
Sirah ini yang saya bawakan pada Kuliah Subuh di Kem Bina Insan 2011 di Maktab Mahmud Sik baru-baru ini. Terasa sedikit gementar dengan ilmu sendiri yang tak seberapa banyak berbanding dengan fasilitator-fasilitator dari kampus-kampus lain. Ada yang asasnya Syariah, asasnya Ilmu Wahyu. Namun, ditolak perasaan itu jauh-jauh kerana beban berdakwah bukan digalas oleh sesuatu golongan sahaja. Beban dakwah dipikul oleh orang-orang yang mengaku dirinya Muslim dan menyerahkan jiwa raga kepada Zat Yang Maha Agung. Sama ada sedar ataupun tidak..
Sirah yang saya bawakan di atas adalah mengenai mengusahakan perubahan. Itu yang susahnya. Memaksa diri keluar dari zon selesa dan masuk ke pentas realiti berdepan kesusahan bertingkat-tingkat. Di dalam sirah di atas, setelah bertanya perihal taubatnya kepada ulama (ilmuwan), lelaki itu diarahkan untuk pergi ke satu negeri yang aman damai kerana negerinya sudah porak peranda dan tidak menjurus kepada kebaikan. Maka, di dalam perjalanannya, dia meninggal dunia. Tentu sahaja boleh lelaki ini hidup selesa dengan megah ketika menjadi kepala gangster yang membunuh 100 orang. Tapi itu bukan kemahuan hidup dan desakan hatinya..
Peribahasa Melayu ada menyebut, “Jangan menjadi seperti katak bawah tempurung”. Cerita asal bagaimana wujudnya perumpamaan ini mempunyai khilaf mengikut perawi masing-masing. Secara dasarnya, katak yang dibawah tempurung ini terperangkap dan sesat dalam dunianya sendiri. Apabila katak ini melompat, kepalanya terhantuk ke tempurung kelapa. Katak ini menganggap dunia ini sebesar tempurung tempat tinggalnya sahaja. Katak itu hanya analogi sahaja. Ia boleh berupa Melayu, boleh berupa Cina malah Iban atau Kadazan. Maksud “katak di bawah tempurung” amat bertepatan dengan orang yang tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Kenapa tidak tahu? Kerana suka berada di zon selesa. Kenapa suka berada di zon selesa? Kerana kegagalan memahami Sunnatullah alam ciptaan Tuhan.
Kenapa perlu berubah? Kerana itu Sunatullah Alam. Boleh sahaja Nabi Muhammad S.A.W statik di Makkah Al-Mukarramah kerana baginda seorang yang maksum dan sudah dijamin Jannah oleh Allah S.W.T. Boleh sahaja Ashabul Kahfi kaku di dalam negeri mereka kerana sudah diketahui iman di dada mereka akan menentukan ke Jannah atau ke Jahannam. Boleh sahaja Sultan Harun Ar-Rasyid tak perlu bazirkan harta negara untuk memberi imbuhan kepada para penterjemah kitab-kitab tamadun lain kerana banyak lagi ruang untuk memberi kebajikan kepada rakyatnya.
Kenapa mereka semua berubah dan menempuh jalan susah? Kerana mereka memahami hakikat Sunatullah alam jagat ini. Dengan berhijrah, Nabi Muhammad berjaya menubuhkan Darul Islam dan menjadikan dakwah islam menjadi lebih besar ruang lingkupnya. Dengan berhijrah ke dalam gua, Ashabul Kahfi membuktikan bahawa berani hidup lebih baik berganda-ganda daripada berani mati. Dengan dasar baru pentadbirannya, Sultan Harun Ar-Rasyid melihat cabaran masa depan dunia global yang memerlukan umat Islam terus menguasai ilmu pengetahuan.
Perubahan mestilah berkadar terus dengan masa. Masa yang Allah kurniakan kepada insan, jika disia-siakan maka punahlah dunia, hancurlah akhirat insan tersebut. Semakin tua umur kita, sepatutnya kita menjadi semakin matang. Matang dalam berbicara, matang dalam membuat keputusan dan matang dalam mendepani masalah. Biarkan masa mengajarkan kita semua itu, yang penting kita bersedia dan mahu untuk berubah!
Buat adik-adik di Kem Bina Insan 2011, saya lakarkan realiti yang mendepani mereka di dunia luar daerah Sik. Bukan jauh hingga ke Baitulmaqdis, Rio de Janeiro mahupun Cologne. Kuala Lumpur sebagai ibu negara sudah cukup memberikan satu gambaran besarnya misi yang didukung oleh umat Islam di Malaysia.
“Kamu semua tau dak, yang nama Mid Valley Megamall tu, Pekan Sik boleh masuk 10 kali kot dalam tu. Amek satu Pekan Sik letak dalam tu, amek satu Pekan Sik letak dalam tu. Agak-agak saya dalam 10 kali kot boleh masuk!”
Akhir sekali, saya berikan mereka dengan satu analogi “ikan di dalam laut”. Biarpun ikan di dalam laut seumur hidupnya, namun air laut yang masin tak pernah menjadikan isi ikan itu masin. Walau apa pun cabaran yang menimpa yang berpunca dari tekanan luaran mahupun keluarga sendiri, ingatlah kita masih punya diri kita sendiri. Allah S.W.T akan tetap bersama-sama dengan hambaNya yang sabar. Penutupnya, saya tinggalkan serangkap pantun buat mereka, adik-adikku tersayang..
KU SANGKAKAN PANAS SAMPAI KE PETANG,
RUPANYA HUJAN DI TENGAH HARI,
SEMOGA BERJUMPA DI MASA MENDATANG,
JIKA TIDAK DI SYURGA NANTI!
0 comments:
Post a Comment