16 July 2011

Membezakan Berita Hitam Dan Putih




“Aku dah baca Utusan Malaysia dan aku baca sekali Harakah.Pening kepala aku baca hujah-hujah dalam dua akhbar ni. Macam mana hang boleh paham berita hari ni?”

Soalan ini ditanya pada saya oleh seorang rakan. Eh, terfikir jugak. Macam mana saya fikir untuk saring berita-berita muktahir ini? Akal saya sudah terbina dengan sendiri oleh peredaran masa dan ini adalah kesan-kesan Zaman Revolusi POLIMAS saya. Menggunakan kaedah input-process-output sebagai acuan dalam membentuk pemikiran saya pada hari ini.

Agak lama saya terfikir bagaimana hendak menulis untuk menghurai corak saya berfikir dengan perkataan. Ianya mudah bagi saya untuk memahami tanpa perkataan tapi sukar bagi khalayak nak memahami corak pemikiran saya. Dalam penulisan kali ini, saya cuba huraikan satu persatu bagaimana saya mendapat input, berfikir dan bertindak.



KENAL MANA PINTU, MANA TINGKAP

Kita mulakan dengan yang paling asas. Dalam beragama, orang-orang Islam tidak dapat tidak wajib memulakannya dengan peringkat Aqidah. Aqidah adalah pintu kepada beragama. Ilmu Aqidah ialah ilmu mengenal Rabb yakni Tuhan. Bagi pendapat saya, ikut mana kemudahan bagi kita untuk memahami konsep Aqidah. Sama ada menggunakan method Tauhid Tiga (Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah, Asma As-Sifat) atau method Sifat 20 (Sifat Wajib bagi Allah, Sifat Mustahil bagi Allah, Sifat Harus bagi Allah). Ini penting sebelum kita menerjah ke bidang yang lain seperti ibadah dan siasah (politik). Untuk pembacaan lanjut, topik ini boleh dibaca di sini.

Memanglah susah jika nak dihabiskan perihal Aqidah baru nak memulakan kehidupan beragama. Maka, jawapannya, saya akan merujuk dengan ustaz-ustaz yang berkenaan dalam soal ini. Ada beberapa blog ustaz yang saya ikuti antaranya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (sini), Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin (sini) dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (sini). Pada pendapat saya, kelompok ustaz ini merupakan ustaz-ustaz yang progresif dan relevan pada dunia hari ini. Mengaitkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dengan konteks semasa. Menghuraikan tajuk yang kompleks dengan bahasa yang mudah difahami oleh umat. Yang penting, mereka hidup di dunia hari ini di bumi Malaysia dan bukan di Semenanjung Arab sezaman dengan Nabi Muhammad S.A.W!

Dalam Islam, kita mempunyai 5 sumber hukum. Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulama, Qias dan Ta’ zir. Al-Quran dan As-Sunnah sudah terputus setelah wafatnya Nabi S.A.W , namun ulama-ulama yang mewarisi Nabi masih ada sehingga hari ini. Ulama pewaris Nabi inilah yang akan melakukan ijmak (persepakatan) dan Qias (perkaitan) berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Ta’zir adalah hukuman yang ditentukan oleh pemerintah (al-malak).

Bagi saya yang daif, persoalan-persoalan berat berkaitan soal hukum hakam Islam, saya serahkan kepada ahlinya. Saya hanya akan menerima sesuatu pendapat setelah diberikan hujah-hujah bersandarkan pada nas-nas yang sahih, praktikal untuk diamalkan di Malaysia dan menepati konteks semasa. Dengan bahasa yang lebih mudah, seperti mana ustaz singgah di bengkel kereta dan bergantung kepada mekanik untuk membetulkan keretanya, seperti itulah juga saya bergantung kepada mereka untuk membetulkan pemahaman saya mengenai Islam!



KENAL KAWAN DAN LAWAN

Di atas padang politik, kita perlu tahu dan sedar satu hakikat. There are two sides of every coin. Jika kita hanya membaca hujah-hujah dari kedua-dua belah pihak tanpa apa-apa asas untuk mula berfikir, maka kita akan mulai pening kerana kedua-duanya mempunyai alas an yang kukuh dan munasabah.

Mengikut situasi iklim politik Malaysia sekarang, kita mempunyai 2 pilihan. Memilih sama ada pasukan Barisan Nasional ataupun pasukan Pakatan Rakyat. Mungkin ada juga memilih pilihan yang ketiga iaitu TIDAK MENGUNDI!

