30 March 2010

Hilangnya API, Munculnya Bara...


"Api yang akan meninggalkan Bara.."


Baru-baru ini, saya membuat kajian akademik mengenai Islam dan Pemikirannya : Sejarah Dalam Perkembangan Politik Di Malaysia. Agak banyak bahan atau buku yang saya gunakan untuk mengkaji dalam menyiapkan kajian ini. Ada bahagian merah dan ada bahagian hijau. Ada juga yang hitam dan juga putih.


Nama-nama yang agak asing dari pembacaan sehari-hari mula terlintas dalam kotak pemikiran saya. Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

“Sejarah ditulis oleh orang-orang yang menang”

Entah bila saya mendengar kata-kata ini. Kebenarannya ada dan semakin jelas apabila saya mengkaji nama-nama ini. Ya, mereka ini berhaluan kiri. Bukan menentang sultan-sultan dan raja. Mereka berhaluan kiri dalam menentang penjajahan Barat mahupun Jepun. Bagi mereka, Tanah Melayu untuk rakyat-rakyatnya. Tiada seinci pun Tanah Melayu yang direstui oleh mereka untuk didiami penjajah.


Dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka banyak membuka mata saya serta merubah pandangan saya mengenai perjuangan mereka untuk memerdekakan Malaya. Dokumentari ini menemubual tokoh-tokoh Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM), Malayan Democratic Union (MDU) dan Pan-Malaya Federation Trade Union (PMFTU). Kewujudan pertubuhan-pertubuhan ini adalah sebelum merdeka dan mereka bukan kerana hendak memenangkan satu kaum atas kaum yang lain tetapi dengan slogan “Merdeka ” cukup jelas menyampaikan mesej kepada rakyat Malaya ketika itu.


Suka saya hendak kongsikan dengan khalayak, satu kemungkinan yang bakal terjadi ANDAI kata impian PKMM menjadi realiti. Indonesia dan Malaysia bergabung dan menjadi Melayu Raya???

Kita akan menguasai lombong minyak petroleum yang luas. Sumber manusia yang amat banyak. Tanah subur yang luas. Yang paling penting sekali, Selat Melaka adalah bawah kawalan kita. Saya percaya jika Selat Melaka di bawah kawalan kita, People Republic of China dan Amerika Syarikat akan menjaga negara yang bernama Melayu Raya sebaik-baiknya kerana ekonomi dunia dikawal oleh kita!


“They eat like Malay, They think like Malay, but with English in taste”

Inilah aspirasi pihak Inggeris ketika menyerahkan kemerdekaan pada Tanah Melayu. Hasilnya, kita masih menganggap British adalah terbaik. Keagungan British masih beraja di hati ramai di kalangan kita. Bukti? Perlembagaan Malaysia yang ditulis oleh Lord Reid, nama-nama orang putih jalan sekitar Malaysia, PPSMI dan banyak lagi. Ordinan Darurat 1948 juga kekal sehingga hari ini tapi wajahnya saja yang berubah. Accentnya masih British!


Hilangnya API, munculnya bara. Hakikat sunnatullah yang diatur oleh Tuhan Sekelian Alam. Bara mempunyai suhu lebih tinggi berbanding api. Bisa menghasilkan kehancuran yang lebih besar. Jangan dikatakan apabila terpadamnya api, maka sisa-sisa api juga turut hilang bersamanya. Bara itu masih ada dan membara. Menunggu masa dan angin yang sesuai untuk menghidupkannya semula...

2 comments:

Anonymous said...

Sunnatullah hilangnya api munculnya bara...bukan syariatullah

farhanrazi! said...

dh dibetulkan,terima kasih anon-yg-aku-tau-sapa.. =)

Post a Comment