman ini mewarisi kejayaan tamadun Rom, Greek, Cina, India, Parsi, Byzantine dan Afrika Utara (Mesir). Zaman ini digelar Zaman Keemasan Islam (Islamic Golden Age). Seorang penulis Inggeris, Karen Armsrong menyatakan,

"Arab Muslims now studied astronomy, alchemy, medicine and mathematics with such success that, during the ninth and tenth centuries, more scientific discoveries had been achieved in the Abbasid Empire than in any previous period of history."

Bagaimana orang-orang hebat ini boleh dilahirkan? Salah satu sebabnya ialah tawaran yang diberikan oleh Khalifah Al-Ma’mun. Tawarannya adalah sesiapa yang berjaya menterjemahkan sesuatu buku yang belum pernah dibaca oleh Khalifah tersebut, maka bayaran emas seberat buku tersebut akan dibayar kepada orang tersebut. Dengan motivasi sehebat ini, maka bertebaranlah orang-orang terpelajar mencari buku-buku ke seluruh empat penjuru dunia. Jumpa buku. Alih bahasa kepada bahasa Arab. Beri pada khalifah. Emas sudah menanti seberat buku tersebut!


Saya TIDAK menghalang sesetengah penggunaan bahasa Inggeris yang dimelayukan seperti planet, universiti dan kolej. Ini kerana bahasa Melayu juga perlu berkembang. Sesungguhnya bahasa kaku dan beku itulah BAHASA HAIWAN. Bahasa haiwan tidak pernah berubah dan tak mungkin berubah kerana haiwan tiada akal!


Akhir kata, Kesultanan Melayu Melaka tidak tertegak menggunakan bahasa Hindu yang dominan pada ketika itu. Kerajaan Melayu ketika itu menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Sebagai bahasa pengantara. Sebagai bahasa perdagangan. Sebagai bahasa kejuruteraan. Sebagai perluasan pengaruh. Kerana apa? Kerana Bahasa mencetus rasa!


Merantau jauh mencari diri,

Singgah sebentar di Pulau Rusa,

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.


05 February 2010

Berkuasa!


"PARTI AYAM???!"


Alhamdulillah. Selesai sudah pilihan raya kampus (PRK) bagi sesi 2010 ini. Kepada yang menang, saya ucapkan tahniah dan takziah. Tahniah kerana mendapat apa yang diinginkan dan takziah kerana anda berjaya mengurangkan masa 24 jam anda untuk diri anda untuk dibahagikan kepada mahasiswa UTHM sekeliannya.


PRK, yang sepatutnya berlangsung pada 25 Januari hingga 28 Januari ditangguhkan kerana kemangkatan Almarhum Sultan Johor, berlangsung semula pada 30 Januari dan tarikh pembuangan undi adalah pada 4 Februari. Oh, sebelum saya terlupa. PRK telah diubah nama kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar(?). Kenapa diubah nama? Masih belum otak ligat saya memikirkan sebab musababnya...


Menjadi pemimpin itu bukannya mudah.

“Kamu semua adalah pemimpin. Dan kamu akan ditanya dengan apa yang kamu pimpin”

Rasulullah S.A.W. sendiri melalui latihan yang amat ketat, dalam perancangan ALLAH S.W.T, untuk melatih baginda menjadi pemimpin yang hebat. Bukan pemimpin umat Arab sahaja, malahan seluruh dunia. Bermula dengan kematian ayahanda dan bonda tercinta, kemudian hidup dengan datuk kesayangan sebelum dijaga oleh bapa saudara-bapa saudara, yang kelak ramai yang menjadi penentang baginda.


Setelah latihan yang berbagai, umur yang menjadi pilihan, bukan 25,bukan 30 tetapi 40 tahun. Kenapa 40 tahun? Kerana ini merupakan umur yang sudah mengalami jatuh dan bangun dalam kehidupan.

Setelah itu, bermula kehidupan baginda sebagai perevolusi pemikiran umat manusia. Baginda mengubah sejarah dunia sehinggakan baginda diiktiraf sebagai Manusia Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman, di atas Jesus Christ.


Wahai pemimpin/wakil pelajar UTHM, mari kita semak kembali diri kita sendiri. Kita melaungkan perubahan, tetapi mampukah kita melaksanakannya menggunakan kayu aras perjuangan baginda S.A.W yang agung...

Pertama, bersedia untuk dilontar dan dihujani dengan batu-batu seperti baginda di Thaif?

Kedua, bersedia untuk berjalan jauh merentas padang pasir yang kering kontang demi habuan Akhirat yang entah bila akan tiba?

Ketiga, bersedia untuk melawan ketidakadilan dan pembohongan dengan harta dan nyawa?


Mampu? Jika tidak, sedarlah, taraf kita hanyalah debu-debu berterbangan di padang pasir .Usahlah perubahan yang dilaungkan jika diri kita masih setaraf debu...

p/s: walaupun saya tidak masuk bertanding pada kali ini, ingatlah kata-kata saya ini. Don’t count me out just yet.. =)