12 October 2009

Aku dan Seminggu Yang Panjang

-Kalut? Bukan nak ke laut!-


Minggu lalu merupakan minggu yang panjang bagi diri saya. Mungkin juga ramai mahasiswa UTHM yang lain. Masing-masing menjadi “pejuang” dan “penggerak”. Masing-masing berjuang dengan prinsip dan tujuan tersendiri. Masing-masing mengambil peranan sebagai penggerak agenda mahasiswa. Masing-masing bergelut dan bergomol dengan pencapaian akademik. Segala-galanya berubah dengan cepat bagi golongan ini. Terlewat bererti gagal dan kalah!

Tapi satu golongan masih di situ. Hidupnya hari ini, semalam dan esok seperti tiada bezanya. Kaku dan membeku. Tak berpeluh dan asyik mengeluh. Inilah golongan yang tumpul dan mandul. Tumpul pada pemikiran. Mandul pada pembelajaran.


Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah aktiviti yang saya lakukan. Berikut merupakan beberapa ayat "pintar" saya ucapkan sepanjang minggu:


-Nasib baik aku tak kena macam ni!-

Pembentangan Trigger TITAS. (Rasuah: Kesan dan Penyelesaian)
“Saya minta maaf kepada semua. Saya tak dak sapa lagi yang nak disalahkan melainkan diri saya sendiri. Sekali lagi minta maaf,” kata-kata saya kepada semua ahli kumpulan gara-gara terlewat 15 minit untuk pembentangan.


Ujian Kedua Mekanik Bendalir.
“Padan muka hang, Apek. Dok kalut ke lain sangat!” monolog saya sendirian setelah gagal mencari nilai P2, yang sememangnya tidak perlu diketahui!


-Al-Fajr bersedia untuk berlepas!-

Roket Air untuk Minggu Bahasa.
“Ustaz Zikri tak boleh mai. Tak pa lah, janji Ustaz Azizul dah tengok roket kita naik tadi,kan?” saya cuba “menaikkan seri” di muka ahli kumpulan Bahasa Arab yang lain setelah saya merosakkan launcher roket tersebut!


Liqa Aidilfitri Kelab Iqra’ 2009.

“Usah ditangisi kesilapan lalu. Berjalan hendaklah sentiasa ke depan, bukan kebelakang. Pengalaman adalah guru yang terbaik!” kata-kata saya ketika cuba menaikkan semula semangat semua ahli jawatankuasa Liqa Aidilfitri Kelab Iqra’ 2009, yang kelihatan lesu dan kurang bermaya.


Tamat seminggu. Minggu ini juga merupakan minggu yang mencabar. Ujian Kedua Matematik Kejuruteraan 3. Tapi ini biasa bagi saya. Saya sudah terbiasa dengan rutin sebegini semenjak di bumi bertuah, POLIMAS lagi. Ketika ini, saya suka mendengar lagu Jiwa Kelajuan dari Hujan. Terasa dekat benar diri ini dengan bait-bait yang dilagukan.


Definasiku tetap sama dengan kelajuan,
Tidakku gentar kerana bagiku ini masa depan,
Tiada penghalang bagiku dan matlamatku hanya satu,
Sentiasa bersedia, kemenangan pasti milik kita!
-Hujan

Saya terkesan dengan blog Ustaz Hasrizal, saifulislam.com dan juga slogan blognya “Erti Hidup Pada Memberi”. Hidup ini mesti diutamakan memberi dari menerima. Inilah ertinya hidup sebagai seorang HAMBA!


MANUSIA STATIK=MAKHLUK DUNGU LAGI HINA
MANUSIA DINAMIK=MAKHLUK BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT


**Ketika di POLIMAS, kawan dan sahabat memanggil saya sebagai Apek. Ketika bercakap dengan diri sendiri, saya terbiasa merujuk diri sebagai Apek.**

0 comments:

Post a Comment