Kita tinggalkan pilihan yang ketiga dan tumpukan pada pilihan yang pertama atau kedua. Saya cuba huraikan langkah demi langkah apa yang saya sudah lakukan semenjak Zaman Revolusi dulu..


PERTAMA: PILIH PASUKAN PILIHAN ANDA.

Pilih di sini bukan bermaksud terus mengundi pilihan hati kita. Pilih di sini bermaksud baca hujah-hujah satu pihak secara holistik di dalam sesuatu isu. JANGAN BACA SECARA SERENTAK HUJAH KEDUA-DUA PIHAK. Bacaan anda satu pihak sehingga habis (atau puaih hati!) maka beralihlah ke satu pihak lagi. Jika di pihak BN, maka blogger seperti pisau.net, papagomo, parpukari haruslah dibaca bersama lidah rasmi BN yakni Utusan Malaysia dan Berita Harian. Jika di pihak PR, maka blogger milosuam, tukartiub, cursingmalay haruslah dibaca bersekali dengan lidah rasmi PR, sama ada Rocket, Harakah atau Suara Keadilan. Ini dinamakan meluaskan ufuk (horizon) pembacaan. Bukan hanya tertumpu kepada sebelah pihak sahaja.

KEDUA: GUNAKAN DERIA BERFIKIR ANDA.

Soalan yang perlu tanya pada diri sendiri, “Anda, sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, mahukan Malaysia yang bagaimana di masa depan?”. Apakah projected images yang anda mahukan orang-orang luar negara melihat Malaysia masa depan? Tebal dengan sifat Melayu atau tinggi dengan roh Islam? Hebat dengan sifat Cina atau mantap dengan jiwa Kristian? Penuh dengan hiasan India yang sarat atau jaguh dengan agama Hindu?

Semua soalan ini akan mempunyai jawapan melalui suasana pembesaran kita. Setiap orang punya latar belakang hidup yang berbeza. Sikap kita yang terbentuk pada hari ini adalah satu manifestasi kepada bagaimana kita dibesarkan. Sikap kita adalah satu bentuk tindak balas kepada persekitaran kita yang mengacuankan minda kita supaya memiliki satu-satu projected images. Juga perlu difahamai projected images ini adalah sebenarnya satu harapan, mimpi dan angan-angan kita.

KETIGA: GABUNGKAN KEDUA-DUA LANGKAH.

Inilah langkah yang terakhir. Langkah inilah yang akan menentukan siapa yang kita akan undi di dalam sesuatu pilihan raya. Apa sahaja projected images di dalam kepala anda, cuba hubungkaitkan dengan sumber pembacaan anda di sebelah Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Mana satu yang lebih menepati projected images di dalam benak anda? Berita yang anda ragu-ragukan, tolak ke sebelah. Hanya pilih berita yang sahih dan betul di fikiran anda.

Selepas melakukan kesemua langkah-langkah di atas, saya merasakan anda sudah cukup bersedia dan yakin untuk melakukan pilihan anda melalui kertas undi. Inilah langkah-langkah yang saya gunakan sejak dari dulu. Harap ianya bermanfaat untuk khalayak.


Kenapa saya mulakan dengan KENAL MANA PINTU, MANA TINGKAP? Kerana cara kita masuk ke dalam agama adalah cara kita memahami agama. Di artikel terdahulu, sudah saya nyatakan agama ialah penyuluh jalan sampai ke sana (sini). Kenapa perlu mengundi dalam pilihan raya dan adakah wujud dosa dan pahala dalam pengundian di dalam pilihan raya? Jawapannya ada di sini.

Jika aqidah umat sudah mempunyai asas yang kukuh, maka isu-isu seperti isu “Kalimah Allah: Milik Siapa?”, isu “Al-Kitab: Untuk Siapa?”, isu “Kafir Ke Masjid: Islam Ke Mana?” dan isu “Al-Quran,Al Hadith: Untuk Muslim atau Untuk Manusia?” adalah seperti mudahnya menyuapkan makanan ke mulut bayi!

Yang terakhir sekali, buatlah yang terbaik (itqan) dalam semua perkara dalam hidup kita. Jika memisahkan agama dari pentadbiran negara adalah salah maka begitu juga memisahkan pentadbiran negara dari agama juga adalah salah. Sesungguhnya kita adalah khalifah Allah di bumiNya dan yang paling penting, kita adalah hamba kepadaNya..


0 comments:

Post a Comment