31 July 2011

Antara Permata dan Ikan Kering Episod 2

"Permata dan PERMATA"


Episod Pertama di sini!

“Aku tak puas hati dekat kau pasal posting Antara Permata dan Ikan Kering kau. Aku pun dulu freehair. Tapi bila kau bandingkan dengan ikan kering tu memang teruk la. Aku tak boleh terima.”

Respon terus dari rakan saya bila beliau membaca posting Antara Permata dan Ikan Kering. Tipulah jika saya katakan saya tidak menjangka respon yang sebegini. Saya juga punya hati dan perasaan. Jika sayalah manusia yang disamakan dengan ikan kering, tidak dapat tidak, saya juga akan melenting! Tetapi ingatlah wahai sahabat sekalian, jika bukan kerana Jannah, saya akan “potongkan” lidah saya dan “kudungkan” jari jemari saya.

Saya merasakan ada perenggan yang kurang difahami lantaran perbandingan yang provokatif yang saya gunakan. Perenggan tersebut menyatakan...

“Saya bukan hendak menyalahkan orang-orang yang berkenaan. Saya cuma ingin khalayak memikirkan bahawa dunia kita semakin tua. Janji-janji Nabi S.A.W telah berlaku satu persatu di depan mata kita. Apa lagi yang kita tunggu untuk menganjurkan perubahan pada diri kita?”


Saya tidak menyalahkan orang-orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna secara keseluruhannya. Ada faktor-faktor luaran yang menyumbang kepada gejala ini. Faktor keluarga, media massa, pemimpin yang kurang penekanan dalam beragama, pandangan skeptik umat Islam kepada Islam itu sendiri. Pada pandangan saya, golongan ini gagal mengenalpasti masalah yang mereka hadapi dengan agama Islam. Mereka kabur dalam membezakan antara masalah sebenar (real problem) dan masalah semasa (presenting problem).

Masalah semasa memang banyak jika nak dihitung satu persatu. Aurat salah satu rantingnya. Masalah sebenar cuma satu. Tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita? Apakah kita hidup untuk mati sahaja?
“Maka apakah kamu menyangka, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mukminun:115)

Tujuan hidup yang bagaimana yang kita mahukan? Walau apa pun tujuan hidup kita, di hujungnya, sudah semestinya bahagia yang diimpikan. Contohnya...

Seorang penoreh getah bangun seawal 5.00 pagi demi memastikan anak-anaknya mempunyai sesuatu untuk dimakan siang nanti. Terlambat bermaksud dapurnya tak berasap!

Kerani bank akan terpacak di depan pejabatnya seawal jam 8.00 pagi demi memastikan kualiti kerja yang dilakukannya hari ini akan memuaskan hati bosnya. Terlambat bermaksud tiada kenaikan pangkat untuknya!

Mahasiswa akan bingkas ke kelasnya seawal jam 8.00pagi demi memastikan ilmu yang dikejarnya dapat. Terlambat bermaksud dia dipintas oleh orang lain!

Ketiga-tiga situasi di atas menggambarkan tujuan hidup yang akhirnya membawa kepada bahagia mengikut tafsiran individu sendiri. Tapi adakah cukup dengan definisi bahagia sebegini?
Bagaimana jika....

Anak penoreh getah itu rupanya membesar dan menjadi seorang peragut merangkap pencuri.

Bos kerani bank rupanya tidak peduli pun akan dia kerana sudah memilih anak saudaranya untuk diberi kenaikan pangkat.

Pensyarah mahasiswa tadi rupanya tidak memandang pun mahasiswa tadi lantaran perbezaan pandangan mereka dari sudut politik nasional!

Pengharapan supaya beroleh bahagia yang di awal tadi menjadi tidak bermakna dengan pengakhiran seperti di atas. Jadi, apakah pengakhiran yang membahagiakan?
“Dan tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu” (Surah al-Dzariyat: 56)

Nah. Ini yang dikhabarkan oleh Allah S.W.T melalui kalam Al-Quran. Inilah tujuan hidup sebenarnya yang menjamin bahagia dunia dan Akhirat.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan MEMBERIKAN MEREKA SYURGA. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah:111)

Apakah yang membahagiakan kita selain Jannah Ilahi di hujung nanti?!

Sahabat-sahabat, apa lagi yang ditunggu untuk mengusahakan perubahan diri? Masanya masih ada. Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, “Berubah kerana terpaksa, sudah menjadi mangsa. Orang yang berjaya memaksa dirinya berubah.”

Belegar semula kita di ruang persoalan yang sama, permasalahan yang lama. Antara Permata dan Ikan Kering,di manakah kita??

1 comments:

salmanhabba said...

smartlah....

Post a Comment