28 July 2011

Kerajaan, Parti Politik dan Mahasiswa





Apabila disebutkan “politik”, umumnya khalayak menghalakan maksudnya kepada parti politik. Kefahaman awam secara dasarnya masih kabur dan kurang jelas dengan definisi politik dan parti politik. Sudah semestinya, politik adalah sesuatu yang berbeza maknanya dan mempunyai skop yang lebih luas.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (www.dbp.gov.my), penakrifan politik adalah segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain. Walaupun ia biasanya digunakan untuk merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam bidang korporat, akademik dan lain-lain. Secara sedar atau tidak, setiap hari kita sebagai insan berpolitik. Dari saat kita memilih pakaian untuk dipakai sehinggalah perkataan yang kita pilih untuk diucapkan dan perbuatan kita seperti senyum, ucapkan salam, adalah politik tetapi skalanya lebih kecil.

Secara literalnya, "Parti Politik" bermaksud
"satu golongan (kumpulan) orang yang bergerak untuk tujuan (dasar dll) yg sama dalam politik". Parti politik juga boleh difahamkan sebagai suatu pertubuhan politik di mana ahlinya mempunyai ideologi serta agendanya tersendiri. Secara jelas, tujuan parti politik ditubuhkan adalah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi parti yang memerintah. Dengan menjadi parti pemerintah, penerapan ideologi dan agendanya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan teratur. Mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat bermakna majoriti rakyat yakin dan percaya dengan agenda dan pembawaan sesuatu parti.




Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Maksud demokrasi yang mudah difahami di zaman moden ini ialah “form of government, where a constitution guarantees basic personal and political rights, fair and free elections, and independent courts of law” (Satu bentuk kerajaan, di mana perlembagannya menjamin hak asasi dan hak politik, pilihanraya yang adil dan bebas dan badan kehakiman yang bebas). Ini bermaksud, kewujudan pihak pembangkang adalah sesuatu yang biasa di dalam sesebuah sistem demokrasi. Berlawanan pula dengan konsep kerajaan secara Totalitarian, yang menganggap pembangkang adalah musuh dan patut dihapuskan ke akar umbi.

Pembangkang di dalam sesebuah sistem demokrasi ialah merupakan satu kumpulan pengimbang yang mengimbangi kuasa kerajaan. Parti pemerintah sebagai kerajaan, akan bertindak dengan lunas-lunas yang akan menjamin kesejahteraan rakyat dari semasa ke semasa. Jika kerajaan gagal menangani sesuatu masalah atau mendatangkan satu cadangan yang baik, maka pembangkang akan mengisi kelompongan ini secara tidak langsung. Baik atau tidak cadangan dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, hanya rakyat yang menilai. Pernilaian berterusan akan berlaku di pihak rakyat jelata dan bila mana tiba pilihanraya bagi memilih kerajaan setiap lima tahun, segala perkara ini akan ditimbang bagi memilih kerajaan seterusnya. Adakah terus kekal dengan parti pemerintah yang sedia ada atau memilih parti pembangkang bagi menjadi kerajaan seterusnya, pilihannya di tangan rakyat.


Saya, secara peribadi merasakan wajib bagi semua mahasiswa, terutamanya yang muslim, untuk cakna tentang isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan juga luar negara. Menurut hadis Rasulullah S.A.W …
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka”

Untuk pembacaan lanjut berkenaan kewajipan mahasiswa muslim untuk mengambil tahu tentang isu umat Malaysia, sila baca sini. Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada mahasiswanya. Jika lemah, layu dan longlai, maka masa depan negara itu akan kelihatan suram dan kelam. Sebaliknya, jika mahasiswanya lantang, bersemangat dan berpendirian, maka kekuatan dan keampuhan negara masa depan akan mulai terbentuk.


Mahasiswa hari ini perlu matang dan cepat belajar tentang negara dan pengurusannya. Berani untuk menghadapi cabaran masa mendatang. Bukan sekadar hanya menggunakan tagline “Idealis, Bebas dan Rasional” tetapi cuma bercakap tanpa menulis sepotong dua artikel untuk dinilai oleh khalayak sejauh mana projected images dalam mindanya mampu menjamin keutuhan negara pada masa akan datang!

Sebagai kesimpulannya, kerajaan, parti politik dan mahasiswa adalah tiga elemen yang digaulkan bersekali namun tidak pernah bercampur. Kerajaan itu penting untuk memimpin sesebuah negara. Parti pembangkang itu penting bagi mengimbangi kuasa yang dipunyai oleh parti pemerintah. Mahasiswa atau anak muda yang terpelajar adalah unsur paling penting bagi menjamin kemandirian sesebuah negara di masa depan.


**Artikel asal di sini**

1 comments:

Anonymous said...

mantorp

Post a Comment