29 August 2011

Siapa 'Aideen? Siapa Faaizeen?



Hari ini kita di penghujung Ramadhan. Esok Hari Raya Aidilfitri. Masih kenyalkah iman kita tatkala Ramadhan episod 1432 usai melabuhkan tirainya? Atau jiwa nurani kita meronta-ronta untuk dilepaskan dari “azab” Ramadhan yang Allah “paksa”kan kepada umat Muhammad?

Bagaimana kita memandang Ramadhan, maka itulah hasil yang kita dapat untuk Ramadhan kali ini. Jika “paksaan” ini kita pandang baik, maka baiklah hasilnya. Jika “paksaan” ini kita pandang sebagai beban dan hukuman, maka itulah hasilnya. Caca merba dan serba serbi tak kena!


Kanak-kanak menjadi riang apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana mereka beroleh “durian runtuh”, duit raya. Ketika inilah meriam buluh, meriam tin menjadi bermakna. Kalau meriam buluh, meriam tin dibunyikan ketika bulan-bulan lain, mungkin ada rakyat yang beranggapan Jepun sedang menyerang Malaya atau Indonesia sedang mengganyang Malaysia. Tetapi tidak berlaku di Bulan Ramadhan. “Alah, budak-budak. Biasa la tu..”

Bapa kanak-kanak menjadi kurang riang apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana mereka akan memberi “durian runtuh” kepada peniaga barangan Hari Raya. Daging untuk rending, ketupat dan lemang, kuih semprit, kuih rempit semuanya memerlukan mahar. Dan desakan ini akan membiuskan poket-poket si bapa dari menyedari hakikat dirinya. Jika tidak dirancang dengan baik, maka bulan berikutnya ditambah berpuasa lagi sebulan!


Hari Raya Aidilfitri bukanlah sekadar adat yang wajib setahun sekali kita lalui. Ianya lebih dari adat. Ianya adalah ibadat dan syariat. Sebagai muslim sejati, kita melihat Hari Raya Aidilfitri sebagai simbol kemenangan kita menentang nafsu serakah sendiri di Bulan Ramadhan. Tidak ada makhluk lain yang tahu akan kualiti puasa kita melainkan kita dan Khaliq. Dengan itu, Allah telah “paksa”kan kita untuk tidak berpuasa pada 1 Syawal bagi meraikan kemenangan kita.

Pernah terlintas istilah “Minal Aidin wal Faizin” ketika menyambut Hari Lebaran? Selalu kita terdengar istilah ini tapi kita kurang mendengar penjelasan di sebalik istilah ini melainkan acap kali disebutkan oleh penyanyi dan pelakon Muslim di rancangan televisyen. Secara sedar atau tidak “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” membawa makna yang besar mencakupi urusan dunia dan akhirat.

SIAPAKAH GOLONGAN ‘AIDEEN?

Ramadhan mengajar kita agar menundukkan nafsu ketika bepuasa. Universiti Tarbiyah Hati Manusia (UTHM) yang Allah kurniakan kepada kita supaya kita menjadi orang bertaqwa selepasnya. Bertaqwa dengan meninggikan keimanan kita, meremehkan keinginan nafsu dan meletakkan akal di tempat selayaknya. Dengan ini, darjat kita lebih tinggi setingkat dan lebih menghampiri Muslim yang Mukmin seperti pengkhabaran Al-Quran. Erti ‘Aideen ialah orang yang kembali. Ya,kita kembali ke jalan Allah untuk menuntut Jannah.

SIAPAKAH GOLONGAN FAAIZEEN?

Ramadhan melatih para graduannya satu golongan Muslim yang berjaya keluar dari kepompong penghambaan kepada nafsu dan terus penghambaan kepada Allah. Selama ini mereka terkurung di dalam cerminan nafsu, akhirnya mereka bergraduasi dengan sebutir pingat ketaqwaan dengan sebenar-benar taqwa. Mereka inilah Faaizeen. Faaizeen adalah orang yang berjaya.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu”
(Asy-Syams: 9)


Kita semak kembali istilah tadi. Adakah kita akan menjadi “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” selepas keluar dari pentarbiyah Ramadhan? Adakah kita dari golongan yang sibuk untuk berhari raya dari sibuk menuntut pembebasan api neraka?

Adakah kita melambai senja Ramadhan 1432 dengan masih lekat sekelumit kebatilan bertenggek di hati? Adakah kita tidak sabar-sabar lagi untuk menggamit Ramadhan 1433 yang entah kita sempat ataupun tidak? Semuanya ada pada iman kita. Tepuk dada, tanya iman!

KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL,
JANGAN LAUTAN HENDAK DIDUGA,
KALAU NAFSU MENDAHULUI AKAL,
JANGAN PERNAH MIMPIKAN SYURGA!


1 comments:

atikahnufail said...

nice post
Salam Syawal 1432H

Post a Comment